Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahKuala LumpurViralWilayah Persekutuan

RUMAWIP Tangani Masalah Setinggan Kampung Pandan

By 25 April 2017Tiada komen3 minit bacaan

 

 Laporan / foto: Saharuddin Othman & Azri Zainal Abidin (Kuala Lumpur)

KUALA LUMPUR, 25 April (Malaysiaaktif) – Keceriaan jelas terpampang di wajah para pembeli Rumah Wilayah Persekutuan (RUMAWIP) Residensi Pandanmas apabila menerima kunci rumah pada Majlis Penyerahan Kunci RUMAWIP Residensi Pandanmas, di sini hari ini.

Salah seorang pemilik rumah yang ditemui wartawan Malaysiaaktif, Mohammad Noor Bahari, 32, berkata berpuas hati apabila hasrat untuk memiliki rumah sendiri di bandaraya Kuala Lumpur akhirnya tercapai.

“Saya ingin menyarankan agar para belia mengambil peluang untuk memiliki aset seperti rumah sendiri di usia muda sebagai kemudahan untuk hari mendatang.

“RUMAWIP ini menawarkan harga yang berpatutan dan mampu dimiliki oleh para belia seperti saya yang sentiasa menginginkan hidup di bandaraya besar seperti di Kuala Lumpur,” kata Mohammad Noor Bahari.

Salah seorang penerima kunci RUMAWIP Residensi Pandanmas, Mohammad Noor Bahari, 32.

Salah seorang penerima kunci RUMAWIP Residensi Pandanmas, Mohammad Noor Bahari, 32.

Berkongsi pendapat yang sama, anak jati Kuala Lumpur, Phang Jiun Jiann memberitahu bahawa dirinya telah selesa hidup di Kuala Lumpur yang merupakan tempatnya belajar dan mencari rezeki.

“Peluang untuk memiliki rumah di tempat kelahiran sendiri merupakan satu peluang yang tidak akan saya sia-siakan. Terima kasih kepada kerajaan kerana sentiasa membantu rakyat terutamanya golongan belia seperti saya yang ingin membeli rumah yang mampu untuk dimiliki,” katanya dengan nada gembira.

Phang Jiun Jiann, 30, berasa gembira dan bangga kerana berpeluang untuk menaiki pentas bagi menerima replika kunci rumah yang diserahkan sendiri oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak

Phang Jiun Jiann, 30, berasa gembira dan bangga kerana berpeluang untuk menaiki pentas bagi menerima replika kunci rumah yang diserahkan sendiri oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, pembinaan RUMAWIP ini sekaligus dapat menyelesaikan masalah penempatan setinggan di Kampung Pandan, Kuala Lumpur.

“Residensi Pandanmas merupakan salah satu projek RUMAWIP di Kuala Lumpur yang berjaya disiapkan sembilan bulan lebih awal dari tarikh jangkaan dengan keluasan 850 dan 900 kaki persegi disasarkan kepada warga Wilayah Persekutuan berpendapatan sederhana,” katanya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menyampaikan ucapan perasmian ketika Majlis Penyerahan Kunci RUMAWIP Residensi Pandanmas.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menyampaikan ucapan perasmian ketika Majlis Penyerahan Kunci RUMAWIP Residensi Pandanmas.

Tambah Najib, projek ini juga merupakan antara inisiatif kerajaan dalam membantu golongan M40 memiliki rumah di Wilayah Persekutuan pada harga yang rendah dan berpatutan berbanding nilai pasaran semasa.

“Projek ini merupakan projek di bawah Dasar RUMAWIP yang dilaksanakan secara perkongsian strategik di antara Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dengan Syarikat Faber Vista Sdn. Bhd pada harga RM280,000 dan di bawah RM300,00,” jelasnya lagi.

Dalam menyambung usaha menyasarkan pembangunan sebanyak 80,000 unit rumah mampu milik di seluruh Wilayah Persekutuan, projek Residensi Pandanmas Fasa Kedua juga telah diperkenalkan dengan menawarkan sejumlah 1,920 unit rumah bersebelahan dengan Residensi Pandanmas Fasa Pertama.

Sebanyak 300 unit rumah kos sederhana rendah ditawarkan kepada semua penduduk asal pada harga RM42,000 seunit dan dijangka siap pada 2018.

WhatsApp Image 2017-04-25 at 9.38.24 PM

Projek RUMAWIP ini juga merupakan perancangan Kementerian Wilayah Persekutuan bagi memastikan golongan sasaran memiliki kediaman sendiri yang kondusif melalui kerjasama dengan pihak swasta.

Turut hadir, Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Johari Abdul Ghani dan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mhd. Amin Nordin Abdul Aziz.

 

– AH

Tinggalkan komen anda