Skip to main content
Berita TempatanHomeSabah

Laskarnita Pertama Terima Anugerah Laskar TLDM Terbaik

By 28 April 2017Tiada komen3 minit bacaan

 

Laporan: Hazlinah Samsir / Foto: Saiful Rahman Sabri (Sabah)

KOTA KINABALU, 28 Apr (Malaysiaktif) – Sambutan Hari Ulang Tahun ke-83 Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang diadakan di TLDM Sepanggar memberikan satu memori terindah buat seorang laskarnita.

LK PNK Amisah Kuiming, 31, dari Kampung Tahak, Membakut merupakan laskarnita pertama yang menerima Anugerah Laskar Terbaik TLDM bagi 2016.

Pengiktirafan penghargaan ini adalah atas ketabahan dan keberanian LK PNK Amisah menerima cabaran berkhidmat di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Lubnan selama enam bulan pada 2014.

Amisah ketika ditemui berkata sebagai staf pengaman yang ditugaskan di negara yang bergolak tersebut, mereka menerima banyak dugaan dalam menjalankan tanggungjawab.

“Salah satu insiden yang tidak dapat saya lupakan apabila kenderaan yang kami naiki tidak dikenali oleh penduduk sebagai ‘staf pengaman’ dan mereka mula membaling batu ke arah kereta kami.

“Kami terpaksa bergerak secara perlahan dan tersekat di tempat tersebut dalam lapan hingga 10 minit kerana permukaan jalan raya yang berbatu-batu dan berpasir.

“Namun, pergerakan anggota secara berkumpulan ketika melintasi kawasan berkenaan membuatkan situasi jadi terkawal,” katanya ketika ditemu ramah media selepas Perbarisan Hari Ulang Tahun TLDM di padang kawad TLDM, semalam.

Kawad kaki oleh anggota TLDM di Padang Kawad TLDM Sepanggar

Kawad kaki oleh anggota TLDM di Padang Kawad TLDM Sepanggar

Jelasnya, pengalaman bekerja di negara yang bergolak menambahkan kesedaran dan kesyukuran kerana lahir dan menetap di Malaysia.

“Jika kita ingin membandingkan keamanan yang kita ada di negara ini dengan negara lain, kita akan merasa amat bersyukur dengan keharmonian negara kita ini.

“Sebagai rakyat Malaysia, saya rasa amat bertuah dan bersyukur berada di tanah air yang aman lagi majmuk ini,” katanya lagi.

Apabila ditanya tentang sokongan keluarga ketika berkhidmat di Lubnan, Amisah berkata ibu bapanya memberikan sokongan penuh kerana memahami bidang tugas dan kerjaya sebagai pengaman.

Tambahan pula, saya merupakan anak kelima daripada lapan beradik dan empat lagi adik-beradik saya turut berkhidmat dalam kerjaya beruniform.

Jelasnya, rakan sekerja yang mempunyai semangat setia kawan serta kepercayaan yang mereka berikan menjadi motivasi untuk melakukan yang terbaik dalam melaksanakan tugasnya dan meneruskan kerjaya dalam TLDM.

“Menjadi seorang laskarnita yang terpilih untuk memikul tanggungjawab tersebut merupakan suatu kenangan manis dan berasa amat bertuah kerana tugas yang diberi dihargai.

Amisah menyertai TLDM pada06 Februari 2008 dan pernah berkhidmat di Markas Tentera Laut Cawangan Simpanan, Cawangan Dasar dan Penyelidikan Sumber Manusia, Markas Angkatan Bersama, Kapal Diraja (KD) MALAYA dan kini berkhidmat di Kapal Laut Diraja (KLD) TUNAS SAMUDERA.

Sikapnya yang berhemah, bertanggungjawab, amanah serta tekun dan sistematik merupakan penilaian yang membuatkan Amisah menerima anugerah tersebut.

Penganugerahan ini membuktikan wanita mampu berdaya saing dalam memperjuangkan pertahanan kedaulatan maritim Malaysia.

Hishamuddin (tengah) diiringi Kamarulzaman (kiri) tiba di jeti TLDM Sepanggar

Hishamuddin (tengah) diiringi Kamarulzaman (kiri) tiba di jeti TLDM Sepanggar

Terdahulu, Menteri Pertahanan Malaysia serta Menteri Tugas-tugas Khas, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata  Aplikasi Kesedaran, Keselamatan Komuniti Maritim (K3M) yang dilancarkan ini dapat memudahkan komuniti maritim mendapat bantuan sekiranya berlaku situasi kecemasan.

“K3M ini memudahkan petugas keselamatan melaporkan sebarang insiden dan aktiviti yang mencurigakan di kawasan perairan negara.

Tambahnya, aplikasi tersebut bersandarkan kepada beberapa objektif utama seperti menguar-uarkan bahawa agensi penguat kuasa sentiasa peka dan memberi komitmen tinggi dalam memastikan keselamatan di perairan negara sentiasa terpelihara.

“Aplikasi ini juga mampu menjali?nkan hubungan kerjasama yang lebih baik dengan komuniti maritim setempat. Tambahan pula, maklumat dapat disalurkan dengan lebih pantas dan tepat kepada komuniti maritim.

Hishammuddin berkata demikian ketika ditemui media selepas Program Rakan Maritim (RAKAM 2.0) dan Kempen Tabung Pahlawan Melalui Aplikasi K3M di Jeti TLDM Sepanggar semalam.

Hishammudin turut melancarkan penubuhan Markas Pemerintahan Armada Timur dan Armada Barat TLDM sambil meluangkan masa bertemu ahli RAKAM yang terdiri daripada nelayan, pengusaha resort ?dan? feri serta pengusaha syarikat-syarikat kapal dagang.

-SF

Tinggalkan komen anda