Skip to main content
Berita TempatanSabah

‘Go Sabah Frame’ Ikon Pelancongan Baharu Sabah

By 30 April 2017Tiada komen3 minit bacaan

 

Laporan: Asmidar Zainol / Foto: Azman Jumat (Sabah)

RANAU, 30 Apr (Malaysiaktif) – Tarikan ‘Go Sabah Frame’ bakal menjadi ikon pelancongan baharu Sabah yang wajib dilawati oleh pelancong luar dan dalam negara.

Pelancaran ikon pelancongan tersebut serentak bersama perasmian satu Pusat Informasi Pelancong Resort Teh Sabah yang turut bakal menjadi tarikan untuk membantu mempromosikan Sabah ke peringkat antarabangsa.

Pusat Informasi Pelancong

Pusat Informasi Pelancong

Menurut Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Kamarlin Ombi, tarikan tersebut bukan sahaja dapat memperkenalkan resort berkenaan tetapi juga daerah Ranau dan negeri ini keseluruhannya.

“Para pelancong dapat bergambar di bingkai gambar ‘Go Sabah Frame’ yang berlatarbelakangkan gunung tertinggi di Asia Tenggara iaitu Gunung Kinabalu.

“Daripada gambar yang terhasil kemudian dapat dikongsi di laman sosial dan seterusnya akan mempromosikan lokasi ini,” ujarnya kepada media selepas Majlis Pelancaran ‘Go Sabah Frame’ dan Pusat informasi Pelancong pada Jumaat pagi.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Tourism Malaysia Negeri Sabah (TM Sabah), Shanina Samsuri berkata, Pusat Informasi Pelancong di Sabah Tea Resort dapat membantu dalam mempromosikan lokasi-lokasi pelancongan di daerah Ranau dan Sabah amnya.

“Melalui kerjasama TM Sabah dengan Pejabat Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan (MOTAC) Sabah, Lembaga Pelancongan Sabah (STB) dan Sabah Tea Resort kami berharap akan dapat menyalurkan informasi-informasi produk dan lokasi pelancongan tempatan kepada pelancong yang datang ke sini.

“Walaupun lokasinya agak jauh dari pusat pelancongan lain, resort ini mampu menarik dan menjadi antara sebuah destinasi pelancongan terindah di negeri ini,” terangnya.

Pelancong dari Australia, Marlene Dulwich.

Pelancong dari Australia, Marlene Dulwich.

Bagi pelancong Australia, Marlene Dulwich, 78, kunjungan kali kedua ke negeri ini memberi perasaan sayu kepadanya.

“Kali pertama mengunjungi negeri ini ialah sebelum berlakunya kejadian gempa dan kali ini melihat kesan-kesan ‘luka’ di gunung tersebut memberi kesan kepada emosi saya.

“Namun, menginap di resort ini memberi kelebihan kepada saya untuk menyaksikan pemandangan gunung dengan lebih jelas dan pemandangan memukau ladang teh yang menghijau.

Tambahnya, melalui Pusat Informasi Pelancong yang dirasmikan hari ini, akan memudahkan untuk mendapat lebih maklumat tentang lokasi-lokasi pelancongan di Sabah.

“Pastinya saya bersama rakan-rakan akan mengambil peluang untuk bergambar di bingkai gambar ‘Go Sabah Frame’ untuk dijadikan sebagai kenangan,” kongsinya kepada media.

Pada majlis yang sama, Pengarah Urusan Resort Teh Sabah, Goh Mung Chwee berkata, resort berkenaan menyasarkan pendapatan sebanyak RM6 juta dengan kehadiran 300 ribu pelancong ke resort berkenaan pada tahun ini.

“Dengan adanya tarikan-tarikan terbaharu di sini dapat menarik lebih ramai pelancong melawat ke tempat kami dan juga di lokasi-lokasi pelancongan yang lain di daerah Ranau.

“Selain dua tarikan pelancongan baharu ini, kami turut menyediakan tempat penginapan,
aktiviti-aktiviti luar serta menu-menu baharu di restoran kami yang berasaskan daun teh antaranya ‘Pankek’, ‘Waffle’, ‘Scones’, aiskrim dan sup teh,” jelasnya.

Pelancong-pelancong turut tidak melepaskan peluang bergambar bersama satu lagi arca tarikan di resort berkenaan.

Pelancong-pelancong turut tidak melepaskan peluang bergambar bersama satu lagi arca tarikan di resort berkenaan.

Goh turut memaklumkan, Teh Sabah tidak menggunakan bahan kimia dan ini menjadi antara sebab teh Sabah masih menjadi pilihan bukan sahaja masyarakat di Malaysia tetapi juga pelancong luar negara,” katanya.

Ditanya berkenaan cabaran dalam menguruskan ladang teh di situ, Goh memaklumkan keadaan tanah yang berakar dari pokok-pokok lama memberi kesulitan kepada pokok-pokok teh untuk bertahan.

“Kami masih dalam penyelidikan mencari jalan untuk menyelesaikan masalah berkenaan dan pada masa sekarang kita menggunakan pokok jagung dari Guatemala sebagai resolusi masalah tersebut.

“Kami berharap sekiranya masalah ini dapat diselesaikan, keadaan pokok-pokok ini akan hidup dengan subur dan sekata seperti di Cameron Highland,” katanya.

SF

Tinggalkan komen anda