Skip to main content
Berita TempatanPutrajayaSabahWilayah Persekutuan

Warga Emas Sim-Sim Terima Bantuan JPM

By 7 Mei 2017Tiada komen3 minit bacaan

 

 Laporan oleh: Aimi Huwaina (Putrajaya) / Foto: Jeffren Malaning (Kota Kinabalu)

SANDAKAN, 7 Mei (Malaysiaaktif) – Dua warga emas di Kampung Sim-Sim, di sini mengukirkan senyuman manis apabila terpilih sebagai penerima bantuan khas di samping berpeluang bertemu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sempena Program Jom Bantu Rakyat, hari ini.

Penerima bantuan yang menghidap sakit tua dan kencing manis, Jumah Abdul Amid Bangsa, 57, berharap kesihatannya bertambah baik dengan bantuan yang diberikan.

“Harapan saya mahu sihat. Lagipun sudah dibantu begini, alhamdulillah, berterima kasih kepada semua yang membantu. Senang hati sikit sudah dibantu dari segi perubatan, rumah, dan alat-alat ini,” katanya.

SRS_3593

Jumah Abdul Amid Bangsa, 57, dikunjungi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman

Tambah Jumah, dia berharap agar kampung berkenaan dapat dimajukan lagi demi masa depan anak cucu mereka.

“Kampung Sim-Sim ini jarang ada orang yang peduli, tetapi kalau boleh dimajukan, dimajukanlah. Sebab kami ini esok lusa sudah tiada, tetapi anak cucu kami? Itu yang kami mahu,” katanya lagi.

Jumah yang mempunyai tujuh orang anak dan suami yang uzur ini, diberikan bantuan kewangan bulanan menerusi Skim Bantuan Am (kategori orang sakit) sebanyak RM150 sebulan.

Turut terpilih sebagai penerima bantuan, ibu kepada 10 anak yang berstatus balu, Banrun Mohamad, 82.

Banrun yang merupakan bekas pesakit strok kini hanya bergerak dengan bantuan kerusi roda.

SRS_3528

Banrun Mohamad, 82, menerima bantuan daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak

Menurut anaknya, Fatimah Nuraji, 57, mereka adik-beradik bersama-sama menanggung kehidupan seharian ibunya.

“Alhamdulillah, mudah-mudahan dengan sumbangan yang diberikan, insya-Allah kesihatan emak akan bertambah baik. Dengan kemudahan kerusi dan katil, selesa sikitlah emak nak bangun,” katanya.

Banrun yang dijaga oleh ahli keluarga yang tinggal bersama turut diluluskan bantuan kewangan bulanan menerusi Skim Bantuan Pesakit Kronik Terlantar (BPT) sebanyak RM300.

Bantuan Program Jom Bantu Rakyat ini diberikan dalam bentuk kerusi roda, katil dan kewangan.

SRS_3934

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak beramah mesra bersama penduduk Kampung Sim-Sim

Sementara itu, Pegawai Kemajuan Negeri Pejabat Pembangunan Persekutuan Negeri Sabah, Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri (JPM), Datuk Ruji Ubi, berkata pemilihan bantuan dalam program ini merupakan hasil perbincangan dengan pemimpin setempat, Pejabat Ketua Menteri Sabah dan juga Pejabat Perdana Menteri.

“Kawasan Sim-Sim ini dalam empat tahun lepas kita ada buat jambatan, dulu jambatan kayu sekarang jambatan simen. Terdapat keperluan untuk baiki yang telah dirumuskan kos-kosnya dan ICU memang berperanan untuk membantu mereka yang memerlukan dalam konteks penyelarasan dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat, Jabatan Kerja Raya (JKR) dan sebagainya,” katanya.

Dalam pada itu, Pengarah Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am (JPKA) Sabah, Mohamad Noor Wahab memberitahu bahawa pemberian bantuan kebajikan dilakukan berdasarkan pengawasan bahawa seseorang itu ialah orang kelainan upaya (OKU) , ibu tunggal, orang miskin, sakit terlantar dan anak yatim.

“Bagi OKU yang produktif, kita ada program ‘Productive Welfare’. Kita akan bantu dari segi keusahawanan, mereka yang berjaya akan keluar dalam masa dua tahun,” jelas Mohamad Noor lagi.

Dalam lawatan selama kira-kira 45 minit ini, Perdana Menteri turut ditemani Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman.

– SF

Tinggalkan komen anda