Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurHomeKelantan

Keharmonian Kaum Pemangkin Keamanan Negara

By 13 Mei 2017Tiada komen2 minit bacaan

 

 Pelapor/Foto Oleh : Nur Shafira Mat Hussin /Ruslan Abd Rahman (Pasir Puteh)

PASIR PUTEH, 13 Mei (Malaysiaaktif) – Keharmonian kaum yang berbeza agama dan budaya merupakan pemangkin yang kuat dalam menyatukan seluruh rakyat Malaysia seterusnya mengekalkan keamanan negara yang tercinta.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, berkata Program Ekspresi Negaraku ini adalah sebagai wadah untuk menterjemahkan semangat kecintaan kepada negara.

Zahid (dua dari kiri) ketika ditemubual dalam sebuah program di sini

Zahid (dua dari kiri) ketika ditemubual dalam sebuah program di sini

“Cinta pada negara itu bukan hanya diluahkan dengan kata-kata bahkan jua dengan iltizam dan komitmen yang menunjukkan kita bersyukur dapat hidup di negara ini,” katanya ketika merasmikan program Ekspresi Negaraku yang dihadiri lebih 15,000 orang di Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Petai di sini.

Pada 18 Mac yang lalu telah berlangsungnya pelancaran program Ekspresi Negaraku yang dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Putrajaya dan kini setelah berkunjung ke empat lokasi, program ini tiba di Kelantan dan diadakan di Padang Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Petai, Semerak Pasir Puteh.

Program bermula seawal pukul 7.30 pagi dengan pelepasan peserta Larian Bendera Negaraku sejauh 3.7KM oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa Dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed yang melibatkan seramai 5,000 peserta.

Dalam pada itu seorang pelajar, Nur Tasneem Mahamood, 18, yang turut berkunjung ke program tersebut merasa teruja dengan pelbagai aktiviti dan pengisian program yang padat serta bermaklumat.

“Ini adalah kali pertama saya menyertai acara larian ini, saya merasa seronok kerana dapat bersukan dan menterjemahkan semangat cintakan negara dengan menyokong program sebegini,” katanya.

Ahmad Zahid juga dalam ucapannya berpesan agar semua rakyat Malaysia tidak terpengaruh mahupun terlibat dengan dakyah pengganas yang cuba merosakkan keharmonian negara kita seperti apa yang berlaku kepada negara bergolak yang lain.

Tambahan beliau, menerusi Kementerian Dalam Negeri (KDN) beliau memberikan komitmen untuk memerangi sebarang aktiviti keganasan yang cuba disebarluas di Malaysia.

Turut hadir Timbalan Menteri Komunikasi Dan Multimedia Malaysia (KKMM), Datuk Jailani Johari, dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki.

Program Ekspresi Negaraku ini melibatkan pelbagai pengisian menarik seperti pameran dan perkhidmatan daripada Kementerian Komunikasi Dan Multimedia Malaysia (KKMM) Kementerian Belia Dan Sukan (KBS) Kementerian Luar Bandar Dan Wilayah(KKLW) dan banyak lagi.

Turut diadakan pertandingan bola sepak,sukan rakyat, aktiviti grafiti Ekspresi Negaraku dan diakhiri dengan Malam Ekspresi Negaraku.

 

-SH

Tinggalkan komen anda