Skip to main content
Berita SarawakBerita TempatanHome

Pasangan OKU Gigih Ceburi Perniagaan Pembuatan Anggota Tiruan

By 15 Mei 2017Tiada komen2 minit bacaan

 

 Laporan dan foto oleh : Luhat Ajang (Sarawak)

KUCHING-15 Mei (Malaysiaktif) – Setiap insan yang dilahirkan menginginkan tubuh badan yang sempurna, namun tidak semuanya dilahirkan begitu kerana ada sesetengahnya dilahirkan cacat anggota badan, buta dan sebagainya, malah orang yang dilahirkan sempurna juga ada yang mengalami kecacatan ataupun kekurangan disebabkan musibah yang menimpa seperti kemalangan mahupun penyakit.

Beralamat di Batu Kawah New Township, Kuching, terdapat sebuah kedai yang menawar dan menyediakan perkhidmatan pembuatan anggota tiruan.

Medam cukup teliti dengan kerjanya agar pelanggan berpuas hati dengan hasilnya nanti.

Medam cukup teliti dengan kerjanya agar pelanggan berpuas hati dengan hasilnya nanti.

Pemiliknya Medam Anak Nuber, 46, yang juga merupakan seorang Orang Kelainan Upaya (OKU), turut dibantu oleh isterinya Jene Paul Sallih, 47, menguruskan perkhidmatan tersebut.

Medam memberitahu, beliau memperolehi kemahiran membuat anggota tiruan ini setelah mengikuti kursus berkaitan teknik membuat anggota palsu di Kuala Lumpur.

“Saya menggunakan kemahiran yang dimiliki ini dengan bekerja di bawah naungan Jabatan Kebajikan Masyarakat selama 14 tahun. Saya dan  isteri seterusnya  menyahut cabaran bahawa OKU juga harus berusaha dan berdikari agar tidak ketinggalan seperti masyarakat normal,” ujarnya.

Beliau sama sekali tidak menyesal dilahirkan cacat anggota, malah menganggapnya sebagai satu anugerah tuhan yang perlu ditangani dengan daya usaha sendiri tanpa mengharapkan bantuan orang lain.

“Dengan menggunakan alat sokongan ataupun anggota palsu ini, pergerakan seseorang itu akan menjadi agak mudah dan sedikit sebanyak dapat membantu dalam kehidupan seharian,” tambahnya lagi.

Sesetengah komponen untuk membuat anggota palsu ditempah khas dari Kuala Lumpur dan akan dipasang mahupun diubahsuai mengikut kehendak ataupun keselesaan pelanggan.

Medam berharap agar masyarakat turut menyokong usaha yang dilakukan dan berharap agar pihak kerajaan mahupun swasta bersama-sama memainkan peranan dan menghulurkan bantuan kepada mereka yang senasib dengannya untuk sama-sama menikmati kehidupan yang lebih baik.

 

-SH

Tinggalkan komen anda