Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomeSelangor

Penduduk Taman Melawati Harap MPAJ Selesai Isu Kesesakan Lalu Lintas

By 24 Mei 2017Tiada komen3 minit bacaan

Laporan dan foto oleh: Mohd Zaid Awang (Gombak)

HULU KELANG, 24 Mei (Malaysiaaktif) – Penduduk Taman Melawati berharap laluan jalan baharu dapat diwujudkan bagi mengelakkan kesesakan teruk yang bakal berlaku apabila pusat membeli belah terbaharu, Melawati Mall mula beroperasi pada bulan Julai nanti.

Menurut Pengerusi Persatuan Penduduk Taman Melawati Fasa ABC, Razman Hakimi Abdullah, 42, penduduk memberi tempoh sebelum bulan Julai ini untuk pemaju Sime Darby Properties memaklumkan aliran trafik yang baharu atau mencadangkan laluan berasingan untuk penduduk keluar masuk ke kawasan perumahan mereka.

Penduduk mahu laluan berasingan ke kawasan perumahan untuk elakkan kesesakan – Razman Hakimi Abdullah, Pengerusi Persatuan Penduduk Taman Melawati Fasa ABC

“Kesesakan lalu lintas berlaku disebabkan penduduk terpaksa menggunakan satu laluan sahaja iaitu melalui Pusat Bandar Melawati yang terdapat tiga buah sekolah, pasar malam yang beroperasi tiga kali seminggu, ditambah pula Melawati Mall yang akan beroperasi tidak lama lagi,” ujarnya dengan nada risau.

Razman ditemui selepas perbincangan penduduk Taman Melawati dengan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), di Lobi Serini Gallery, Pusat Bandar Melawati, petang tadi.

Selain itu, Ketua Zon B Taman Melawati, Noor Rizan Che Lah, 44, berkata kemalangan kenderaan di jalan Taman Melawati semakin kerap berlaku baru-baru ini kerana pertambahan kenderaan akibat pembangunan yang pesat di kawasan tersebut.

Kajian lalu lintas perlu dibuat sebelum sesuatu pembangunan dilaksanakan – Noor Rizan Che Lah, Ketua Zon B Taman Melawati

“Ribuan pengguna jalan raya akan melalui jalan utama Taman Melawati menyebabkan penduduk seakan tersepit untuk keluar masuk akibat kesesakan berpunca daripada pembangunan yang tidak dibuat kajian lalu lintas terlebih dahulu,” keluhnya.
Oleh itu, Noor Rizan berharap pihak tertentu membuat kajian lalu lintas terlebih dahulu sebelum sebarang pembangunan dibuat supaya penduduk tidak dibebankan dengan isu tersebut.

Dalam pada itu, seorang penduduk taman, Syukrail Shamsul Bahari, 37, yang tinggal di kawasan itu sejak kecil melihat pembangunan yang pesat di sekitar Taman Melawati bakal padat seperti yang berlaku di Bangsar.

“Kami tidak menentang sebarang pembangunan, namun banyak pusat membeli belah yang ada di sekitar Taman Melawati dan Hulu Kelang.

Kami tidak menentang pembangunan, namun keselesaan penduduk perlu diutamakan – Syukrail Shamsul Bahari, penduduk Taman Melawati

“Yang lebih utama bagi penduduk adalah kehidupan yang aman seperti kawasan riadah atau taman permainan kanak-kanak,” luahnya dalam nada sebak.
Syukrail berharap sebarang perancangan pembangunan di Taman Melawati perlu dibuat kajian impak kesesakan jalan raya pada masa hadapan.

Sementara itu, Yang Dipertua MPAJ, Abdul Hamid Hussain semasa ditemui berkata pihaknya ambil maklum aduan yang diterima.

Semua cadangan daripada penduduk akan diberi perhatian – Abdul Hamid Hussain, Yang Dipertua MPAJ (duduk, dua dari kiri)

“MPAJ bersama konsultan dan Sime Darby Properties akan meneliti semua aduan tersebut khasnya perkara yang berkaitan teknikal pelbagai aspek agar semua pihak berpuas hati,” ujarnya.
Abdul Hamid turut mencadangkan supaya pihak kerajaan dapat membawa MRT ke Taman Melawati untuk menggalakkan orang ramai menggunakan pengangkutan awam agar kesesakan jalan raya dapat dikurangkan.

Selain itu, mengenai cadangan penduduk agar dibina laluan pejalan kaki dan lorong basikal, Abdul Hamid memaklumkan pihaknya telah merancang perkara tersebut, namun menghadapi kekangan kewangan sehingga kini.

-DZ

Tinggalkan komen anda