Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanHomeMelaka

Merasai Denyut Nadi Rakyat, Rumah Uzur Dibaik Pulih

By 26 Mei 2017Tiada komen2 minit bacaan

 

Laporan / foto M Zakry Chan (Melaka)

DURIAN TUNGGAL, 26 Mei (Malaysiaaktif) – ‘Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul’. Begitulah bagaimana Zulkifli Md Tan, 48, seorang pekerja am di Projek Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) menempuh kehidupannya.

Namun begitu, Zulkifli bersyukur apabila namanya tersenarai dalam program baik pulih rumahnya di Kampung Padang Keladi Durian Tunggal yang uzur.

Zulkifli Md Tan

“Saya amat bersyukur atas bantuan yang disalurkan, rumah papan yang saya tinggal kini makin uzur terutama di bahagian dapur. Sememangnya sudah lama saya berhasrat untuk membaikinya namun kekangan kewangan menyebabkan saya buntu.

“Saya berasa gembira apabila Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kawasan Durian Tunggal, Datuk Ab Wahab Ab Latip sendiri hadir dan meninjau rumah saya untuk membantu kami sekeluarga,” ujarnya ketika ditemui di rumahnya dalam Bantuan Baik Pulih Rumah, hari ini.

Rumah Zulkifli Md Tan yang kini dibaik pulih

Selain itu, Zulkifli juga menerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) manakala seorang daripada anaknya yang bersekolah menerima bantuan persekolahan RM100 melalui bajet 2017 yang diumumkan tahun lepas.

Bapa kepada dua orang anak itu juga menjelaskan telah memohon bantuan kebajikan daripada Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) dan permohonan tersebut sedang diproses.

Ismail Dogol

Sementara itu, menurut Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Padang Keladi, Ismail Dogol, 44, Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) memberi peruntukan sebanyak RM13,000 untuk program ini yang disalurkan untuk membaiki rumah masyarakat kampung yang berpendapatan rendah.

Jelasnya lagi, untuk JKKK Padang Keladi sahaja 14 buah rumah telah diberi peruntukan bagi tahun ini.

“Saya bersyukur dengan adanya bantuan ini ia sedikit sebanyak memberi harapan kepada masyarakat kampung yang berpendapatan rendah untuk merasai kehidupan yang lebih sempurna,” katanya.

-DZ

Tinggalkan komen anda