Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanHomeLabuanMelakaWilayah Persekutuan

Larian Obor KL2017, Satu Tradisi, Simbolik Perpaduan

By 5 Jun 2017Tiada komen4 minit bacaan

 

 Oleh M Zakry Chan (Melaka) dan Mohd Faizal Mansor (Labuan) / Foto: M Zakry Chan dan Jeffrey Nian (Labuan)

PUTRAJAYA, 6 Jun (Malaysiaaktif) – Larian Obor merupakan acara tradisi Sukan SEA dan Sukan Para ASEAN yang membawa maksud simbolik mesej sukan sebagai satu landasan perpaduan masyarakat yang bersifat menyeluruh.

Larian Obor Kuala Lumpur 2017 (KL2017) meneruskan tradisi tersebut sempena penganjuran temasya Sukan SEA Ke-29 dan Sukan Para ASEAN ke-9 di Malaysia yang dijadualkan berlangsung pada 19 hingga 30 Ogos ini.

Menariknya, larian obor kali ini akan melalui beberapa tempat ikonik yang terpilih di seluruh negara. Ini tidak pernah dilakukan dalam sejarah temasya Sukan SEA dan Sukan Para ASEAN menjadikan larian ini cukup unik.

Datuk Ng Choon Koon mengetuai Larian Obor KL2017 Melaka

Datuk Ng Choon Koon mengetuai Larian Obor KL2017 Melaka

Larian pertama bermula di negeri Johor pada 14 Mei lalu sebelum obor tersebut diserahkan kepada bumi Hang Tuah pada 18 Mei. Timbalan Exco Kesihatan dan Pembangunan Sukan Melaka, Datuk Ng Choon Koon mengetuai negeri Melaka dalam simbolik penyerahan obor.

Kini, Larian Obor sudah menjejaki negeri Sabah selepas Wilayah Persekutuan Labuan menyerahkan obor tersebut menerusi legenda bola sepak negara yang merupakan anak jati Labuan, Datuk Hassan Sani, semalam.

Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor menyerahkan obor itu kepada Ahli Parlimen Labuan, Datuk Rozman Isli dan seterusnya kepada Hassan yang juga dikenali sebagai ‘lipas kudung’ kerana kepantasannya ketika di padang bola.

Hassan menerima obor daripada Tengku Adnan (tengah) serta Rozman (kanan)

Hassan menerima obor daripada Tengku Adnan (tengah) serta Rozman (kanan)

Ketika ditemui pemberita sebelum memulakan larian sejauh 35 kilometer bermula dari Lapangan Terbang Labuan seterusnya mengelilingi lapan zon di pulau bebas cukai tersebut, Hassan meluahkan rasa keterujaannya kerana diberi penghormatan untuk membawa obor temasya Sukan SEA tersebut mengelilingi negeri kelahirannya.

“Ia bagaikan nostalgia bagi diri saya ketika mengimbau kembali sewaktu mewakili negara di temasya Sukan SEA pada era 80-an di mana banyak kenangan manis yang tidak dapat dilupakan ketika skuad bola sepak negara mencapai zaman kegemilangan ketika itu.

“Saya amat berbangga dan berterima kasih kepada kerajaan melalui Kementerian Belia dan Sukan kerana memberi penghormatan kepada saya untuk membawa dan mengetuai larian obor bagi peringkat Wilayah Persekutuan Labuan,” ujarnya, gembira.

Legenda bola sepak negara, Datuk Hassan Sani berlari sambil membawa obor yang merupakan simbolik temasya Sukan SEA

Legenda bola sepak negara, Datuk Hassan Sani berlari sambil membawa obor yang merupakan simbolik temasya Sukan SEA

Tambah Hassan, dia sangat optimis dan yakin bahawa kontinjen negara di Sukan SEA kali ini mampu merealisasikan sasaran yang ditetapkan iaitu menjadi juara temasya kali ini yang akan menjadi lebih manis lagi kerana negara kita menjadi tuan rumah temasya sukan dwi tahunan tersebut.

Seramai 90 pelari termasuk 13 bekas atlet yang pernah mewakili Labuan, Sabah dan negara serta pasukan berbasikal menyertai Larian Obor tersebut.

Salah seorang daripada mereka adalah Presiden Labuan Cyclist Group, Jamil Kario, 48, yang bersemangat menghabiskan pembawaan obor tersebut secara berbasikal bermula dari Balai Raya Sungai Buton dan tamat pada pukul 1.00 pagi semalam di Lapangan Terbang Labuan.

Presiden Labuan Cyclist Group, Jamil Kario

Presiden Labuan Cyclist Group, Jamil Kario

“Selaku presiden Labuan Cyclist Group, saya amat berbangga melihat golongan belia di Labuan turut serta bagi menyertai larian obor yang dapat mengalakkan lagi budaya bersukan di samping menyemai semangat cintakan negara.

“Seramai 120 orang ahli Labuan ‘Cyclist Group’, yang rata-ratanya terdiri daripada golongan belia, turut serta mengiringi membawa obor tersebut secara berbasikal,” kata Jamil.

Dalam pada itu, salah seorang peserta Larian Obor KL2017 Labuan, Cindy Martin, 22, berkata sebagai golongan belia, dia merasa bangga kerana dapat menyertai larian ini dengan negara Malaysia menjadi tuan rumah pada temasya Sukan SEA kali ini.

Cindy Martin

Cindy Martin

“Justeru, peluang ini mungkin jarang kali dapat dirasai dan semestinya ini meningalkan kenangan yang tidak dapat dilupakan untuk diceritakan kepada generasi yang akan datang,” tambah Cindy.

Sementara itu, seorang peserta Larian Obor KL2017 di Melaka, Mohd Amirul Zulkifli,19, berkata Larian Obor ini memberi kesedaran kepada masyarakat untuk terlibat dalam temasya sukan ini, selari dengan tema ‘Bangkit Bersama KL2017’ yang mementingkan perpaduan dan semangat kekeluargaan rakyat Malaysia.

Mohd Amirul Zulkifli

Mohd Amirul Zulkifli

“Selain itu, larian obor ini diadakan sebagai medium mempromosikan KL2017 yang akan berlangsung Ogos ini, di samping memberi peluang kepada masyarakat melihat sendiri kemeriahan Sukan SEA KL2017 dengan semangat Malaysia Boleh!,” jelas Amirul.

Manakala, pelajar jurusan Peladang dan Agro Teknologi Universiti Teknologi Mara (UiTM) Jasin, Nur Syahirah Fauzi, 19, berkata penyertaannya dalam Larian Obor KL2017 ini adalah satu penghormatan.

Nur Syahirah Fauzi, pelajar jurusan Peladang dan Agro Teknologi UiTM Jasin

Nur Syahirah Fauzi, pelajar jurusan Peladang dan Agro Teknologi UiTM Jasin

“Sebagai seorang pelajar, saya bersedia menjadi sukarelawan untuk membantu menjayakan penganjuran Sukan SEA Kuala Lumpur 2017. Sebagai rakyat Malaysia kita harus mengambil bahagian dalam Larian Obor ini untuk menyatakan sokongan secara simbolik kepada atlet-atlet yang bakal berjuang dalam temasya ini,” tambahnya penuh semangat.

Pegawai Daerah Jasin, Zamrud Yahya

Pegawai Daerah Jasin, Zamrud Yahya (kanan)

 

Selain itu, Pegawai Daerah Jasin, Zamrud Yahya berharap Sukan SEA KL2017 ini akan mengulangi rekod pencapaian sebagai penganjuran terbaik dan berjaya kerana Malaysia telah banyak menganjurkan kejohanan sukan antarabangsa dan ini membuktikan kemampuan negara setiap kali melaksanakan tanggungjawab sebagai penganjur.

Ahli Parlimen Labuan, Datuk Rozman Isli menyerahkan obor kepada delegasi Negeri Sabah yang diwakili oleh Pembantu Menteri Belia dan Sukan Sabah, Datuk Masiung Banah bagi meneruskan Larian Obor ke Negeri Di Bawah Bayu.

Penyerahan obor kepada delegasi Sabah jam satu pagi tadi oleh Rozman (kanan) kepada Masiung

Penyerahan obor kepada delegasi Sabah jam satu pagi tadi oleh Rozman (kanan) kepada Masiung

Destinasi terakhir Larian Obor Kuala Lumpur 2017 adalah pada 12 Ogos ini bertempat di Kuala Lumpur. Pada acara kemuncak di malam pembukaan pada 19 Ogos nanti, obor ini akan dibawa masuk ke Stadium Nasional Bukit Jalil untuk menyalakan api KL2017. Api tersebut akan menyala berterusan sehingga dipadamkan pada upacara penutup menandakan tamatnya temasya sukan penuh bersejarah ini.

 

-DZ

Tinggalkan komen anda