Skip to main content
Berita TempatanSabah

Minggu Orientasi Perlu Ada Garis Panduan Untuk Elak Kes Buli-Bapa

By 10 Jun 2017Tiada komen4 minit bacaan

 

Laporan dan foto oleh: Fauzrina Bulka (Sabah)

KOTA KINABALU, 10 Jun (Malaysiaaktif) – Masyarakat dikejutkan dengan kisah malang berkaitan isu buli yang berlaku belakangan ini di beberapa buah institusi pendidikan dalam negara.

Tragisnya apabila kejadian buli yang berlaku menyebabkan kematian kepada mangsa sehingga segelintir masyarakat mempersoalkan kerelevanan penganjuran minggu orientasi kepada pelajar baharu.

Menurut seorang bapa yang mempunyai anak yang melanjutkan pelajaran di Institusi Pengajian Tinggi (IPT), Abdul Malik Manap minggu orientasi seperti yang difahami adalah untuk membantu pelajar-pelajar baharu menghadapi suasana baharu sebelum memulakan pembelajaran mereka.

“Tetapi apabila minggu orientasi itu dilepaskan 100 peratus kepada pelajar senior untuk mengendalikannya, maka memberi mereka ruang untuk melakukan perkara-perkara yang melampaui batas kerana tiada kawalan,” katanya.

Malik yang berasal dari Negeri Sembilan itu berkata, sebaiknya pihak IPT menyediakan satu garis panduan dan dijelaskan kepada pelajar senior yang mengendalikan orientasi tersebut untuk diaplikasikan kepada pelajar baharu.

“Kes buli hingga mengakibatkan kematian ini ialah kes yang cukup berat, pada saya hukuman yang berat harus dikenakan kepada pelaku,” ujarnya.

Abdul Malik juga berpendapat bahawa penjelasan tentang keburukan buli harus dimulakan daripada peringkat sekolah rendah hingga sekolah menengah bahawa buli ialah sesuatu yang tidak seharusnya dilakukan oleh para pelajar.

“Mungkin nama orientasi itu sendiri harus ditukar kepada sesuatu yang lebih matang yang menggambarkan hubungan antara pelajar senior dan pelajar baharu yang terjalin dengan baik,”katanya.

Tambahnya, pengisian orientasi yang baik sewajarnya berbentuk ilmiah dan pembentukan peribadi untuk menyucikan jiwa mereka namun segalanya adalah lebih baik jika dimulakan dari awal.

Abdul Malik ditemui semasa Minggu Suai Kenal (MSK) Pelajar Baharu sesi Jun 2017 di Politeknik Kota Kinabalu (PKK) pada petang Khamis.

Sementara itu, menurut pelajar baharu PKK, Datu Muhammad Haziq Wafi Samsudin, 18 minggu orientasi ini sebenarnya sangat baik dianjurkan, tetapi bila timbul isu tentang buli, pelajar yang baru berjinak-jinak untuk tinggal di asrama akan berasa gerun.

IMG_2778

Isu buli akan membuatkan pelajar baharu berasa gerun untuk tinggal di asrama – Datu

“Pada saya kebaikan orientasi ini adalah untuk meneutralkan diri kita di tempat baharu, satu proses untuk menyesuaikan diri di samping dapat mendisiplinkan diri dan belajar berdikari,” katanya yang berasal dari Kota Belud.

“Pengalaman saya sebelum ini ketika di sekolah berasrama, kejadian buli ini memang wujud tetapi masih boleh dihadapi dan tidak melampau contohnya diminta untuk seterika baju, basuh baju atau ambil makanan,” jelasnya.

Menurut Datu, selama empat hari mereka menjalani orientasi di PKK, tidak timbul sama sekali isu buli kerana program seharian diisi dengan aktiviti di dalam dewan dengan mendengar taklimat, Latihan Dalam Kumpulan pada sebelah malam manakala pada yang beragama Islam akan bermalam di Pusat Islam untuk menjalani Qiamulail.

Dalam pada itu, menurut Pengarah PKK, Zainab Othman, MSK memang merupakan amalan untuk menyampaikan maklumat kepada pelajar tentang peraturan-peraturan yang perlu mereka akur.

“Kita hendak para pelajar mengenali sesama mereka, menjalinkan ukhuwah dan perhubungan antara mereka itu dari hari pertama pendaftaran tersebut.

“Ini kerana mereka yang datang ke sini berasal dari merata tempat di seluruh negara dan daripada 702 orang mendaftar, 18 orang daripadanya berasal daripada semenanjung,” jelasnya.

Tambahnya, pelajar yang datang adalah daripada latar belakang dan budaya yang berbeza maka sangat penting diadakan MSK ini.

“Apabila berlaku isu buli ini, saya sangat risau kerana kebetulan pelajar baharu akan masuk mendaftar dan MSK pasti akan dijalankan, namun dengan kerjasama pihak pengurusan kami berjaya menyediakan garis panduan,” jelasnya.

Pada pendapat Zainab, kes buli berlaku apabila timbul rasa tidak puas hati. Tetapi apabila awal-awal lagi pelajar diterapkan dengan nilai yang baik antara mereka, tidak memarahi mereka dan jadikan orientasi ini sesuatu yang menyeronokkan diharap dapat membantu untuk mengelakkan buli.

Zainab turut mempersoalkan kerelevanan mengadakan aktiviti lasak seperti aktiviti ‘Burung Hantu’ yang memerlukan pelajar untuk bersendirian di dalam hutan pada waktu malam untuk menguji kecekalan hati mereka.

“Generasi Y dan Z yang memasuki alam pengajian tinggi sekarang adalah sangat tidak relevan jika masih melakukan aktiviti seperti itu kerana signifikan latihan sebegitu tidak akan diterima oleh mereka dengan mudah,” katanya.

Zainab berharap MSK dapat membantu menjalinkan ukhuwah antara pelajar baharu

Zainab berharap MSK dapat membantu menjalinkan ukhuwah antara pelajar baharu

Tambahnya, pihak pengurusan PKK telah berbincang setiap pengisian dalam MSK ini agar bersesuaian dengan tahap kemampuan  pelajar-pelajar yang terlibat.

Menurutnya, pelbagai agensi turut dijemput untuk menyampaikan taklimat kepada para pelajar seperti pihak polis dan bomba serta unit integriti.

Kebetulan MSK dijalankan pada bulan Ramadan, menurut Zainab PKK menitikberatkan kebajikan pelajar dan menyediakan segala kemudahan sama ada makanan untuk sahur atau berbuka puasa.

“Bagi pelajar yang ingin balik kampung ketika raya nanti, kami akan berurusan dengan syarikat pengangkutan untuk datang ke PKK dan mengambil serta menghantar pelajar ke destinasi masing-masing untuk balik kampung,” jelasnya.

Dalam pada itu, sesi kedua kemasukan pelajar baharu PKK akan berlangsung pada 13 Jun ini.

SF

Tinggalkan komen anda