Skip to main content
Berita SarawakBerita TempatanHome

Narangk Eratkan Masyarakat Salako

By 14 Jun 2017Tiada komen4 minit bacaan

 

 Laporan dan foto oleh: Luhat Ajang (Sarawak)

LUNDU, 14 Jun (Malaysiaaktif) – Narangk dalam dialek Bidayuh Salako membawa pengertian ‘kunjung-mengunjungi’ dengan berjalan kaki beramai-ramai dari satu lokasi atau Tumpuk (dalam bahasa Salako) ke lokasi lain di Kampung Pueh ini yang biasanya dilakukan pada  2 Jun setiap tahun. Tiada kekangan baik dari segi bangsa, agama, jantina mahupun usia untuk menyertai acara ini.

Menurut Ketua Kaum Kampung Pueh, Eran Anak Suut, kampung ini mempunyai hampir 300 pintu rumah termasuk 20 pintu di Bantang Nek Bujur (rumah panjang).

“Pekerjaan utama penduduk ialah petani dan nelayan dan kebanyakan penduduknya beragama Kristian walaupun masih ada lagi yang mengamalkan kepercayaan lama selain memeluk agama Islam hasil daripada perkahwinan campur,” ujarnya.

Kampung Pueh mempunyai empat lokasi yang akan dikunjungi bermula dari Bantang Nek Bujur iaitu Tumpuk Sungai Merah, Tumpuk Balokh, Tumpuk Bapeit dan Tumpuk Tanjam.

KK Eran Suut (tengah) bersama peserta Narangk

KK Eran Suut (tengah) bersama peserta Narangk

“Setiap tumpuk akan sedaya-upaya membuat persiapan terbaik bagi menyambut kedatangan peserta Narangk.

“Kalau boleh setiap tumpuk mahu menjadi tuan rumah yang terbaik supaya menjadi bualan di masa akan datang.

Sambutan penduduk di salah satu hentian (Tumpuk Balokh)

Sambutan penduduk di salah satu hentian (Tumpuk Balokh)

“Persaingan sihat ini membuatkan mereka bertungkus lumus mencantikkan tapak sambutan masing-masing dan menyediakan jamuan mahupun persembahan sambutan yang terbaik,” jelas Eran.

Seawal pukul 7 pagi, orang ramai khasnya penduduk Bantang dan tetamu yang ingin turut serta akan berkumpul terlebih dahulu di Bantang.

Upacara doa dilakukan sebelum pelepasan peserta Narangk

Upacara doa dilakukan sebelum pelepasan peserta Narangk

Satu upacara doa khas yang dipanggil Nyangahan akan diadakan terlebih dahulu bertujuan menyeru perlindungan dan keselamatan dari Jubata (Tuhan menurut kepercayaan lama penduduk).

“Sebaik sahaja selesai upacara doa tersebut, peserta seterusnya berbaris panjang diketuai oleh seorang ketua dengan diiringi oleh tiga orang pembawa bendera iaitu bendera Jalur Gemilang, bendera negeri Sarawak dan satu bendera putih yang melambangkan kesucian semangat masyarakat Salako.

“Selain dari berhenti di tumpuk-tumpuk yang dinyatakan tadi, para peserta akan berhenti di beberapa hentian lain untuk melakukan upacara adat iaitu memohon doa restu,” jelasnya lagi.

Acara ritual dilakukan di Batu Peringatan Kampung Pueh

Acara ritual dilakukan di Batu Peringatan Kampung Pueh

Persinggahan di lokasi yang pertama ialah di Tumpuk Sungai Merah. Para penduduk di sini menyambut peserta Narangk dengan tarian tradisional mahupun bunyi-bunyian seperti tembakan senapang patah ataupun bunga api dan mercun.

Ketua Tumpuk kemudiannya mengalu-alukan peserta seterusnya menjemput tetamu untuk menjamu selera dengan jamuan yang disediakan. Peserta juga turut dihiburkan dengan tarian dan seterusnya bersama-sama mengambil bahagian dalam acara tersebut.

Antara halangan yang ditempuhi semasa menyertai acara ini

Antara halangan yang ditempuhi semasa menyertai acara ini

Setelah selesai menjamu selera ketua Narangk akan mengetuai semula rombongan untuk meneruskan perjalanan ke Tumpuk seterusnya iaitu Tumpuk Bapeit dan seterusnya hinggalah balik semula rumah Panjang Bantang Nek Bujur. Jarak keseluruhan Narangk ini ialah lebih kurang 10 km.

Apa yang menariknya, didapati jumlah peserta semakin bertambah dari satu tumpuk ke tumpuk seterusnya. Ini adalah disebabkan penduduk di setiap Tumpuk yang dikunjungi akan turut menyertai kelompok peserta yang mula-mula tadi sehinggalah ke penghujung perjalanan acara ini.

Salah seorang warga asing yang turut serta dalam acara pada kali ini ialah seorang guru Bahasa Inggeris di SMK Sematan. Alex Banks, 23 tahun yang berasal dari Amerika Syarikat datang ke Kampung Pueh dengan ditemani beberapa orang pelajarnya begitu teruja mengambil bahagian dalam acara ini.

Narangk Masyarakat Salako 3

Alex (kanan) bersama Lo Tze Hau dan isteri dari Negara Francis bergambar bersama peserta berpakaian tradisi Orang Ulu

“Acara ini begitu unik kerana saya turut sama merasai kemeriahannya di samping menyaksikan beberapa acara ritual serta gelagat peserta dan kebudayaan masyarakat setempat,” katanya.

Turut menyertai perayaan tahun ini ialah sekumpulan lapan orang guru besar dari negeri Selangor yang mengambil peluang waktu cuti sekolah tahun ini.

Chew (berdiri empat dari kiri) bersama rakan-rakan guru besar

Chew (berdiri empat dari kiri) bersama rakan-rakan guru besar

Mereka diketuai oleh Chew Hock Jin dari Petaling Jaya. Chew memberitahu selama ini hanya mengetahui tentang rumah panjang ini dan perayaan gawai melalui televisyen sahaja.

Beliau bersama-sama rakan guru yang lain telah dibawa oleh seorang rakan guru besar yang berasal dari Sematan, berasa gembira kerana sambutan mesra dari penduduk setempat dan berazam akan datang lagi untuk mengetahui lebih banyak lagi keunikan perayaan masyarakat berbilang kaum di Sarawak.

Dato Ranum mengalu-alukan kedatangan peserta

Dato Ranum mengalu-alukan kedatangan peserta

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Opar, Dato Ranum Anak Mina yang juga berasal dari kampung ini, mengucapkan jutaan terima kasih di atas kerjasama penduduk kampung yang menjayakan acara tahunan ini.

“Melalui acara Narangk ini, semangat muhibah dan perpaduan di antara peserta yang terdiri daripada penduduk di sini serta pengunjung luar yang datang dari suku kaum, agama  mahupun adat yang berbeza dapat dipelihara dan dikekalkan, kata Ranum dalam ucapannya.

Apa yang pasti acara Narangkh ini telah berjaya mengeratkan lagi hubungan silaturahim antara penduduk kampung dengan penduduk luar.

 

-SH

Tinggalkan komen anda