Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanJohor

RMR1M Menyambung Legasi Felda

By 14 Jun 2017Jun 16th, 2017Tiada komen2 minit bacaan

 

Laporan / Foto Oleh  Mohd Shahqrul Azim bin Shaari ( Kota Tinggi )

KOTA TINGGI, 14 Jun ( Malaysia Aktif ) –  Rumah Mesra Rakyat 1Malaysia (RMR1M) di tanah rancangan Felda kini bukanlah asing di negeri ini. Projek kerjasama antara Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) dan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) ini membolehkan generasi baharu Felda mendapat rumah yang luas dan selesa untuk didiami.

Perdana Menteri, Datuk Sri Mohd Najib bin Tun Haji Abdul Razak, yang menghadiri Majlis Ihya’ Rahmat Ramadhan Felda Peringkat Kebangsaan di Felda Sungai Sayong, di sini turut meluangkan masa meninjau RMR1M  dan melawat rumah penduduk generasi kedua Felda.

PM bersalam bersama salah seorang penghuni RMR1M

PM bersalam bersama salah seorang penghuni RMR1M

Bagi salah seorang penghuni RMR1M, Azman Ahmad, 52, dia amat bersyukur selepas hasratnya untuk memiliki rumah sendiri di dalam kawasan felda ini akhirnya menjadi kenyataan .

“Alhamdulillah, dengan bayaran bulanan hanya RM 150 sebulan, ianya sangat berbaloi untuk dimiliki,” kata Azman yang juga merupakan seorang penyelia pembinaan.

Seorang suri rumah, Zaleha Roslan, 48, pula menganggap RMR1M adalah hadiah daripada pihak daripada kerajaan kepada rakyat marhaen sepertinya. “ Ini merupakan mimpi jadi kenyataan kepada keluarga kami kerana sebelum ini, kami hanya penyewa di felda ini “ katanya lagi yang juga merupakan salah seorang anak peneroka generasi pertama Felda Sungai Sayong.

Pengerusi SPNB, Datuk Dr. Abdul Latiff Ahmad dalam taklimatnya kepada Perdana Menteri berkata, sebanyak 191 unit rumah RMR1M telah disiapkan di Felda Sungai Sayong dari keseluruhan 436 unit di empat rancangan Felda di Johor.

PM bertanya khabar kepada pemilik rumah, Azman Ahmad

PM bertanya khabar kepada pemilik rumah, Azman Ahmad

“Jumlah kos yang dibelanjakan untuk pembinaan RMR1M di sini adalah sebanyak RM 33 juta di mana Kerajaan Persekutuan menyumbang kira-kira RM 9 juta sebagai subsidi, manakala pihak Felda membelanjakan kira-kira RM 4 juta bagi tujuan infrastruktur bekalan air,” katanya lagi.

Perdana Menteri seterusnya berbuka puasa bersama-sama hampir 5000 warga peneroka seluruh negara di padang Sekolah Kebangsaan LKTP Sungai Sayong, dan menunaikan solat tarawih di Masjid Felda Sungai Sayong.

Turut hadir Datuk Mohamed Khaled Nordin, Menteri Besar Johor, Datuk Halimah Mohamed Sadique, Timbalan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan merangkap Ahli Parlimen Tenggara dan Tan Sri Shahrir Samad, Pengerusi Felda.

 

-MRR

Tinggalkan komen anda