Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomeSelangor

‘Call Before You Dig’ Medium Berkesan Salur Maklumat Pembaikan Jalan

By 15 Jun 2017Tiada komen2 minit bacaan

 

 Laporan dan foto oleh: Norfarhana Mohd Zainal Abidin (Petaling)

SHAH ALAM, 15 Jun (Malaysiaaktif) – Gangguan perkhidmatan akibat kerosakan kabel dan fiber bawah tanah merupakan sesuatu yang tidak dapat dielakkan. Gangguan ini bukan sahaja melibatkan kos yang besar untuk dibaik pulih tetapi juga boleh menjejaskan perkhidmatan lain yang menggunakan sistem telekomunikasi selain menjejaskan reputasi syarikat.

Justeru, dalam membendung dan mengurangkan masalah ini, Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) bekerjasama dengan Malaysian Access Forum Berhad (MAFB) membangunkan portal ‘Call Before You Dig’ (CBYD) sebagai salah satu usaha proaktif dalam memastikan gangguan perkhidmatan berada pada tahap minimum.

Menurut Timbalan Menteri KKMM, Datuk Jailani Johari, melalui inisiatif ini, pihak kontraktor dan syarikat yang akan menjalankan kerja penambahbaikan jalan perlu memberitahu terlebih dahulu kepada pihak MAFB untuk memastikan maklumat tersebut dimasukkan ke dalam portal CBYD bagi memberi makluman kepada syarikat utiliti dan pengendali kemudahan awam.

Ucapan perasmian oleh Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Datuk Jailani Johari

Ucapan perasmian oleh Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Datuk Jailani Johari

“Setakat ini, sebanyak lima syarikat telekomunikasi telah menyertai inisiatif ini antaranya TIME, MAXIS, DiGi, Telekom Malaysia dan CELCOM. Sektor kemudahan awam lain seperti elektrik, air, gas, Jabatan Kerja Raya (JKR), Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) seluruh negara dan syarikat-syarikat lain yang mempunyai aset bawah tanah juga diseru untuk menyertai inisiatif ini,” ujar Jailani.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Pelancaran Portal ‘CBYD’ Malaysian Access Forum Berhad di Glenmarie Golf & Country Club, di sini, hari ini.

Tambahnya, penggunaan portal seperti ini sejajar dengan perkembangan negara maju seperti Amerika Syarikat.

“Saya melihat penggunaan Portal CYBD ini akan membantu pemain industri di dalam kerja-kerja perancangan untuk memperluaskan perkhidmatan pada masa hadapan melalui data

yang dikumpulkan dalam portal ini.

“Selain sektor telekomunikasi, penggunaan portal ini wajar dipertimbangkan untuk diperluaskan skopnya ke sektor kemudahan awam lain seperti eletrik, air dan gas,” jelas Jailani.

Pengerusi MAFB, Datuk Mohd Taib

Pengerusi MAFB, Datuk Mohd Taib

Turut hadir, Pengerusi MAFB, Datuk Mohd Taib dan Ketua Pegawai Pembangunan Industri Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Datuk Mohd Ali Hanafiah Mohd Yunus.

Portal ‘CBYD’ yang telah siap dan diuji sejak awal tahun 2017 ini telah mencatatkan pengurangan kes pemotongan kabel iaitu hanya sebanyak lima kes dalam suku tahun pertama dan kedua tahun 2017 berbanding 34 kes tempoh yang sama pada tahun 2016. Pengguna boleh melayari portal ini di laman web http://cbyd.com.my/.

Tinggalkan komen anda