Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahKuala LumpurViralWilayah Persekutuan

Kempen Keselamatan Jalan Raya, Ops Bersepadu Dilancarkan Menjelang Aidilfitri

By 15 Jun 2017Tiada komen2 minit bacaan

 

 Laporan dan foto oleh: Norizah Jadid & Amirah Ahmad (Kuala Lumpur)

KUALA LUMPUR, 15 Jun (Malaysiaaktif) – Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai hari ini mengumumkan berkenaan pelaksanaan program advokasi dan penguatkuasaan pada musim hari raya ini.

“OPS Selamat ke-11 akan dilancarkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) bermula 18 Jun hingga 2 Julai 2017 manakala OPS Bersepadu oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) pada tempoh yang sama serta larangan kenderaan barangan tertentu pada 24 dan 25 Jun dan juga pada 1 dan 2 Julai 2017,” katanya.

Menurut Liow, Kementerian Kesihatan Malaysia melalui Jabatan Kecemasan dan Trauma dengan kerjasama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia dan Angkatan Pertahanan Awam akan bersedia 24 jam untuk memberi bantuan kecemasan kepada mangsa kemalangan sepanjang kempen ini diadakan.

“Statistik masih menunjukkan peningkatan berterusan kemalangan dan kematian di jalan raya walaupun banyak kempen telah dijalankan,” katanya lagi.

Jelasnya, pada tahun 2016, jumlah kemalangan jalan raya telah meningkat kepada 521,466 berbanding 489,606 tahun 2015.

“Jumlah kematian juga menunjukkan peningkatan yang begitu mendadak bagi tahun 2016 dengan 7,152 kematian berbanding 6,706 pada tahun 2015,” katanya.

Tambahnya, 62.7 peratus daripada kemalangan maut di jalan raya merupakan pengguna motosikal dengan 4,485 mangsa telah direkodkan oleh PDRM.

“Bertemakan ‘Pandu Cermat, Sampai Selamat’, Kementerian menyeru orang ramai supaya menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam terutamanya pada musim perayaan dan kemudahan-kemudahan dalam sistem pengangkutan awam akan terus dinaik taraf untuk menyediakan perkhidmatan yang cekap dan keselesaan kepada pengguna,” kata Liow lagi.

Liow berkata demikian pada Majlis Pelancaran Kempen Keselamatan Jalan Raya dan Ops Bersepadu Bersempena Perayaan Hari Raya Aidilfitri Peringkat Kebangsaan Tahun 2017, di sini hari ini.

Datuk Seri Liow Tiong Lai semasa pelancaran Kempen Keselamatan Jalan Raya dan Bersepadu bersempena dengan Perayaan Aidilfitri.

Datuk Seri Liow Tiong Lai semasa pelancaran Kempen Keselamatan Jalan Raya dan Bersepadu bersempena dengan Perayaan Aidilfitri.

Pada majlis yang sama, Liow turut menjelaskan berkenaan Program Automated Awareness Safety System (AwAS), program gabungan penggunaan teknologi berkamera (AES) dan potongan mata demerit (KEJARA) yang dijangka mampu mendidik pengguna jalan raya untuk mematuhi peraturan dan mengurangkan kadar kemalangan serta kematian di jalan raya.

Menurut Liow, pelaksanaan program AwAS ini membuktikan keberkesanan program dan penguasaan nilai-nilai kesedaran keselamatan jalan raya yang tinggi dalam kalangan rakyat.

“JPJ sedang mengemaskini sistem AwAS dan aplikasi AwAS akan diwujudkan untuk memudahkan pengguna jalan raya menyemak mata demerit di telefon pintar,” katanya lagi.

Tambahnya, kempen ini juga akan diadakan di peringkat negeri dan daerah supaya dapat meningkatkan kesedaran keselamatan jalan raya dan mengurangkan kadar kemalangan.

Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan, Datuk Seri Saripuddin Kasim dan Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya, Datuk Rosli Isa.

 

– AH

Tinggalkan komen anda