Skip to main content
Berita TempatanNegeri Sembilan

My Daftar Cuba Atasi 20 Ribu Masalah Dokumentasi

By 16 Jun 2017Tiada komen2 minit bacaan

Laporan & Foto: Ramasamy Amas (Jempol)

JEMPOL, 16 Mei (Malaysiaaktif) – Pejabat Pendaftaran Negara Daerah Jempol telah menerima sebanyak 170 permohonan semasa Kempen Mega My Daftar yang diadakan semalam.

Menurut Pegawai Penyelaras Kempen, SP.Manivasakam tujuan program tersebut diadakan adalah untuk menyelesaikan permasalahan yang dihadapi oleh masyarakat India.

“Mereka ini lahir di Malaysia tetapi tidak mempunyai dokumentasi yang lengkap seperti kad pengenalan dan sijil kelahiran. Ada juga permohonan sijil kewarganegaraan kerana telah berkahwin dengan orang tempatan dan  menetap di Malaysia melebihi 30 tahun.

Datuk L.Manickam membuat tinjuan proses pendaftaran di JPN

Datuk L.Manickam membuat tinjuan proses pendaftaran di JPN

“Program ini dikendalikan oleh Unit Khas Pembangunan Masyarakat India (SEDIC) Jabatan Perdana Menteri di bawah Pelan Tindakan Pembangunan Masyarakat India (Malaysian India BLUEPRINT) yang dilancarkan oleh Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak pada 23 April 2017 di PWTC Kuala Lumpur.

Tambahnya, salah satu kandungan dalam Malaysia India BLUEPRINT ialah menyelesaikan 20,000 permasalahan dokumentasi masyarakat India di seluruh Malaysia yang masih belum mendapat taraf kewaganegaraan yang berpunca daripada daftar lewat.

Sementara itu, ketika ditemui Malaysiaaktif semalam, Pappayee Periasamy, 80, yang merupakan pemegang kad pengenalan warna merah berkata ini merupakan percubaannya untuk kali kelima.

“Saya sudah lima kali minta. Masih tidak dapat. Jadi saya harap percubaan kali ini berjaya,” ujarnya yang lahir di Johor dan kini menetap di Jempol.

Dalam pada itu, pemohon, Sellva Kannan, 37, pula mengatakan dia tidak mempunyai sijil kelahiran kerana ketika ibunya mengandungkannya, bapanya terlibat dalam kemalangan jalan raya dan meninggal dunia.

Proses Pendaftaran Kad Pengenalan

Proses pendaftaran kad pengenalan

“Saya mempunyai tiga orang adik-beradik yang mempunyai dokumen pengenalan yang lengkap. Akibat daripada kecuaian  ibu,  saya menghadapi masalah kewarganegaraan.

“Saya telah mohon sijil kelahiran sebanyak lima kali tetapi permohonan ditolak. Saya yang berstatus bujang berharap permohonan kali ini mendapat pertimbangan yang sewajarnya, agar saya dapat mendirikan rumah tangga,” ujar tukang rumah itu lagi.

Bagi Anbalagan Nagamani, 57 yang berasal dari India dan berkahwin dengan orang tempatan pada 1979 pula telah memohon sijil warganegara sebanyak tujuh kali tetapi ditolak.

Kini saya perlu menjalani pembedahan tulang belakang dan amat  berharap agar permohonan kali ini berjaya,” ujar ibu kepada dua orang anak itu lagi.

Terdahulu pada Selasa, seramai 110 permohonan telah dibuat di Pejabat Pendaftaran Negara Daerah Seremban.

Program Mega My Daftar diadakan di 23 tempat yang terpilih di seluruh Malaysia bermula pada 5 Jun di Johor dan berakhir pada 22 Jun di Jabatan Pendaftaran Negara, Putrajaya.

-SF

Tinggalkan komen anda