Skip to main content
Berita TempatanHomePahang

PM Lancar LJK8 Pahang

By 18 Jun 2017Jun 19th, 2017Tiada komen2 minit bacaan

Oleh: Saiful Zalizan dan Ahmad Nizam Abidin / Foto: Ismael Idris (Pekan)

PEKAN, 18 Jun (Malaysiaaktif) – Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak merasmikan pelancaran Projek Lampu Jalan Kampung Fasa Lapan (LJK8) Peringkat Negeri Pahang dalam Majlis Berbuka Puasa di Masjid Felda Chini 1, Pekan, semalam.

Menurut Najib sehingga kini sebanyak 25,612 unit lampu telah dipasang di Pahang dan sebanyak 7,770 unit lampu lagi bakal dipasang untuk menerangi kampung-kampung di Negeri Pahang dengan kos RM6.62 juta.

Penyampaian sumbangan kepada warga emas

Penyampaian sumbangan kepada warga emas

“Pihak kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM100 juta bagi menyediakan sebanyak 122,133 unit lampu jalan di seluruh negara di bawah LJK8 ini.

“Projek ini telah dilancarkan di peringkat Negeri Sembilan dan Perak yang masing-masing melibatkan 4,337 dan 12,680 unit lampu.

“Secara keseluruhan fasa satu hingga fasa tujuh LJK, sebanyak 300,000 unit jalan kampung telah dipasang di seluruh negara dengan peruntukan sebanyak RM150 juta.

“Jumlah keseluruhan 25,612 unit lampu jalan yang dipasang di Pahang merangkumi lampu jenis Light Emitting Diode (LED) dan jenis High Pressure Sodium Vapour (HPSV),” ujarnya.

Projek Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) yang dilaksanakan sejak 2003 menerusi Program Bekalan Elektrik Luar Bandar dengan pihak Tenaga Nasional Bhd (TNB) yang bertanggungjawab menjadi pelaksana projek ini membolehkan pergerakan penduduk kampung menjadi lebih selamat apabila kawasan yang dahulunya gelap ketika malam kini terang disinari cahaya lampu jalan.

Pada majlis tersebut, Najib turut menyampaikan sumbangan duit raya kepada wakil lapan Felda Gugusan Chini yang terdiri daripada Pengerusi dan Timbalan Pengerusi JKKR dan sumbangan kepada warga emas Felda Chini 1 seramai 180 orang.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Felda Pahang merangkap ADUN kawasan Chini, Datuk Abu Bakar Harun, Pengarah KKLW Pahang, Datuk Mohd Aruwan Ab. Aziz, dan Pengurus Besar Kanan (Hal Ehwal Koporat) TNB, Datuk Ir. Mohd Aminudin Mohd Amin.

3. Antara asnaf yang hadir ketika Majlis Penyampaian Sumbangan dan Zakat 2017 di Dewan Konvensyen Sultan Haji Ahmad Shah

Antara asnaf yang hadir ketika Majlis Penyampaian Sumbangan dan Zakat 2017 di Dewan Konvensyen Sultan Haji Ahmad Shah

Terdahulu, Najib turut mengagihkan wang zakat yang diterima daripada 11 agensi korporat bernilai RM2.63 juta kepada 6347 golongan asnaf ketika Majlis Penyampaian Sumbangan dan Zakat 2017 di Dewan Konvensyen Sultan Haji Ahmad Shah di sini.

“Walaupun ekonomi dunia menguncup, Alhamdulillah ekonomi Malaysia berada di landasan yang betul. Ini membolehkan pengusaha mendapat rezeki yang lebih dan seterusnya mengeluarkan zakat,” ujarnya.

Antara agensi yang menyumbang ialah
Bank Rakyat, Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) dan Naza Corporation Holding Sdn. Bhd.

 

-SF

 

Tinggalkan komen anda