Skip to main content
Berita TempatanHomePutrajayaSabahWilayah Persekutuan

TN50-Niat Ke Program, Tapi Akhirnya Urus Ibu Bersalin

By 18 Jun 2017Tiada komen4 minit bacaan

 

Oleh Asmidar Zainol / Foto: Vicky Sylvester Matanjang & IM (Sabah)

KOTA KINABALU, 18 Jun (Malaysiaktif) – Lain dirancang, lain yang jadi. Niat seorang doktor ingin tiba awal di Kota Kinabalu untuk menyertai program Bicara Komuniti TN50@KKLW, sebaliknya terpaksa masuk ke kawasan pedalaman Pensiangan sejurus menerima panggilan kes kecemasan.

Begitulah tanggungjawab Ukim Antiko, 29, sebagai seorang doktor yang bertugas di Klinik Kesihatan Pensiangan sejak 2016.

Ukim mewakili Persatuan Murut Tahol Sabah untuk menyampaikan aspirasi
di hadapan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Khamis.

“Pada awalnya, saya bercadang untuk bertolak dari Nabawan pada awal pagi dan berehat di klinik berhampiran sebelum majlis bermula, tetapi pada Rabu sekitar 9.00 malam, saya mendapat panggilan untuk membantu kes seorang ibu bakal bersalin.

“Saya bersama pemandu tiba sekitar 11.00 malam dan mengikut perancangan sebenar, ibu berkenaan akan dibawa ke Hospital Keningau tetapi memandangkan jalan yang teruk dan licin akibat hujan maka rancangan tersebut terpaksa ditukar dengan membantu ibu tersebut bersalin di rumah sahaja.

“Pada 1.44 pagi, ibu berkenaan selamat melahirkan seorang bayi perempuan. Sebaik selesai segala urusan ibu dan bayi, saya kembali ke Nabawan pada 7.00 pagi dan terus bertolak ke sini (Kota Kinabalu) untuk hadir program hari ini,” ceritanya kepada hadirin yang seterusnya mendapat sorakan ‘Onsoi’ yang bermaksud ‘Bagus’
dalam bahasa Murut daripada para peserta program.

Ukim semasa menyampaikan aspirasi kaum Murut.

Ukim semasa menyampaikan aspirasi kaum Murut.

Ukim yang berasal dari Kampung Empat, Nabawan berkata, sepanjang perjalanan ke Pensiangan dari Nabawan, kenderaan mereka hampir terbabas disebabkan keadaan jalan tanah merah yang licin dan juga tiada lampu jalan di kawasan tersebut.

“Mewakili masyarakat Murut, saya berharap pihak kerajaan dapat meningkatkan kualiti jalan raya untuk kemudahan masyarakat pedalaman berulang alik dari kampung ke bandar.

“Selain itu, aspirasi kami lebih tertumpu kepada pendidikan. Mengapa pendidikan? Melalui pendidikan kita dapat melakukan transformasi dan seterusnya membantu ekonomi negara dan diri sendiri, dapat mengembangkan kebudayaan tempatan dan perkara-perkara lain.

“Sebagai contoh kaum Bumiputera iaitu orang Melayu ramai yang telah berjaya, dan transformasi tersebut juga telah berjaya melahirkan seorang angkasawan di negara ini.

“Walaupun kita bukan orang Melayu, kita tetap berasa bangga dengan kejayaan tersebut namun kita perlu ingat, sekiranya sebatang tubuh, tangannya rosak maka tubuh tersebut tidak dianggap sempurna.?

“Sama seperti negara ini, sekiranya pendidikan hanya tertumpu kepada orang semenanjung atau bangsa-bangsa seperti Cina, India dan Melayu sehingga tertinggal kaum Bumiputera yang lain, maka Malaysia masih belum cukup sempurna,” katanya.

Menurut Ukim, dia dibantu oleh kerajaan melalui pinjaman MARA untuk melanjutkan pelajaran di Indonesia dalam bidang perubatan.

“Semasa belajar di Indonesia, saya ingin menyampaikan dan menunjukkan budaya orang Murut kepada masyarakat dunia tapi ibarat menyalakan api dengan hanya menggunakan sebatang kayu sangat susah kecuali kalau kita menggunakan mancis begitulah diri pada ketika itu.

“Oleh yang demikian, saya memohon untuk diberi kesempatan kepada kaum bumiputera iaitu Murut, Kadazan, Dusun, Sungai untuk dibawa keluar bukan hanya keluar dari tempat asal mereka tetapi keluar dari bumi Malaysia untuk diberi pendedahan tentang dunia luar.

“Kenapa saya berkata sedemikian, supaya mereka ini diberi pendedahan bahawa kita bukan lagi berada di dalam dunia moden tetapi di dalam dunia pasca moden yang kini teknologi hanya di hujung jari, sangat laju dan ini ialah salah satu cara agar mereka dapat berfikiran lebih terbuka,” terangnya.

Ukim turut berharap melalui pendidikan dapat membuka minda orang-orang di pendalaman untuk mengubah cara pemikiran dari hanya berfikir ‘cari makan hanya untuk hari ini’ kepada bagaimana untuk memajukan diri dan ekonomi keluarga.

“Kita perlu tukar cara pemikiran orang-orang kampung di pendalaman, dari cukup hanya dengan ada makan, minum dan tempat berteduh kepada kemajuan diri sendiri, keluarga dan masyarakat amnya,” katanya.

Ismail semasa menyampaikan ucapan aluan Bicara Komuniti TN20 @ KKLW bermula.

Ismail semasa menyampaikan ucapan aluan Bicara Komuniti TN20 @ KKLW bermula.

Program jelajah Bicara Komuniti Tranformasi Nasional (TN50) anjuran Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) pada Khamis disertai oleh 300 golongan belia bawah 40 tahun yang terdiri daripada wakil-wakil persatuan, mahasiswa, graduan serta individu-individu persendirian.

Bicara Komuniti TN50 @ KKLW telah diadakan di zon tengah, zon selatan, zon utara, zon pantai timur dan Sarawak berjaya menarik seribu peserta dan mengumpulkan hampir 1000 aspirasi serta idea belia luar bandar.

Sementara itu, Menteri KKLW, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kementeriannya akan mengambil perhatian kepada semua aspirasi juga idea para belia yang dikumpulkan sepanjang program berkenaan untuk dimasukkan dalam pelan tindakan dasar baharu sebagai usaha merealisasikan pembangunan di luar bandar lebih mampan demi kesejahteraan generasi TN50.

“Secara umum, belia yang hadir pada hari ini memberi pandangan dan cadangan aspirasi untuk memodenkan luar bandar supaya tiada jurang perbezaan antara bandar dan luar bandar serta tidak ada lagi istilah belia bandar dan luar bandar.

“Menerusi transformasi luar bandar diperkenalkan kementerian, kita juga menyasarkan untuk mengurangkan penghijrahan daripada luar bandar ke bandar serta mewujudkan migrasi yang berbeza dengan belia yang bekerja di bandar akan pulang ke kampung kerana ada pekerjaan, perumahan dan sebagainya disediakan,” katanya kepada media selepas program tersebut tamat.

 

-SF

Tinggalkan komen anda