Skip to main content
Berita SarawakBerita TempatanHome

Tabah Kasih Seorang Bapa Tunggal

By 19 Jun 2017Tiada komen2 minit bacaan

 

 Laporan dan foto oleh : Mohd Baharruddin Mohamad (Sarawak)

MUKAH, 19 Jun (Malaysiaaktif) – Seorang bapa tunggal yang telah berpisah dengan isterinya yang berketurunan Iban-Muslim, Hamdan Ikok, 49, tidak pernah mengeluh biarpun terpaksa membesarkan lima anaknya dalam keadaan serba kekurangan.

Hamdan (dari kanan), bersama-sama empat anaknya di rumah mereka di No. 20 Jalan Pam Stesyen Lama, Kampung Tellian Laut, Mukah.

Hamdan (dari kanan), bersama-sama empat anaknya di rumah mereka di No. 20 Jalan Pam Stesyen Lama, Kampung Tellian Laut, Mukah.

“Kami sekeluarga hidup dalam keadaan yang amat menyedihkan, serba kekurangan dan terpaksa tinggal di rumah usang peninggalan arwah bapa saya di Jalan Pam Stesyen Lama, Kampung Tellian Laut sejak 25 tahun lepas.

“Setiap kali tibanya Hari Raya Aidilfitri, kami sekeluarga tidak pernah merayakannya di sini, tetapi pulang ke rumah ibu saya di Kampung Penakub Ulu, Hulu Mukah disebabkan kami tidak mempunyai tempat yang selesa dan kekurangan dalam perbelanjaan untuk meraikannya,” ujar Anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) ini.

Menurut Hamdan, anak-anaknya terdiri daripada Mohd. Safarul Hamdan, 21 yang belum memiliki pekerjaan tetap, Nor Shafarina, 20, yang di tugaskan untuk menjaga rumah serta membantu mengurus adik-adiknya, dan masing-masing Mohd. Izzat, 16, Nor Izzana, 13, dan Mohd. Hasnan Shah, 11, yang masih bersekolah.

“Sejak 7 tahun lepas, apabila ibu kepada anak-anak ini berpisah dengan saya, kami enam beranak terus tinggal di rumah usang ini walaupun keadaannya semakin hari semakin buruk dan seakan-akan hendak runtuh. Walau apa pun dugaannya, kami tetap tabah menghadapinya,” ujarnya yang ditemui pemberita di kediamannya semalam.

Hanya cahaya lilin yang menjadi penerang kegelapan keluarga ini.

Hanya cahaya lilin menemani gelap malam keluarga ini.

Kisah seorang bapa yang terpaksa menyara dan membesarkan anak-anaknya di sebuah rumah usang  tanpa kemudahan elektrik telah menarik perhatian Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita dan Pembangunan Kanak-Kanak Sarawak, Datuk Fatimah Abdullah serta beberapa agensi lain untuk mengadakan aktiviti gotong-royong membersihkan kawasan rumah serta menghulurkan bantuan kewangan.

Meskipun serba kekurangan, namun anak-anaknya tidak pernah mengeluh biarpun kadang-kadang terpaksa menjamah nasi kosong dan terpaksa berpanas kerana ketiadaan kemudahan elektrik serta hanya diterangi cahaya lilin sahaja.

Selain mendapat elaun sebagai anggota APM, beliau turut mengambil upah menjahit kasut bagi menampung perbelanjaan keluarganya.

Rumah usang dan buruk Hamdan dan tempat berteduh lima anak-anaknya terletak di No. 20, Jalan Pam Stesen Lama, ini turut mengalami kebocoran di beberapa tempat dengan dinding yang papan kayunya yang sudah terkopak.

-SH

Tinggalkan komen anda