Skip to main content
Berita TempatanSabah

Kurma, Baklawa Kegemaran Semua Bangsa

By 20 Jun 2017Tiada komen2 minit bacaan

Laporan oleh: Fauzrina Bulka / Foto: Azman Jumat (Sabah)

KOTA KINABALU, 20 Jun (Malaysiaaktif) – Produk Timur Tengah seperti  kurma atau baklawa kini bukan sahaja digemari oleh masyarakat Islam malah turut digemari oleh pelbagai bangsa kerana keenakan dan khasiatnya.

Ini diakui sendiri oleh Dorie Otion @ Marie Trease, 61 yang berbangsa Kadazan kerana sangat menggemari makanan tersebut dan sering membelinya walaupun bukan pada bulan Ramadan.

Dorie yang gemarkan kurma dan baklawa

Dorie yang gemarkan kurma dan baklawa

“Adakalanya saya hanya bersarapan dengan kurma dan air putih yang cukup memberi tenaga kepada saya, pada usia begini saya perlu menjaga makan untuk mengekalkan kesihatan,” katanya.

Dorie yang mempunyai lima orang anak juga menggemari baklawa kerana khasiat kekacang yang terdapat pada makanan tersebut serta rasanya yang tidak manis.

“Dua daripada lima orang anak saya beragama Islam, jadi saya tidak kekok untuk menikmati makanan sebegini malahan sering membelinya untuk dihadiahkan kepada mereka,” ujar Dorie.

Dorie ditemui ketika Majlis Pra Pembukaaan BTC Halal Mart yang memasarkan pelbagai produk dari Timur Tengah dan dirasmikan oleh Menteri Pembangunan Masyarakat Dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Sabah, Datuk Jainab Ahmad Ayid semalam.

1.Abdul Kadir (tiga dari kanan) bersama isteri Sithi Kathija Begam (dua dari kanan) menunjukkan pelbagai jenis kurma yang ditawarkan di BTC Halal Mart pada Jainab (kanan)

Abdul Kadir (tiga dari kanan) bersama isteri Sithi Kathija Begam (dua dari kanan) menunjukkan pelbagai jenis kurma yang ditawarkan di BTC Halal Mart pada Jainab (kanan)

Pengarah Urusannya, Datuk Abdul Kadir M.E. Sikkandar berkata lebih banyak cawangan akan dibuka di seluruh Sabah seperti Tawau, Sandakan dan Beaufort juga di Sarawak dan Brunei.

“Untuk menjamin kesegaran produk seperti kurma, kami menyimpannya pada suhu yang sesuai dan mengimport stok baharu dua kali seminggu,” jelasnya.

Produk lainnya seperti wangian, kosmetik dan makanan dipilih daripada sumber yang halal dan mesra solat agar pelanggan yang menggunakannya tidak merasa was-was.

“Kami juga menawarkan peluang francais dalam masa terdekat kepada usahawan muda yang rajin dan ingin mengembangkan sayap perniagaan ke peringkat yang lebih tinggi, malah melengkapkan mereka dengan latihan yang diperlukan,” katanya.

Antara 150 orang menerima sumbangan

Antara 150 orang menerima sumbangan

Terdahulu, BTC turut mengadakan Majlis Penyampaian Sedekah Jariah kepada ibu tunggal, warga emas dan golongan kurang berkemampuan di pekarangan Wisma BTC yang melibatkan 150 orang penerima.

Sumbangan yang diberikan berbentuk wang ringgit dan keperluan asas seperti beras, susu, gula, minyak dan sebagainya.

-SF

Tinggalkan komen anda