Skip to main content
Berita SarawakBerita TempatanHome

‘Jom Sungkey’ Bersama Ketua Menteri Sarawak

By 20 Jun 2017Tiada komen3 minit bacaan

 

 Laporan dan foto oleh : Mahdini Jaini / Bolhan Basah (Sarawak)

MIRI, 20 Jun (Malaysiaaktif) – Sambutan bulan Ramadan tahun ini memberi memori indah kepada warga Miri khususnya penduduk di kawasan Piasau kerana berlangsungnya penganjuran majlis ‘Jom Sungkey’ yang diadakan buat julung kalinya bersama Ketua Menteri Sarawak Datuk Amar Abang Johari Tun Openg bertempat di Masjid Darul Ehsan, Piasau, di sini, semalam.

Pemilihan nama program ‘Jom Sungkey’ yang merupakan sebutan dialek bahasa Melayu Sarawak yang membawa maksud ‘Mari Berbuka’ ini amat bertepatan sekali dalam meningkatkan konsep perpaduan di kalangan masyarakat kerana ianya disertai hampir 2 ribu penduduk tempatan.

"Jom Sungkei" turut mengeratkan hubungan antara penduduk setempat

“Jom Sungkei” turut mengeratkan hubungan antara penduduk setempat

Tambah menarik, ianya merupakan kunjungan kali pertama Abang Johari dan isteri bagi bertemu dengan masyarakat Islam di Piasau Miri semenjak bergelar Ketua Menteri Sarawak yang baharu.

Pengalaman bersua muka bersama Abang Johari pastinya melakarkan kenangan menarik buat warga Piasau kerana mereka menghormati kredibiliti beliau sebagai ketua pemimpin negeri yang memiliki aspirasi murni dalam membangunkan negeri Sarawak.

Bagi Sarleni Julaihi, 14, beliau amat berterima kasih kepada Abang Johari kerana telah bermurah hati menyampaikan sumbangan hari raya kepadanya dan rakan-rakan yang senasib dengannya pada majlis tersebut dan berasa terharu dapat bersua muka dengan Ketua Menteri Sarawak itu.

Sarleni merupakan salah seorang daripada 43 orang anak yatim yang berada di bawah seliaan Biro Kebajikan dan Anak Yatim Masjid Darul Ehsan Piasau Miri yang telah menerima sumbangan raya daripada Abang Johari semasa majlis tersebut.

“Pemberian duit raya ini membolehkan saya membeli keperluan diri untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri kali ini tanpa perlu membebankan ibu yang merupakan seorang ibu tunggal kepada 6 orang anak,” jelasnya.

Pengerusi Biro Kebajikan dan Anak Yatim Masjid Darul Ehsan Piasau, Talhah Mansor menyatakan bahawa pihak beliau sangat menghargai kesudian Abang Johari menghulurkan sumbangan kepada anak-anak yatim di bawah seliaan bironya sempena kedatangan Syawal tahun ini.

Sarleni Julaihi (dua dari kanan) bersama-sama barisan anak yatim pada majlis ‘Jom Sungkey’.

Sarleni Julaihi (dua dari kanan) bersama-sama barisan anak yatim pada majlis ‘Jom Sungkey’.

“Pihak Biro begitu mengalu-alukan sumbangan Ketua Menteri Sarawak  kepada anak-anak yatim jagaan kami. Pada masa yang sama, kami sentiasa melaksanakan tanggungjawab sesama saudara Islam dalam menyampaikan sumbangan amal kepada  golongan yang memerlukan bantuan pada setiap tahun.

“Kami telah memperuntuk sebanyak RM52,260 sebagai agihan bantuan hari raya pada tahun ini untuk disalurkan kepada golongan memerlukan terdiri daripada anak-anak yatim, dan pelajar miskin dari sekitar kawasan Piasau,” katanya.

Pengalaman menjayakan majlis ‘Jom Sungkey’ semalam juga turut dikongsi oleh Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Cawangan Miri, Sharifah Fatimah Tuanku Pauzi yang bertanggungjawab menyelia persediaan jamuan majlis.

Menurut Sharifah Fatimah, pengalaman ahli wanita PERKIM Miri yang kerap terlibat membantu bahagian jamuan di majlis-majlis besar sebelum ini banyak melancarkan proses penyediaan jamuan berskala besar sebegini.

Salah seorang ahli PERKIM Cawangan Miri yang terlibat Habsah Haji Daud berkata, keterujaan beliau dan rakan-rakan meraikan kedatangan pertama kali Abang Johari ke kawasan Piasau sebagai seorang Ketua Menteri Sarawak bersama isteri menambahkan lagi semangat mereka bekerjasama bertungkus-lumus menyediakan hidangan berbuka puasa terbaik kepada para hadirin.

“Saya secara peribadi amat berterima kasih kerana penganjuran majlis sebegini membuatkan rakyat merasa lebih dekat kepada pemimpin dan merasa dihargai. Rakan-rakan saya yang lain juga berkata mereka rasa bertuah kerana bukan selalu mendapat peluang berbuka puasa bersama Ketua Menteri Sarawak memandangkan ini kali pertama beliau ‘bersungkey ‘ dengan masyarakat Piasau,” ujarnya lagi.

Rata-rata warga Piasau yang ditemui menyatakan rasa gembira dengan kehadiran Abang Johari ke kawasan Piasau dan mengharapkan agar kerajaan negeri menyokong pembangunan dan kebajikan rakyat di Piasau dan di Miri secara keseluruhannya.

-SH

Tinggalkan komen anda