Skip to main content
Berita TempatanHomeSabah

Kari Kambing, Laksa Masakan Isteri Menu Terbaik

By 20 Jun 2017Tiada komen3 minit bacaan
Laporan & Foto: Fauzrina Bulka (Sabah)

KOTA KINABALU, 19 Jun (Malaysiaktif) – “Secara peribadi saya sangat menggemari kari kambing masakan isteri. Banyak tempat dan restoran saya makan, namun kari kambing dia yang saya rasa terbaik”.

Demikian pujian suami, Ishak Sheikh Omar, 39, terhadap juadah lebaran kegemarannya hasil air tangan isteri tercinta, Rusini Aliuddin, 36, yang menghidap kanser paru-paru tahap empat.

“Apa lagi kalau dia masak laksa, memang mantap dan cukup rasa, sedih juga kalau dikenang semula, namun perjuangan memerangi kanser lebih utama pada saya,” luah Ishak.

Ishak yang setia menjaga Rusini dan empat orang cahayamata mereka

Ishak yang setia menjaga Rusini dan empat orang cahayamata mereka

Menurut Ishak, pertama kali isterinya dikesan menghidap kanser paru-paru adalah pada 20 Ogos 2015, dan kini telah merebak hingga ke otak dan tulang.

“Lebih kurang satu tahun 11 bulan dia tidak sihat. Dalam tempoh itu dia menjalani kimoterapi dalam dua kali, yang mempunyai enam pusingan setiap rawatan,” jelasnya.

Mujur Rusini layak untuk menerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) bagi menampung perbelanjaan perubatannya memandangkan bantuan RM100 sebulan oleh Majlis Kanser Nasional (MAKNA) telah dihentikan dan sempat diterima selama enam bulan sahaja.

Tambahnya,dia sudah membuat rayuan memohon disambung semula bantuan daripada MAKNA, namun masih belum menerima maklum balas.

Menurutnya lagi, perbelanjaan untuk makanan sampingan Rusini termasuk susu Ensure berjumlah RM600 sebulan.

Jainab(kiri) menerima kek buatan tangan Rusini(kanan)

Jainab(kiri) menerima kek buatan tangan Rusini(kanan)

Namun hasil lawatan Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna Sabah, Datuk Jainab Ahmad Ayid bersama Syukbah Hal Ehwal Wanita Masjid Bandar Raya pada petang Sabtu, memberi khabar gembira apabila kementerian terbabit membantu membekalkan susu berkenaan sebanyak lima tin setiap minggu.

Syukbah yang diketuai oleh Pengerusinya, Datuk Dr. Suzain Suhaimi turut menugaskan seorang jururawat untuk datang merawat Rusini setiap minggu bagi memantau perkembangan kesihatannya.

“Masa saya sangat padat, saya perlu bijak menguruskan anak-anak ke sekolah ditambah lagi dengan tugas hakiki saya sebagai pemandu bas, namun saya sangat bersyukur urusan saya dipermudah selain majikan yang sangat memahami situasi saya,” katanya.

Sejak sakit, Ishak akan mula menyediakan makanan sejurus selepas mengerjakan solat Subuh untuk isterinya yang akan ditinggakan bersendirian di rumah ketika dia keluar bekerja dan anak-anak ke sekolah.

“Kadang-kadang dia minta buah-buahan saja sebab kalau ambil makanan berat dia akan muntah-muntah kesan daripada kanser yang telah melarat ke otak.

“Tapi susu itu yang paling utama harus disediakan, sebab doktor maklumkan susu boleh jadi pengganti jika dia tidak mahu makan,” jelas Ishak.

Apa yang mengagumkan isterinya itu yang sangat berdikari, kerana dalam keadaan kritikal seperti itu masih rajin untuk membuat kek bagi menampung perbelanjaan perubatannya.

Anak-anak yang menerima hakikat kesihatan ibu mereka.

Anak-anak yang menerima hakikat kesihatan ibu mereka.

“Anak kedua saya Nurathirah Syazwani, 16 yang banyak membantu ibunya membuat kek berbanding adik-adiknya, tetapi bila ibu mereka mula membuat biskut, yang lain akan membantu juga,” ujarnya yang mempunyai empat orang cahaya mata.

Ishak yang tinggal di Kampung Lapasan berkata, Ramadan merupakan bulan yang sangat dinantikan isterinya malahan Rusini telah cuba untuk berpuasa pada hari pertama Ramadan dan dia berjaya.

“Namun bermula puasa ketiga dan seterusnya dia tidak dapat teruskan kerana kebergantungan kepada morfin apabila dia berasa sakit,”ujarnya.

Juadah berbuka untuk Ramadan tahun ini disediakan sendiri oleh Ishak manakala pada waktu bekerja dia hanya sempat membeli di baazar sahaja, kecuali ketika Rusini rasa bertenaga, dia akan cuba masak untuk anak-anak.

Kata Ishak, dia merindui pengalaman menikmati suasana malam takbir, ketika melihat isterinya membuat persediaan memgemas rumah dan kesibukannya mengatur keperluan anak-anak.

“Untuk hari raya tahun ini, persiapan kami agak sederhana memandang kesihatan isteri, ada juga dia cuba membuat kuih-kuih namun saya tidak begitu menyokong kerana melihat kudratnya yang agak lemah,” ujar Ishak yang telah menikah Rusini sejak 19 tahun lalu.

 

-SF

Tinggalkan komen anda