Skip to main content
Berita TempatanHomeNegeri Sembilan

Peniaga Char Kuetiau Intai Peluang ke Melbourne

By 20 Jun 2017Tiada komen3 minit bacaan

 

Laporan / foto: Noorshazana Shaadan (Port Dickson)

PORT DICKSON, 20 Jun (Malaysiaaktif) – “Kini, kami dalam proses membuka dua lokasi yang dikenal pasti iaitu di Shah Alam dan Melaka. Pada masa yang sama kami juga ada mendapat tawaran untuk membuka cawangan di Melbourne dan Singapura.”

Demikian ujar pemilik King’s Char Kuey Tiow ( King’s CKT), Aizat Zulhaile Abu Bakar, 30, yang kini bergelar usahawan muda ketika ditemui di Jalan Pantai Batu 4 baru-baru ini.

Pemilik King’s Char Kuey Tiow, Aizat Zulhaile (kanan)

Pemilik King’s Char Kuey Tiow, Aizat Zulhaile (kanan)

Aizat yang mula menceburi bidang perniagaan kuetiau ini pada 2008 menjelaskan pengalaman berniaga kecil-kecilan tanpa sistem yang teratur amatlah perit untuknya. Namun, segalanya adalah berbaloi baginya apabila kini dia mampu membina empayar perniagaan sendiri.

“Dulu, ketika baru sahaja mendirikan rumah tangga, saya berniaga di pasar malam bersama isteri dan perlu mencari pelanggan bagi mendapatkan pendapatan. Penat berniaga dengan cara yang tidak teratur ini.

“Ketika itu, saya rasa perlu tingkatkan perniagaan ini dan berasa perniagaan berasaskan makanan adalah yang mudah. Orang cakap, tak mudah untuk berjaya dan itulah yang saya lalui sepanjang masa ini,” katanya.

Aizat mencari peluang dan melakukan kajian dari segi tempat dan produk yang tepat untuk perniagaannya sebelum mengambil keputusan untuk menubuhkan King’s CKT.

Pernah menjadi pilihan  program makanan sebuah stesen TV.

Pernah menjadi pilihan program makanan sebuah stesen TV.

“Port Dickson sememangnya terkenal dengan sektor pelancongan. Kebanyakan kedai makanan yang terdapat di sini ialah masakan tomyam. Pastinya pengunjung perlukan kelainan.

“Saya ingin memenuhi kehendak pengunjung yang datang ke Port Dickson. Maka terhasilah King’s CKT.

“Pernah untung dan juga pernah rugi. Tapi, apa boleh buat. Saya kena usaha dan cari peluang untuk terus menjadikan King’s CKT sebagai satu jenama makanan yang bukan hanya terkenal di utara Malaysia tapi, di Port Dickson,” ujarnya.

Tidak mahu hanya fokus kepada keuntungan semata-mata, Aizat berkata, dia sentiasa memantau sendiri perniagaannya walaupun mempunyai 30 orang kakitangan.

Kesemua pekerjanya telah pun menerima suntikan typhoid selaras dengan Akta Makanan 1983 dan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 secara berkala setiap tiga tahun bagi memastikan kebersihan sentiasa diutamakan semasa penyediaan makanan.

Pada masa yang sama harga jualan, King’s CKT juga dipantau oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan yang sentiasa mengawal harga makanan secara berkala bagi memastikan harga makanan yang disediakan di King’s CKT ialah sekitar RM5.30 hingga RM7 sepinggan.

Tambah Aizat, dia turut ingin membantu para peniaga kecil yang terdapat di Port Dickson untuk berniaga secara kecil-kecilan melalui sistem perniagaan yang betul dan baik.

IMG-20170615-WA0009-1024x768

Sementara itu, Pegawai Pemasaran, Emillia Ismail, 35, mengatakan  King’s CKT unik dan sedap.

“Saya suka sebab kicap yang digunakan. Rasanya tetap sama walau berulang kali datang ke King’s CKT. Pada saya King’s CKT lain daripada yang lain,” ujarnya.

Bagi pelajar, Rafiq Haziq, 16, yang ditemui di restoran berkata rasa King’s CKT sama seperti char kuetiau di Pulau Pinang ditambah pula dengan udang dan kerang segar.

Bersempena, bulan Ramadan ini, Aizat juga mengadakan majlis sumbangan kepada golongan asnaf dan anak yatim bagi berkongsi apa yang dimiliki bersama dengan mereka yang kurang berkemampuan.

“Pihak King’s CKT telah menjalankan agihan bantuan dengan kerjasama The 3rd Force Negeri Sembilan dan individu perseorangan kepada 300 orang golongan asnaf, anak yatim dan Pusat Tahfiz Rantau,” jelasnya.

King’s CKT beroperasi bermula dari 4.00 petang sehingga 2.00 pagi pada setiap Selasa hingga Ahad.

 

-SF

Tinggalkan komen anda