Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahNegeri Sembilan

Istiadat Berkodin, Turunkan Harta Pusaka

By 3 Julai 2017Tiada komen3 minit bacaan

 

Laporan / foto oleh Hamidah Md Drus (Kuala Pilah)

KUALA PILAH, 3 Jul (Malaysiaaktif) – “Jika seseorang itu tidak mempunyai anak perempuan tetapi dia berhajat untuk menurunkan harta pusakanya disebabkan  usia, maka adat ‘berkodin’ perlu dilakukan”.

Demikian kata penganjur, Rusli Muhamad, 62, yang ditemui ketika upacara berkodin yang diadakan di Kampung Cheriau, Senaling pada Sabtu.Tambahnya, menerusi amalan adat perpatih di Negeri Sembilan, harta pusaka termasuk tanah hanya boleh diturunkan kepada anak perempuan dan tidak boleh diturunkan kepada anak lelaki.

Rusli Mohamad

Rusli Mohamad

“Bagi orang Negeri Sembilan, setiap anggota masyarakat adat perpatih ialah ahli keluarga atau anggota kepada salah satu daripada suku-suku tersebut,” ujarnya.

Berkodin yang antara lain membawa maksud saudara dan jika ditambah imbuhan ‘ber’ kodin memberi pengertian bersaudara atau lebih sinonim dengan perkataan ‘masuk suku’.

Di Negeri Sembilan, terdapat sejumlah 12 suku utama, iaitu Biduanda, Batu Hampar, Seri Melenggang, Tanah Datar, Seri Lemak, Mungkal, Tiga Nenek, Paya Kumbuh, Anak Melaka, Anak Acheh, Batu Belang dan Tiga Batu.

Suku seseorang itu biasanya mengikut suku ibunya. Maka mereka yang berkahwin dengan perempuan yang bukan berasal dari Negeri Sembilan pastinya tidak mempunyai suku. Di sinilah upacara ber’kodin’ ini diperlukan bagi memastikan harta pusaka boleh diwarisi dan generasi tersebut mempunyai suku.

Dalam upacara tersebut, Dr Noraziah Datuk Idris ‘mengkodin’ kan dua anak buahnya, Nurshazana Shafiqah Mohd Shahari, 20, dan Intan Norshazana Mohd Shaha, 24, yang bersuku Seri Melenggang.

Dalam erti kata lain Norshazana dan Intan akan menjadi anak angkat kepada Dr Noraziah. Jika upacara ber’kodin’ ini tidak dilakukan harta pusaka yang dimiliki oleh ibu angkat tadi akan terlepas kepada waris yang lain.

Tiasa Muhamad Yassin

Tiasa Muhamad Yassin

Dalam pada itu, ibu kepada Dr Noraziah, Datin Tiasa Muhamad, 77, menjelaskan ber’kodin’ terbahagi kepada dua jenis, iaitu berkodin pinang sebatang dan berkodin aur serumpun.

“Majlis ini ialah berkodin aur serumpun yang bermaksud waris akan mendapat keseluruhan harta pusaka sehinggalah ke anak cucu, cicit. Namun jika berkodin pinang sebatang, harta pusaka hanya diwarisi oleh anak angkat sahaja bukan keturunannya.

“Upacara berkodin aur serumpun yang membabitkan pemberian harta pusaka juga perlu melibatkan Datuk Lembaga, buapak, besar waris dan ibu soko. Seekor kerbau akan  disembelih untuk diambil darahnya bagi upacara ‘cocah darah’,” ujarnya.

Upacara bermula dengan penerangan diberikan oleh Datuk Lembaga yang bertanggungjawab sepenuhnya dalam majlis ini. Seterusnya  Tok Lembaga menepung tawar Intan dan Nurshazana. Upacara ‘cocah darah’ kerbau di atas kain putih oleh ibu soko, sebagai simbolik kepada masuk suku di Negeri Sembilan.

Alat berkodin yang digunakan termasuk tepak sirih, tilam pandak, benang, kain putih

Alat berkodin yang digunakan termasuk tepak sirih, tilam pandak, benang, kain putih

Sementara itu, kedua-dua yang di’kodin”kan, Tok Lembaga, besar waris dan buapak, menandatangani surat pengesahan ber’kodin’. Surat ini merupakan perakuan penting apabila perbicaraan tentang tanah pusaka.

Tambah Rusli, adat ini perlu diteruskan supaya tidak lapuk ditelan zaman dan anak-anak muda sekarang perlu tahu adat perpatih bukan hanya tidak boleh kahwin sesama suku malah lebih daripada itu, khasnya pembahagian harta pusaka jika mereka tidak mempunyai waris perempuan.

 

-SF/AAS

Tinggalkan komen anda