Tamu Khas Miri, Lubuk Rezeki Masyarakat Kayan

tamoo

 

 Laporan dan Foto oleh : Luhat Ajang (Sarawak)

MIRI, 6 Jul (Malaysiaaktif) – Dianggarkan sekitar 10,000 orang masyarakat Kayan baik dari Baram mahupun Belaga telah berhijrah ke Miri. Menurut Presiden Persatuan Kayan Sarawak (PKS) yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telang Usan, Dennis Ngau, angka itu bagaimanapun merupakan anggaran sahaja.

Ada sesetengahnya memilih bidang perniagaan kecil-kecilan seperti berniaga di tamu-tamu yang terdapat di bandaraya Miri untuk menambah pendapatan bulanan. Salah satu pusat penjaja yang sudah cukup dikenali dan terletak di tengah-tengah bandaraya Miri selain Tamu Muhibbah dan Tamu Kedayan ialah Tamu Khas.

Ubong Jok (kanan) dan suami sabar menanti pelanggan.

Ubong Jok (kanan) dan suami sabar menanti pelanggan.

Tamu Khas ini dikongsi bersama masyarakat Kayan, Kenyah, Iban, Melayu dan Kelabit dan sebagainya untuk sama-sama mencari rezeki. Semangat muhibah dan setiakawan terpancar di wajah masing-masing dalam persaingan mencari rezeki. Setiap peniaga disediakan satu meja atau lot dengan bayaran sebanyak RM30 sebulan kepada Majlis Bandaraya Miri (MBM).

Ubong Jok, keturunan Kayan, 66 tahun, telah mula berjinak-jinak dengan perniagaan ini setelah tidak larat lagi mengusahakan tanah di kampung halamannya iaitu Kampung Long Panai, Tutoh Baram. Beliau telah memulakan perniagaannya pada tahun 1991 dengan menjual hasil-hasil hutan dan kraftangan yang dibuat sendiri.

“Sudah 26 tahun saya berniaga di sini, pelbagai ragam mahupun gelagat peniaga, pelanggan ataupun orang ramai dapat saya saksikan. Kebanyakan peniaga di sini sudah kenal antara satu sama yang lain,” katanya.

Ubong memberitahu beras Bario yang dijualnya merupakan salah satu pilihan utama pengunjung yang datang dari luar Miri mahupun dari Semenanjung Malaysia dan negara jiran, Brunei Darussalam untuk dijadikan buah tangan ataupun dimakan.

“Seorang guru dari Lawas merupakan seorang pelanggan tetap yang datang mengunjungi saya. Biasanya dia akan membeli dalam kuantiti banyak untuk kegunaan sendiri mahupun dipesan oleh rakan-rakan guru di sekolahnya. Mereka begitu menggemari beras ini kerana sangat enak,” tambah Ubong yang mempunyai 3 orang anak.

Suaminya yang turut sama membantu, Wan Anyie, memberitahu hasil jualan pada zaman permulaan dahulu adalah amat memberangsangkan hingga kekadang mereka kehabisan sumber. Walau bagaimanapun kini, hasil jualan agak merosot mungkin disebabkan keadaan ekonomi semasa yang tidak menentu.

Pelbagai jualan disediakan di Tamu ini.

Pelbagai jualan disediakan di Tamu ini.

“Rezeki tidak akan datang bergolek jika kita sendiri tidak berusaha mencari dan mendapatkannya. Janganlah berasa takut dan segan mencuba sesuatu bidang perniagaan jika hendak Berjaya,” ujarnya.

Pasangan ini berasa selesa berulang-alik ke tamu ini menggunakan perkhidmatan bas dari rumah mereka di Senadin yang memakan masa lebih kurang sejam setiap hari.

Sementara itu salah seorang penjual nenas di tamu ini yang sempat ditemui memberitahu jualan nenas akan bertambah pada musim-musim perayaan. Madang Laing, 55 tahun, berasal dari Kampung Long Sepiling, Tinjar Baram telah berniaga di sini sejak tahun 2002.

Madang yang menjual sendiri nenas hasil titik peluh sendiri memberitahu salah satu masalah yang dihadapi di tamu ini ialah kekurangan lot atau petak (meja) untuk peniaga-peniaga yang ingin menjual hasil mereka.

“Ramai yang telah memohon lesen ataupun permit dari Majlis Bandaraya Miri (MBM) untuk berniaga tetapi tidak kesemuanya diluluskan. Kami kadang-kadang terpaksa berkongsi tempat berniaga. Kalau boleh sediakan banyak lagi meja supaya kami dan rakan-rakan yang lain dapat menjual nenas masing-masing,” kata Madang.

Sementara itu, seorang peniaga wanita keturunan Kelabit yang sudah begitu fasih berbahasa Kayan dari Long Bedian, Bariat Uding , 67 tahun, turut sama-sama mencari rezeki di sini. Bariat yang sudah 10 tahun berniaga di sini menjual beras, belacan, pisang dan sebagainya memberitahu beliau sering tidur di sini kerana tidak mahu berulang-alik setiap hari. Beliau sebelum ini pernah berniaga di Tamu Krokop selama 29 tahun.

Rata-rata peniaga di sini mengharapkan agar pihak berwajib mengambil langkah keselamatan di tamu ini memandangkan kes-kes kecurian sering berlaku. Selain itu mereka juga berharap agar lawatan dilakukan lebih kerap untuk memastikan keselamatan mahupun kebersihan tempat ini terjaga dan seterusnya menarik lebih ramai lagi pelanggan berkunjung.

-SH
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...