SL1M Sabah Tawar Lebih 5000 Peluang Pekerjaan

WhatsApp Image 2017-07-10 at 3.44.36 PM

 

 Liputan dan Foto Oleh : Norhazlinawati Mat & Nornisah Khairoji (Kuala Lumpur)

KUALA LUMPUR, 10 Julai (Malaysiaaktif) – Seramai 10,000 pengunjung dijangka membanjiri Universiti Malaysia Sabah (UMS) bagi menghadiri Program Temu Duga Terbuka Skim Latihan 1Malaysia (SL1M) peringkat negeri Sabah pada 22 dan 23 Julai ini.

Ketua Sekretariat SL1M, Norashikin Ismail berkata pelbagai aktiviti menarik turut diadakan sepanjang program berlangsung.

“Antaranya Resume Clinic, Career Talk, Gerai Jualan dan Cabutan Bertuah yang menawarkan pelbagai hadiah kepada pengunjung seperti motosikal dan pelbagai barangan elektrik,” katanya.

Menurut Norashikin, penampilan istimewa selebriti iaitu Faizal Tahir, kumpulan ZERO Maharaja Lawak Mega, Jimmy Palikat dan Firman AF yang akan memberi motivasi dan berkongsi pengalaman diharap dapat menarik lebih ramai anak muda seluruh Sabah yang belum mempunyai pekerjaan untuk turut sama merebut peluang.

“Graduan juga tidak perlu risau berkaitan kos pengangkutan jika terpilih untuk bekerja di Semenanjung Malaysia kerana pihak SL1M dan syarikat akan cuba membantu jika benar-benar memerlukan,” jelasnya pada Majlis Sidang Media Program Temu Duga Terbuka SL1M Peringkat Negeri Sabah, di sini hari ini.

Tambah Norashikin, pelbagai Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) seperti PETRONAS, Tenaga Nasional Berhad, Maybank dan CIMB Bank akan turut serta dalam program ini.

“Namun, pihak SL1M masih membuka ruang kepada mana-mana syarikat yang ingin turut serta dan membuka ‘booth’ dalam program temu duga ini dan sebarang pertanyaan berkenaan perkara ini, boleh hubungi talian 03-8872 3350,” katanya lagi.

Ketua Sekretariat SL1M, Norashikin Ismail bersama selebriti yang akan hadir memeriahkan program.

Ketua Sekretariat SL1M, Norashikin Ismail bersama selebriti yang akan hadir memeriahkan program.

Sementara itu, penyanyi, Faizal Tahir turut menyarankan orang ramai supaya hadir beramai-ramai ke program ini yang merupakan usaha kerajaan untuk memberi peluang kepada generasi muda mencari pekerjaan yang lebih baik.

SL1M merupakan program kelolaan Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri dengan usaha sama syarikat GLC dan swasta lain yang memfokuskan kepada para graduan ijazah sarjana muda dan ke atas serta belum mendapat pekerjaan, terutamanya yang berasal dari keluarga berpendapatan rendah dan menetap di luar bandar.

Sehingga 1 Julai 2017, seramai 120,000 peserta telah dibantu melalui Program SL1M dengan penglibatan secara langsung ataupun tidak langsung.

Program yang menawarkan lebih 5,000 peluang pekerjaan serta latihan kepada semua pencari kerja tanpa mengira latar belakang dan peringkat kelulusan ini, akan diteruskan ke peringkat Zon Selatan dan Zon Barat pada Ogos dan September 2017.

– AH

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...