Laluan MRT-SBK Bakal Tingkat Taraf Pengangkutan Awam

WhatsApp Image 2017-07-13 at 5.12.30 PM

 

 Laporan dan Foto oleh: Siti Suhaila Batun & Mazlina Abdul Aziz (Kuala Lumpur)

KUALA LUMPUR, 13 Julai (Malaysiaaktif) – Pembukaan fasa kedua Transit Aliran Massa (MRT) laluan Sungai Buloh-Kajang (SBK) pada 17 Julai ini akan meningkatkan liputan rangkaian rel di bandar raya Kuala Lumpur.

Menurut Pengarah Projek Laluan SBK, Marcus Levon Karakashian, dengan pembukaan fasa kedua ini bermakna keseluruhan Laluan SBK sepanjang 51km telah siap dibina.

“Pengguna kini boleh sampai ke pusat bandar raya Kuala Lumpur seperti Segitiga Emas atau Golden Triangle, Bukit Bintang dan kawasan Chinatown, Petaling Street dengan mudah dengan menggunakan laluan SBK.

“Fasa ini terdiri dari Stesen Semantan ke Stesen Kajang merangkumi bahagian bawah tanah dengan panjang 9.5km dan bahagian bertingkat selatan yang panjangnya 20.5km dan mempunyai 19 stesen, tujuh daripadanya adalah stesen bawah tanah.

“Projek ini dapat meningkatkan perkhidmatan pengangkutan awam di bandar raya Kuala Lumpur,” jelasnya pada taklimat bersama media, di sini hari ini.

Dari kiri: Pengarah Komersil dan Pengurusan Tanah, MRT Corp, Datuk Haris Fadzilah Hassan, Pengarah Komunikasi Strategik dan Hal Ehwal Pihak Berkepentingan MRT Corp, Datuk Najmuddin Abdullah dan Marcus Levon Karakashian semasa lawatan ke salah satu stesen bawah tanah.

Dari kiri: Pengarah Komersil dan Pengurusan Tanah, MRT Corp, Datuk Haris Fadzilah Hassan, Pengarah Komunikasi Strategik dan Hal Ehwal Pihak Berkepentingan MRT Corp, Datuk Najmuddin Abdullah dan Marcus Levon Karakashian semasa lawatan ke salah satu stesen bawah tanah.

Tambah Marcus, pembukaan Laluan MRT SBK ini dapat memudahkan perjalanan, meningkatkan ekonomi dan peluang pekerjaan kepada semua golongan masyarakat.

“Tujuh kemudahan tempat letak kereta terdapat di stesen Maluri, Taman Midah, Taman Suntex, Bandar Tun Hussein Onn, Bukit Dukong dan Sungai Jernih akan dibuka pada tarikh dilancarkan nanti.

“Pembinaan MRT Laluan SBK telah siap sepenuhnya dan bersedia memulakan perkhidmatan pada minggu hadapan selepas ianya dilancarkan pada 17 Julai 2017 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak,” ujar Marcus lagi.

Dalam pada itu, Pengarah Komunikasi Strategik dan Hal Ehwal Pihak Berkepentingan, Mass Rapid Transit Corporation Sdn. Bhd (MRT Corp), Datuk Najmuddin Abdullah berkata, semua tujuh stesen pertukaran Laluan akan mula beroperasi dengan pembukaan fasa kedua nanti.

“Antara yang boleh dinikmati oleh para pengguna MRT adalah setiap stesen tersebut mempunyai daya tarikan tersendiri iaitu dari segi tempat duduk atau ruang menunggu yang berbeza di setiap stesen, selain mendapat perkhidmatan yang selesa, tren mesra pengguna, mempunya kemudahan lif, surau dan sebagainya.

“Ini akan membenarkan pengguna bertukar dari perkhidmatan MRT ke perkhidmatan rel yang lain dengan lebih cepat dan mudah untuk mereka ke lokasi-lokasi di Kuala Lumpur,” katanya.

Sesi lawatan ke salah satu stesen bawah tanah, stesen Bukit Bintang.

Sesi lawatan ke salah satu stesen bawah tanah, stesen Bukit Bintang.

Najmuddin turut menjelaskan bahawa stesen Pertukaran di bawah fasa kedua ini meliputi stesen Muzium Negara, Pasar Seni, Merdeka (Lot 10, Bukit Bintang), Maluri dan Kajang.

Turut hadir, Pengarah Komersial dan Pengurusan Tanah, MRT Corp, Datuk Haris Fadzilah Hassan.

– AH

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...