Skip to main content
Berita TempatanSabah

Parodi “Sakinah” Tarik Lebih 105 Ribu Pengikut FB

By 17 Julai 2017Tiada komen7 minit bacaan

Laporan: Fauzrina Bulka / Foto: Vicky Matanjang (Sabah)

KOTA KINABALU, 17 Jul (Malaysiaktif) – Dalam tempoh hanya beberapa minit, jumlah penonton yang mengikuti video tutorial solekan di laman sosial miliknya meningkat mendadak membuktikan anak muda ini mempunyai pengikutnya sendiri.

Mempunyai lebih 105 ribu pengikut dalam laman sosial facebooknya, mungkin tidak ramai yang mengenalinya dengan nama sebenar kerana Muhamad Sharizan Tahir, 22 lebih dikenali dengan nama Sakinah.

“Segalanya bermula pada November 2010, ketika saya muncul dengan watak parodi Sakinah vs Ondu, tidak pernah menjangka watak tersebut dapat diterima oleh penonton,” ujarnya.

Watak Sakinah banyak membantunya dikenali oleh orang ramai sehingga bilangan pengikut meningkat setiap kali video di muat naik di laman sosial facebooknya.

Namun, begitu banyak sokongan yang diterima, tidak kurang juga dengan kecaman, lebih-lebih lagi apabila lelaki lembut mengambil alih tugas wanita sebagai jurusolek.

“Manusia memang tidak boleh melihat orang lain kurang atau lebih sedikit, lihat sahaja lelaki lembut pasti dilemparkan dengan pelbagai kata kesat dan menuduh kami membuat benda yang tidak senonoh,” katanya.

Menurut Sharizan, dia hanya berpenampilan seperti Sakinah atas sebab tuntutan kerja dan permintaan penonton, tetapi dalam kehidupan normal, dia hanyalah seorang lelaki biasa.

“Saya beraksi sedemikian agar wanita tulen dapat inspirasi dengan penampilan saya, jika saya boleh tampil cantik, mengapa tidak mereka? Apa yang perlu hanya teknik yang sesuai untuk menutupi kekurangan mereka,” katanya yang mula meminati bidang solekan seawal usia 12 tahun.

Kata Sharizan, mungkin minatnya terhadap solekan dipengaruhi oleh kegemaran ibunya yang gemar bersolek sewaktu mengandungkannya.

Bersama ibu bapa yang kini menyokong kerjayanya

Bersama ibu bapa yang kini menyokong kerjayanya

Ibu dan ayah Sharizan pada awalnya membangkang minatnya yang menggemari alat solek, sehingga suatu ketika alat soleknya dibuang oleh ayah kerana tertekan dengan kata-kata nista yang dilemparkan oleh jiran-jiran terhadapnya.

Namun Shahrizan tidak menghiraukan kecaman tersebut, dan tetap meneruskan minatnya untuk menyolek, menyanyi, menari dan membuat komedi.

Hasil daripada usahanya itu juga, dia mampu memberikan perbelanjaan sekolah untuk enam orang adiknya dan membelikan pelbagai hadiah untuk ibunya.

Menurut Sharizan, masalah yang sering dihadapi oleh jurusolek sepertinya apabila dikecam kerana mengenakan bayaran yang tinggi walaupun pelanggan inginkan solekan yang ringkas.

“Dalam dunia solekan, tiada istilah solekan ringkas kerana segalanya perlu menggunakan pelbagai barangan untuk menjadikan pelanggan cantik dan barangan yang kami gunakan pula tentulah mahal dan berkualiti,” katanya.

Menggunakan barang yang berkualiti sangat penting untuk mengelakkan kulit wajah pelanggan rosak dan dia juga menasihati para wanita agar tidak lokek untuk mengeluarkan sedikit perbelanjaan untuk kelihatan cantik dan sihat.

“Elakkan membeli barangan tiruan dari gerai-gerai di kaki lima, ini kerana kita tidak pasti kandungan bahan yang digunakan sama ada halal atau menggunakan bahan yang mengandungi kimia yang pasti akan merosakkan wajah,” katanya.

Impiannya agar dapat membanggakan ibu bapanya dan dapat membuktikan pada masyarakat yang pernah mengecamnya bahawa pilihan yang dibuat tidak sia-sia.

Kepada individu yang ingin berjinak-jinak untuk menjadi jurusolek, nasihatnya agar jangan sombong dan sentiasa terbuka untuk menerima teguran dan tidak jemu mencari ilmu.

“Masa depan dunia persolekan pasti cerah jika sesama kita tiada perasaan iri hati dan cemburu. Saya sentiasa berpegang pada kata-kata ‘dalam rezeki kita, pasti ada rezeki orang lain’.

“Jika ada tugas yang saya tidak dapat laksanakan, pasti saya akan serahkan kepada rakan jurusolek yang lain, begitulah caranya kita dapat membantu rakan-rakan dalam dunia ini,” katanya.

Sara mendapat inspirasi daripada watak Lion King

Sara mendapat inspirasi daripada watak Lion King

Berbeza pula dengan bakat yang dimiliki oleh anak kelahiran Bintulu ini, Win anak Bisa, 30 yang telah empat tahun bergiat secara aktif dalam seni solek Special Effect (SFX).

“Saya memang minat dunia solekan ini dari kecil lagi, dan tujuan saya belajar SFX kerana ingin mempelbagaikan teknik selain solekan kecantikan untuk majlis perkahwinan, makan malam atau pun majlis rasmi,” katanya yang telah lima tahun menetap di Penampang, Sabah.

Win mempelajari teknik SFX daripada jurusolek Ella Sandera yang juga merupakan idolanya kerana mempunyai banyak pengalaman menyolek ramai artis yang berlakon dalam filem-filem tempatan.

“Ella juga pernah melibatkan saya bersama beberapa orang jurusolek lain dalam penggambaran filem berbahasa Arab yang dijalankan di sebuah pulau di negara ini,” katanya.

Pengalaman mencabar tersebut tidak akan dapat dilupakan oleh Win kerana perlu menaiki bot dan berpanas selama empat hari tiga malam bagi memastikan penggambaran berjalan dengan baik.

“Kami perlu berjaga sehingga lewat pagi dan sentiasa bersedia untuk memberikan khidmat kami hingga dapat tidur selama tiga jam sahaja, tapi itu pengalaman yang menyeronokkan buat saya,” katanya.

Menurut Win, peralatan solekan untuk SFX agak sukar didapati di pasaran Malaysia dan perlu ditempah di luar negara membuatkan harga keseluruhan barangan yang lengkap kira-kira RM10,000.

Cabaran untuk menunjukkan seolah-olah karya tersebut 'hidup' dan 'asli'

Cabaran untuk menunjukkan seolah-olah karya tersebut ‘hidup’ dan ‘asli’

“Mungkin itu jugalah penyebab ramai jurusolek kurang berminat untuk terlibat dalam dunia SFX kerana perlukan kos yang tinggi tetapi bagi saya jika sudah minat, saya usahakan juga dengan membeli sedikit-sedikit,” jelasnya.

Pendapatan bulanannya pula bergantung kepada permintaan yang mana solekan untuk SFX banyak diterima pada musim-musim tertentu seperti perayaan Halloween, ataupun jika dia mendapat permintaan untuk sesebuah filem.

“Kesan luka kecil ditangan sudah mencecah RM300, dan caj yang dikenakan mencapai RM1000 ke atas mengikut luka-luka yang mereka pinta,” ujar Win.

Win turut berimpian untuk membuka studio solek sendiri dan berjumpa dengan jurusolek terkenal dari luar negara sperti Maya Mia serta berjaya dalam bidang ini seperti idolnya, Ella Sandera.

Win juga sering mengikuti kelas solekan anjuran Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) kerana agensi tersebut menyediakan penceramah yang berkualiti untuk memberi tunjuk ajar kepada jurusolek.

“FINAS sangat membantu jurusolek seperti kami yang mungkin kekurangan modal untuk mengikuti kelas-kelas solekan kerana kebiasaannya akan mengenakan kos yuran yang mahal menjangkau RM1000, tetapi dengan FINAS, kami hanya perlu mengeluarkan sejumlah RM30 sahaja,”katanya.

Dalam pada itu, Sabah juga sangat berbangga kerana mempunyai bakat besar seperti Indah Saraswati Suharto, 35 yang dikenali hingga peringkat antarabangsa.

Buktinya, Sara banyak menerima tajaan daripada jenama antarabangsa untuk digayakan dalam solekan wajah yang diinspirasikan daripada watak-watak adiwira dan cerita-cerita fantasi.

Antara tajaan yang diterima adalah daripada NYX Cosmetics Malaysia dan sigma Beauty, produk penjagaan wajah, produk langsing Flat Tummy Tea, kanta lekap Coloured Contacts dan juga telefon bimbit Samsung.

“Saya aktif menconteng wajah sejak 2011, dan mula mendapat perhatian selepas membuka akaun di laman media sosial instagram pada 2014 dan kemudian muncul dalam media-media barat,” jelasnya.

Hingga kini, pengikut di akaun instagramnya ‘Queenofluna’ meningkat sehingga 366 ribu orang yang meliputi hampir dari seluruh negara.

8

Sara yang mempunyai Diploma Perguruan pernah menjadi seorang guru pada sewaktu ketika dahulu namun kini memilih untuk menjadi seorang suri rumah sepenuh masa agar dapat memberi tumpuan kepada dua orang anak lelakinya.

“Saya akan mula menconteng wajah selepas anak-anak sudah ke sekolah, ataupun pada sebelah malam selepas anak-anak tidur,” katanya yang mengamalkan pengambilan vitamin C dan buah oren bagi membantu penjagaan wajah.

Menjadikan jurusolek Promise Tamang sebagai sumber inspirasi, Sara juga akan memulakan kolaborasi untuk kali kedua bersama akademi solekan dari Australia yang menjadikan dirinya sebagai inspirasi para pelajar untuk mempelajari teknik solekan.

Lebih manis, Sara juga telah melakukan semua seni solekan itu dengan berhijab yang dipelbagaikan mengikut setiap karakter yang dipilih.

Pada awal kemunculannya dahulu, Sara juga pernah dikecam kerana melukis watak Joker dengan berhijab, tetapi dia tidak pernah terkesan dengan setiap kecaman kerana dia melakukannya untuk kepuasan diri sendiri dan bukan untuk orang lain.

Melalui minatnya itu juga Sara dapat menarik perhatian pencipta superhero Marvel, Stan Lee dengan menjadi pengikutnya di akaun Instagram.

Sara juga turut menasihati para wanita agar teruskan minat masing-masing walaupun bergelar suri rumah dengan menggunakan sepenuhnya masa terluang dan mencari inspirasi melalui Internet.

Sementara itu, Ketua Wilayah, Bahagian Perlesenan dan Penguatkuasaan FINAS Sabah, Zulkarnanin Hassan berkata seorang jurusolek sememangnya merupakan sebahagian keperluan dalam perfileman dan mereka memegang peranan yang penting.

Zulkarnanin Hassan.

Zulkarnanin Hassan.

“Setiap penggambaran filem mesti melibatkan jurusolek bukan sahaja untuk mencantikkan tetapi untuk memberi sesuatu kesan bagi membantu untuk menghidupkan sesuatu watak,” katanya.

Menurutnya, atas dasar kepentingan adanya jurusolek ini, maka FINAS mengambil inisiatif untuk membantu menganjurkan kursus-kursus dengan kos yuran yang rendah.

“Kita tahu mereka terpaksa mengeluarkan perbelanjaan yang tinggi untuk mendapatkan ilmu melalui kursus yang diadakan di luar, yang biasanya menjangkau ribuan ringgit, dan inilah inisiatif untuk membantu mereka,” jelasnya ketika dihubungi.

Kata Zulkarnanin, walaupun peserta hanya perlu mengeluarkan sebanyak RM30 sahaja, tetapi FINAS telah mengeluarkan belanja yang agak banyak untuk mendapatkan khidmat profesional.

“Saya pasti kerjaya jurusolek ini mempunyai masa depan yang cerah, dan jika dilakukan dengan betul, mereka mungkin berpeluang untuk mendapat tawaran bekerja sehingga ke luar negara,”katanya.

-SF

Tinggalkan komen anda