Skip to main content
Berita TempatanSabah

KopiKopiBisnes Kumpul Usahawan Muda Ranau

By 17 Julai 2017Tiada komen4 minit bacaan

Laporan: Sharin Mujin & Hazlinah Samsir / Foto: Mohd Syukri Saridih (Sabah)

RANAU, 17 Jul (Malaysiaktif) – Usahawan muda Ranau berkumpul dalam program KopiKopiBisnes berkongsi perjalanan memajukan perniagaan masing-masing di salah sebuah kafe daerah tersebut, pada Sabtu. 

Menurut ahli penganjur program berkenaan Sharin Mujin, 30, yang berasal dari Kampung Timbua, kehadiran para usahawan adalah amat memberangsangkan.

Antara belia yang hadir

Antara belia yang hadir

“Anggapan saya meleset dengan kehadiran mereka yang sanggup datang dari Kota Kinabalu untuk menyertai bicara santai yang kami anjurkan ini.

“Pada andaian saya, mungkin program ini tidak akan mendapat sambutan kerana ini satu perkongsian ilmu dan bukannya hiburan yang sentiasa menarik ramai penonton.

“Namun begitu, bukan sahaja para usahawan yang menghadirkan diri, malah anak-anak muda tempatan turut muncul untuk menuntut ilmu dan mendengar pengalaman yang disampaikan oleh jemputan kami,” jelasnya.

Ujarnya, aspek penyumbang ke arah negara maju apabila rakyatnya berusaha jadi usahawan kerana mampu merancakkan ekonomi Negara. Anak muda harus berani mencabar diri mereka.

Tambahnya, dua jemputan utama perkongsian tersebut ialah Pengasas Arnab Village Ranau, Jubair Juhinin, 27 berasal dari Kundasang dan Pengarah Tech Com Ranau, Ung Heng On, 29 dari Kampung Tagudon Baru. 

Menurut Jubair, dia tidak menyangka bahawa bermula dengan sepasang arnab sahaja telah membawanya mencipta sebuah seperkampungan arnab. 

Menurut Jubair, suatu ketika dahulu hanyalah hobi yang dia kembangkan dengan ilmu keusahawanan daripada pelbagai sumber.

“Ilmu ialah akar yang sangat penting untuk kita memulakan perniagaan. Kefahaman yang baik tentang pengurusan akan menjadikan perniagaan kita lebih maju.

“Saya sendiri tidak hanya menghadiri kursus-kursus keusahawanan yang diadakan di Sabah, malah saya sanggup membelanjakan wang untuk ke Semenanjung demi menambah ilmu perniagaan sedia ada,” katanya. 

Tambahnya, mempunyai Business Modal Canvas (BMC) adalah sangat penting bagi usahawan memulakan perniagaan. 

“BMC sangat penting apabila kita memulakan perniagaan. Saya memanggilnya sebagai tiang perniagaan. Hala tuju perniagaan sangat bergantung kepada BMC.

“Sekiranya BMC kita bagus maka sudah pasti perniagaan kita berjalan dengan lancer dan penting untuk kita mengurangkan kos dan menaikkan keuntungan perniagaan,” jelasnya. 

Dalam pada itu, beliau menambah bahawa perniagaan yang berjaya tidak menjual produk semata-mata, tetapi sesuatu yang mempunyai nilai.

Ung ketika berkongsi pengalamannya.

Ung ketika berkongsi pengalamannya.

Seorang lagi pengusaha kedai alat telekomunikasi, Ung Heng On yang memulakan perniagaannya dengan bermodalkan lima ribu sahaja. Kini berjaya memiliki tiga buah kedai telefon Oppo di pekan Ranau dalam tempoh tujuh tahun.
Menurutnya, apabila baru memulakan perniagan kita hendaklah berbelanja mengikut keperluan dan kemampuan. 

“Kalau kita baru memulakan bisnes, nasihat saya berbelanjalah mengikut kemampuan. Utamakan perniagaan melebihi keutamaan diri sendiri.

“Apa yang terjadi hari ini, kebanyakan orang kita, baru memulakan perniagaan terus tarik kereta di luar kemampuan kita. Akhirnya apabila perniagaan tidak menentu, beban kita berat bila ditambah dengan liabiliti kereta mewah itu. 

“Kalau kita mampu bawa Kancil, itu sudah cukup baik. Boleh juga bawa pergi Kota Kinabalu,” kongsinya. 

Selain itu, beliau turut menasihati para belia sekiranya memulakan perniagaan jangan menganggap diri sebagai bos, tetapi sebagai ketua yang menunjukkan teladan yang baik kerana pekerja kita juga sebenarnya sedang belajar dengan kita.

Manakala bagi Ketua Eksekutif syarikat servis pembersihan Bersih Borneo, Sayed Alwi, 28, dari Kampung Lohan Ulu berkongsi pengalaman bersama rakan kongsinya memulakan perniagaan hanya bermodalkan RM70 sahaja.

Sayed Alwi

“Kami bermula dengan modal sebanyak RM 70 sahaja. Kami bermula secara kecil-kecilan dahulu. Akhirnya dengan berkat kesabaran, kini kami mempunyai tiga orang pekerja dan peralatan pembersihan yang cukup. 

“Kuncinya adalah bermula dahulu dengan apa yang ada di tangan kita. Jangan takut untuk bermula kerana orang yang tidak bermula tidak akan berjaya,” katanya. 

 

Tambahnya, data pelanggan amat penting dalam perniagaan berbentuk perkhidmatan.

“Setakat ini kami telah berjaya mengumpul lebih daripada 100 datab pelanggan, dan data ini akan memudahkan kami untuk memberikan perkhidmatan kepada mereka pada masa akan datang. 

“Lebih mudah menjual kepada orang yang pernah berurusan dengan kita, berbanding mereka yang tidak pernah menggunakan perkhidmatan kita,” jelasnya lagi.

Menurutnya lagi, mereka sentiasa memberikan perkhidmatan yang terbaik kerana percaya itulah kunci pemasaran yang paling berkesan.

“Apabila orang berpuas hati dengan v kita, mereka pasti akan datang lagi dan mengajak orang lain untuk menggunakan perkhidmatan kami,” ujarnya.

Dalam pada itu, seorang pengusaha perniagaan inap desa dan kraf tangan yang berasal dari Kundasang, Azizul Julirin, 30, membentangkan data dan angka analisis jumlah kedatangan pelancong ke Sabah dan jumlah pendapatan pada tahun lepas.

“Industri pelancongan menjadi penyumbang terbesar ekonomi Sabah dengan nilai pendapatan kira-kira RM 6.4 billion pada 2016 dengan kehadiran pelancong sebanyak 3.42 juta (sumber statistik Tourism Board Sabah 2016).

“Peningkatan pendapatan industri pelancongan sejajar dengan pembangunan pesat sektor ini dan adanya produk menarik berasaskan alam semula jadi ditawarkan antaranya pulau yang indah dan Gunung Kinabalu. 

“Dengan mengandaikan pendapatan kerajaan daripada cukai yang dikenakan oleh kerajaan kepada produk-produk pelancongan sebanyak 10%, maka anggaran nilai ringgit yang masuk ke Sabah pada 2016 sebanyak 64 bilion.

“Sekiranya pengusaha pelancongan mampu mengambil peluang hanya sebanyak 0.00001 peratus sahaja daripada nilai 64 bilion tersebut, ia telah menjadi jutawan dengan pendapatan sebanyak 6.4 juta pada tahun lepas. 

“Maka, peluang usahawan tempatan dalam industri pelancongan terbuka luas khususnya di Ranau. Apa sahaja produk yang boleh menyokong pelancongan berpotensi besar untuk dikembangkan seperti produk kraftangan atau cenderahati, agro pelancongan, makanan, perancang percutian, sewa kenderaan, sewa penginapan, pemandu pelancong dan lain-lain lagi,” kongsinya. 

-SF

 

Tinggalkan komen anda