Skip to main content
Berita SarawakBerita TempatanHome

‘Pen’ Simbolik Perasmian Hari Sarawak 2017

By 22 Julai 2017Tiada komen2 minit bacaan

 

 Laporan dan foto : Mohd Baharruddin Mohamad (Sarawak)

KUCHING, 22 Jul (Malaysiaaktif) – Perjuangan kemerdekaan untuk bebas daripada cengkaman kuasa penjajah telah mencapai kejayaan pada hari ini 54 tahun yang lalu.

Pada tanggal 22 Julai 1963, Sarawak menjadi negeri yang mempunyai kerajaan sendiri apabila kabinet Sarawak yang pertama dilantik untuk mentadbir negeri ini dimana satu proklamasi dikeluarkan bagi membentuk Supreme Council yang baharu.

Gambar sejarah penyerahan kuasa kepada anak negeri

Gambar sejarah penyerahan kuasa kepada anak negeri

Kabinet Negeri Sarawak yang pertama ini telah dipimpin oleh Datuk Stephen Kalong Ningkan dan beliau dibantu oleh lima orang Ahli Yang Berhormat yang lain sebagai menteri.

Mereka inilah yang bertanggungjawab meletakkan asas kepada kemajuan negeri Sarawak yang bebas dan merdeka.

Pada 15 September 1963 tepat pukul 12.30 tengahari, Gabenor British terakhir iaitu Sir Alexander Waddell meninggalkan astana dan menaiki kapal yang membawa beliau dan sejarah penjajah pulang ke tempat asal mereka buat selama-lamanya dan menjadikan Sarawak sebuah negeri yang MERDEKA.

Majlis simbolik Perasmian sambutan Perayaan Hari Sarawak 2017 oleh Yang Dipertua Negeri Sarawak, Tun Abdul Taib Mahmud di Tebingan Sungai Kuching, Sarawak di sini pagi tadi.

Antara persembahan yang disajikan.

Antara persembahan yang disajikan.

Pada perayaan kali ini, pameran hari Sarawak yang berlangsung selama 3 hari bermula hari ini, turut dimeriahkan dengan acara hiburan pada sebelah malamnya.

Perayaan kali ini bertemakan Keindahan Ibu Pertiwiku yang ditampilkan dalam keunikan elemen tradisi dan kontemporari bagi memartabatkan seni budaya serta akar tirai tradisi yang menjadi kebanggaan masyarakat pelbagai kaum dan etnik di Sarawak.

Menurut Pengarah Unit Protokol & Perhubungan Awam Negeri, Jabatan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Haji Khir Haji Busrah antara keunikan tahun ini ‘pen’ diangkat sebagai simbolik penyerahan kuasa di antara British kepada Sarawak.

“Simbolik ini menandakan kemerdekaan ini dicapai tanpa pertumpahan darah dan dilakukan secara aman dengan persefahaman yang tinggi antara kedua-dua belah pihak.

“Pada tahun ini, kita mahu semua rakyat bersama-sama meraikan
hari bersejarah ini dan bukannya diraikan oleh kerajaan negeri semata-mata,” ujarnya lagi.

Turut hadir, Ketua Menteri Sarawak, Datuk Amar Abang Johari Tun Openg dan isteri Datin Amar Juma’ani Tuanku Bujang.

-SH

Tinggalkan komen anda