Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurHomeKelantan

Pidato dan Pengisahan Negaraku Medan Asah Bakat Generasi Y

By 27 Julai 2017Tiada komen2 minit bacaan

 

 Laporan dan foto oleh : Robani Nabi Ahmad / Wee Kim Been (Kota Bharu)

KOTA BHARU, 27 Jul (Malaysiaaktif) – Lebih 500 penonton bertepuk sorak menggamatkan Dewan Terbuka Sekolah Menengah Kebangsaan Pengkalan Chepa, Kota Bharu sebaik sahaja Kumpulan Anak Seni Pendidikan Kelantan (ASPEK) dari Daerah Kota Bharu dinobatkan sebagai Juara Pertandingan Pengisahan Negaraku Peringkat Negeri Kelantan 2017, semalam.

‘Kisah Seniman Agung P.Ramlee’ julang ASPEK sebagai juara Pengisahan Negaraku Negeri Kelantan tahun ini.

‘Kisah Seniman Agung P.Ramlee’ julang ASPEK sebagai juara Pengisahan Negaraku Negeri Kelantan tahun ini.

ASPEK yang terdiri dari tiga anak muda tempatan pelbagai bangsa telah mempersembahkan pengisahan bertajuk ‘Kisah Seniman Agung P.Ramlee’ dan sekali gus membawa pulang piala kejuaraan, sijil dan wang tunai RM3,000. ASPEK akan mewakili Kelantan ke peringkat Kebangsaan yang akan diadakan September nanti.

Pengerusi Majlis Pembangunan Luar Bandar Pengkalan Chepa, Datuk Zaluzi Sulaiman berkata, Pertandingan Pidato dan Pengisahan Negaraku anjuran Jabatan Penerangan Negeri Kelantan ini boleh dijadikan sebagai medium untuk mengasah bakat mereka sekali gus mampu melahirkan bakal-bakal peminpin akan datang.

“Dalam usaha kita mencungkil bakat-bakat baru dalam bidang pidato dan pengisahan negaraku, ia juga dapat memartabatkan penggunaan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan dalam kalangan bukan Melayu,” katanya yang ditemui di Dewan Terbuka Sekolah Menengah Pengkalan Chepa, di sini, sempena pertandingan Pidato Negaraku dan Pengisahan Negaraku peringkat negeri.

Kedua-dua acara anjuran Jabatan Penerangan ini bersempena sambutan Bulan Kebangsaan pada tahun ini mendapat penyertaan daripada pelajar universiti dan kolej serta NGO di negeri ini.

Menurut Ahmad Seman yang lebih dikenali sebagai Mek Yah Mat dalam kalangan penggiat seni teater tempatan, mengesyorkan agar lebih banyak platform disediakan untuk anak muda berkarya dan menunjukkan potensi diri mereka kepada umum.

Gan Swee Teck ketika mempersembahkan pidatonya.

Gan Swee Teck ketika mempersembahkan pidatonya.

“Ramai dalam kalangan golongan belia mahupun pelajar di sini mempunyai minat dan bakat terpendam dalam pidato dan juga pengisahan namun mereka tidak mempunyai platform mahupun medan yang sesuai untuk menunjukkan bakat mereka. Semoga lebih banyak acara sebegini dianjurkan agar bakat mereka tidak sia-sia,” ujarnya.

Manakala juara bagi acara Pidato Negaraku telah dirangkul oleh Omar Shaharudin, 23, peserta daripada Tanah Merah dengan tajuk ‘Negaraku Malaysia, Di Sini Segalanya’ sekali gus merangkul piala kejuaraan, sijil dan wang tunai berjumlah RM1500.

Gan Swee Teck, 52, peserta tunggal bukan Melayu bagi acara Pidato Negaraku yang juga pemenang saguhati berkata, beliau bertuah kerana terpilih ke peringkat akhir.

“Walaupun tidak terpilih ke peringkat kebangsaan, pertandingan ini merupakan peluang untuk saya mencungkil bakat. Nilai-nilai patriotik yang diselitkan dalam pidato dan pengisahan juga secara tidak langsung dapat memberi impak kepada rasa cintakan negara,” jelasnya lagi.

Disamping itu, beliau amat berharap peserta yang muncul johan di peringkat negeri ini dapat menunjukkan kualiti persembahan terbaik dalam bersaing dengan peserta dari seluruh negara di peringkat Kebangsaan nanti.

-SH

Tinggalkan komen anda