Skip to main content
Berita SarawakBerita TempatanHome

Kuota Haji Malaysia Ditambah

By 1 Ogos 2017Tiada komen2 minit bacaan

 

 Laporan dan foto : Mohd Baharruddin Mohamad(Sarawak)

KUCHING, 1 Ogos (Malaysiaaktif) – Seramai 30, 200 orang jemaah haji Malaysia terpilih untuk menunaikan rukun Islam kelima bagi musim haji 2017 kali ini dan ini merupakan penambahan daripada 27, 900 kuota haji tahun ini.

Menurut Ketua Pegawai Operasi, Lembaga Tabung Haji merangkap Timbalan Pengarah, Gerakan Operasi Haji Tanah Air Musim Haji 1438H/2017M, Datuk Adi Azuan Abdul Ghani, sejak 54 tahun penubuhan Tabung Haji, pihak kerajaan dan Tabung Haji sentiasa mengambil berat dan memberi perhatian terhadap kebajikan para jemaah haji baik ketika di Tanah Suci mahupun di tanah air.

Datuk Adi Azuan semasa majlis pelepasan jemaah Haji Sarawak ke Tanah Suci.

Datuk Adi Azuan semasa majlis pelepasan jemaah Haji Sarawak ke Tanah Suci.

“Tahun ini, Tabung Haji tetap meneruskan subsidi haji bagi setiap jemaah Muassasah sebanyak RM9, 570 berbanding kos haji sebenar iaitu RM19, 550 seorang maka ini membolehkan bayaran haji kekal pada RM9, 980 walaupun kos terus meningkat setiap tahun.

“Bagi tahun ini sahaja, tanggungan subsidi haji keseluruhan yang ditanggung Tabung Haji melebihi RM260 juta dan dengan peningkatan kouta haji tahun ini, sudah tentu kos terbabit akan lebih besar,” jelas beliau lagi semasa mengucapkan selamat jalan kepada Jemaah Haji Negeri Sarawak di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching semalam.

Menurut beliau lagi, kos ini tidak termasuk kursus-kursus haji yang dianjurkan serta kos-kos perkhidmatan lain, antaranya ubat-ubatan, perkhidmatan kesihatan, kaunter kewangan, khidmat kauseling, pembimbing ibadat, petugas haji dan lain-lain kemudahan yang diberikan secara percuma kepada para jemaah haji.

Beliau berharap agar jemaah haji dapat menjaga kesihatan dan menumpukan sepenuh perhatian terhadap ibadat serta dinasihatkan agar menjaga displin dan tidak melibatkan diri dengan apa-apa kegiatan yang melanggar undang-undang Arab Saudi.

Para Jemaah turut dinasihatkan agar sentiasa memakai kad pengenalan diri dan gelang tangan supaya mudah dikenal pasti sekiranya berlaku sebarang kecemasan.

 

-SH

Tinggalkan komen anda