Skip to main content
Berita SarawakBerita TempatanHome

Panggilan Haji 2017 ; Empat Beranak Terpilih

By 1 Ogos 2017Tiada komen2 minit bacaan

 

 Laporan dan foto : Mohd Baharruddin Mohamad(Sarawak)

KUCHING, 1 Ogos (Malaysiaaktif) – Kesyukuran tidak terhingga apabila dipanggil untuk mengerjakan ibadah haji buat kali kedua. Lebih mengembirakan apabila pemergian kali ini turut disertai ahli keluarga.

Haji Mohamad Pandi Haji Keli, 62, seorang pesara guru yang berasal dari Kampung Judan, Mukah yang kini menetap di sini berkata, ini adalah kali kedua beliau mengerjakan ibadah haji setelah melakukannya kali pertama pada tahun 2006.

“Saya merasa terkejut dan terlalu gembira kerana kali ini saya terpilih lagi untuk pergi bersama-sama dengan anak-anak dan isteri untuk menunaikan ibadah haji ini,” jelasnya.

Mohamad Pandi bersama-sama ahli keluarga yang turut menyertai rombongan haji tahun ini.

Mohamad Pandi bersama-sama ahli keluarga yang turut menyertai rombongan haji tahun ini.

Ramah Haji Taini, 56 isteri kepada Mohamad Pandi sama sekali tidak menyangka dapat mengikuti jemaah haji kali ini terutamanya bersama-sama suami dan anak-anak.

“Saya amat bersyukur sekali dan berterima kasih kepada Allah SWT kerana kami anak-beranak dapat terpilih sebagai tetamu Allah pada musim haji kali ini dan saya tidak menyangka bahawa kami dapat pergi ke tanah suci serentak,” katanya.

Nurfirabahiyah, 33 dan Nurulfatihah, 31 anak Mohamad Pandi berharap agar dapat berbakti kepada kedua ibu-bapa mereka sepanjang mengerjakan ibadah haji kali ini.

“Kami berdoa semoga kami dapat memberikan tumpuan sepenuhnya dalam mengejakan ibadat dengan sempurna agar mendapat haji yang mabrur,” doanya penuh berharap.

Sementara itu, seorang lagi jemaah haji, Mohamed Taini, 64 berasal dari Kuching bersyukur kerana terpilih sebagai tetamu Allah setelah menunggu selama 10 tahun. Beliau turut diiringi isterinya beserta lapan lagi sanak saudara yang turut terpilih mengerjakan ibadah haji kali ini.

Majlis pelepasan Jemaah Haji Sarawak disempurnakan oleh Menteri di Jabatan Ketua Menteri Datuk Haji Talib Zulpilip.

 

-SH

Tinggalkan komen anda