Skip to main content
Berita TempatanHomeTerengganu

RTB Bantu Rakyat Miliki Rumah

By 3 Ogos 2017Tiada komen2 minit bacaan

 

 Laporan / Foto : Norhafizah Abd Rahim / Shuhaimi Ahmad (Kuala Terengganu)

KUALA TERENGGANU, 3 Ogos (Malaysiaaktif) – Rakyat Terengganu kini berpeluang memiliki tanah sendiri melalui Skim Khas Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) Tapak Rumah 2017 Negeri Terengganu.

Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman memberitahu bahawa rakyat yang memenuhi syarat yang diberikan tidak perlu bimbang untuk memohon kerana pertambahan jumlah lot tanah akan diumumkan dari semasa ke semasa.

Ahmad Razif (tengah) menjelaskan pemilikan RTB boleh dicapai dengan hanya membayar 10 peratus nilai hartanah.

Ahmad Razif (tengah) menjelaskan pemilikan RTB boleh dicapai dengan hanya membayar 10 peratus nilai hartanah.

“Pemberian lot ini tidak statik malah akan meningkat bergantung kepada kawasan yang dikenalpasti oleh pentadbir tanah yang sesuai untuk dijadikan kawasan RTB,” ujarnya selepas Pelancaran Skim Khas Rancangan Tanah Berkelompok, Tapak Rumah 2017 Negeri Terengganu di Wisma Darul Iman, di sini, semalam.

Ahmad Razif turut menjelaskan syarat permohonan turut dilonggarkan bagi memastikan lebih ramai dapat memohon.

“Hasil daripada sidang dewan pagi tadi, syarat asal pemohon yang telah ditetapkan sebelum ini iaitu 21-40 tahun telah dilonggarkan kepada golongan berumur 41 tahun dan ke atas,”  jelasnya lagi.

Ahmad Razif berkata, mereka yang telah diluluskan pemberian tanah hanya perlu membayar 10 peratus sahaja daripada harga asal tanah yang telah dinilai oleh Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta.

Bagaimanapun, golongan miskin dan kurang berkemampuan yang berdaftar dengan e-Kasih akan diberi kelonggaran iaitu bayaran nominal sebanyak RM100 sahaja.

Sebanyak 5,939 lot tanah telah dikenalpasti di seluruh ini untuk dimohon, di mana daerah Setiu menawarkan lot paling banyak iaitu sebanyak 3,362 lot, diikuti Dungun dengan 1,332 lot. Manakala daerah-daerah lain seperti Kemaman, Marang dan Besut masing-masing 928, 71 dan 69 lot ditawarkan.

Sementara itu, penduduk di daerah Hulu Terengganu dan Kuala Nerus disaran untuk segera memohon kerana hanya 34 lot disediakan untuk setiap daerah.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kampung Pulau Sekati, Haji Ramli, kelonggaran pemohonan kepada mereka yang berusia melebihi 40 tahun dilihat sebagai sesuatu yang wajar.

“Saya berbesar hati setelah menteri besar umumkan bahawa rakyat berusia 41 tahun ke atas juga layak memohon tanah ini. Ini kerana masih terdapat ramai golongan berusia 40-an ke atas masih tidak mempunyai tanah dan rumah sendiri, katanya.

Sementara itu, seorang penjawat awam, Mohd fakhruddin, menerima baik inisiatif daripada kerajaan negeri ini yang memberikan peluang kepada rakyat untuk memiliki aset sendiri.

“Rumah merupakan keperluan asas dalam kehidupan, pemberian tanah ini sedikit sebanyak meringankan bebanan golongan muda untuk memiliki tanah dan rumah sendiri. Pemberian tanah ini merupakan satu inisiatif yang sangat baik yang diambil oleh kerajaan negeri,” jelasnya lagi.

-SH

Tinggalkan komen anda