Skip to main content
Berita TempatanSabah

Cinta Negara Pupuk Persefahaman

By 7 Ogos 2017Tiada komen3 minit bacaan

Laporan: Asmidar Zainol / Foto: Johny George Kim Lon & Johny Joklis (Sabah)

KENINGAU, 8 Ogos (Malaysiaaktif) – Rasa cinta kepada negara mampu mewujudkan persefahaman dan seterusnya mengatasi perbezaan yang ada dalam masyarakat di Malaysia khususnya di negeri ini.

Pembantu Menteri Pertanian dan Industri Makanan Sabah merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.34 Liawan, Datuk Sairin Karno berkata rasa kecintaan tersebut dapat disemai dengan melihat kembali sejarah negara semasa mencapai kemerdekaan.

Sairin (empat dari kanan) melepaskan Konvoi Merdeka NegaraKu

Sairin (empat dari kanan) melepaskan Konvoi Merdeka NegaraKu

“Sebagai rakyat Malaysia, kita perlu menanam rasa cinta kepada negara dengan melakukan dialog dan reflektif terhadap sejarah seterusnya mewujudkan persefahaman yang tinggi dalam kalangan rakyat.

“Masyarakat yang lemah nilai dan semangat kenegaraannya akan mudah ditindas oleh anasir luar yang sentiasa mencari peluang untuk mengeksplotasi negara kita,” ujarnya semasa merasmikan Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kempen Kibar Jalur Gemilang Peringkat Daerah Keningau pada Sabtu.

Sairin juga menyeru semua lapisan masyarakat bersama-sama memeriahkan sambutan Bulan Kebangsaan sebagai menunjukkan sokongan kepada setiap kempen kenegaraan yang dianjurkan oleh mana-mana pihak.

Sementara itu, Pegawai Daerah Keningau, Yusop Osman berkata, program-program seumpamanya dapat mendekatkan pihak kerajaan dengan penduduk tempatan sebagai usaha mempererat hubungan silaturahim antara masyarakat.

Yusop semasa menyampaikan ucapan aluannya sempena Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kempen Kibar Jalur Gemilang Peringkat Daerah Keningau

Yusop ketika Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kempen Kibar Jalur Gemilang Peringkat Daerah Keningau

“Kita perlu jadikan program-program kenegaraan ini sebagai landasan menuju ke arah integrasi nasional atau perpaduan yang ingin kita pupuk dalam diri masing-masing.

“Dengan demikian dapat mewujudkan persefahaman, kerjasama dan perasaan saling menghormati agar setiap lapisan masyarakat dapat menyemai semangat cinta akan negara dalam diri kita,” katanya yang juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Pelaksana Pesta Kaamatan Daerah Keningau dan Malam Ekspresi Negaraku @ Komuniti 2017.

Sementara itu, suri rumah dari Kampung Masjid Keningau, Masnah Syamsul, 29, berkata, kehadirannya ke majlis tersebut bersama dua daripada tiga anaknya adalah bertepatan kerana dapat bersama-sama penduduk tempatan meraikan sambutan Hari Kebangsaan di daerah berkenaan.

“Pastinya kami amat gembira kerana dapat bersama-sama menyertai program malam ini. Kami bukan sahaja dihiburkan dengan persembahan artis-artis tetapi juga dapat menimba pengetahuan dengan melawat gerai-gerai pameran yang ada,”ujarnya.

Masnah Syamsul

Masnah Syamsul

Masnah turut memaklumkan, anak-anaknya telah dididik dengan sifat saying akan negara melalui penyertaan mereka dalam program-program kebangsaan seperti menyertai pertandingan mewarna Jalur Gemilang, perbarisan di sekolah dan juga menyertai pertadingan pakaian beragam bertemakan Hari Kebangsaan.

“Walaupun aktiviti mewarna nampak mudah, sebenarnya dapat membantu kanak-kanak mengenal Jalur Gemilang, sebagai contoh berapa jalurnya, apakah warna setiap objek di dalamnya secara tidak langsung memberi pengenalan dan melahirkan rasa sayang kanak-kanak terhadap Jalur Gemilang,” jelasnya semasa ditemui media.

Selain persembahan hiburan dan pameran, turut diadakan pelancaran Konvoi Merdeka NegaraKu yang bakal memulakan perjalanannya pada 14 dan 15 Ogos ini di Bahagian Pendalam Atas merangkumi daerah Tambunan, Nabawan dan Tenom.

Pelancaran tersebut disertai oleh 60 penunggang basikal daripada pelbagai kelab basikal di Keningau, 35 kenderaan daripada agensi dan jabatan kerajaan serta Persatuan Empat Roda Daerah Keningau.

-SF

Tinggalkan komen anda