Skip to main content
Berita TempatanHomeJohorPutrajayaViralWilayah Persekutuan

Hampir 5,000 Sertai Larian Negaraku di Batu Pahat

By 8 Ogos 2017Tiada komen2 minit bacaan

 

 Laporan oleh: Aimi Huwaina / Foto: Fariz Faizal Mohd Nazri (Putrajaya)

BATU PAHAT, 8 Ogos (Malaysiaaktif) – Hampir 5,000 peserta yang terdiri daripada orang awam, pelajar sekolah, kakitangan awam dan Orang Kelainan Upaya (OKU) menyertai Larian Negaraku sejauh 5km di Stadium Batu Pahat, di sini hari ini.

Menurut peserta OKU, Izaini Zamzuri, 51, sebagai ahli Persatuan OKU Batu Pahat, Johor, dia sering sertai acara-acara larian seperti ini.

“Selalu sertai sebab boleh menonjolkan persatuan kita yang wujud di Batu Pahat.

“Program ini sangatlah bagus untuk semua rakyat Malaysia, baik daripada masyarakat yang normal ataupun OKU seperti kita, lagi bagus kalau diadakan pada setiap tahun,” katanya.

Peserta OKU, Izaini Zamzuri menerima hadiah cabutan bertuah daripada Pengarah Jabatan Penerangan Johor, Zainuddin Ismail.

Peserta OKU, Izaini Zamzuri menerima hadiah cabutan bertuah daripada Pengarah Jabatan Penerangan Johor, Zainuddin Ismail.

Sementara itu Nur Izzati Hanis Abdul Razak, 16, yang baru pertama kali menyertai acara larian seperti ini berkata dia teruja apabila gurunya memaklumkan tentang program larian ini kepada pelajar.

“Saya sertai ini untuk mencuba, cari pengalaman dan mencabar diri saya sendiri lah.

“Penganjuran program macam ini adalah bagus untuk semua sertai dan sihatkan tubuh badan, di samping itu boleh juga berkenalan dengan peserta lain, rapatkan hubungan sesama kita,” kata Izzati yang hadir bersama rombongan Sekolah Menengah Kebangsaan Dato’ Syed Esa.

Berkongsi pendapat yang sama, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Banang Jaya, Tan Fong Ling, 16, berkata dia gembira apabila berpeluang untuk menyertai acara larian seperti ini buat pertama kali.

“Sempena sambutan bulan kebangsaan saya selalu post tentang kemerdekaan dalam Facebook kerana kami generasi muda suka gunakan media sosial,” katanya.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Banang Jaya, Tan Fong Ling gembira berpeluang menyertai Larian Negaraku.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Banang Jaya, Tan Fong Ling gembira berpeluang menyertai Larian Negaraku.

Dalam pada itu, Pengarah Bahagian Perkhidmatan Komunikasi Dan Pembangunan Masyarakat, Jabatan Penerangan Malaysia, Hashim Bedu berkata program ini menerima sambutan baik daripada masyarakat sekitar Batu Pahat dan daerah berhampiran.

“Kita sasarkan penyertaan sekitar 2,000 orang, tetapi sambutan amat menggalakkan, hampir 5,000 yang hadir untuk menyertai larian ini.

“Kita sisipkan larian ini sebagai salah satu aktiviti Pelancaran Negaraku Sehati Sejiwa, sebagai platform anak-anak muda untuk sama-sama menyertai aktiviti yang kita anjurkan bagi membangkitkan semangat patriotik, semangat cintakan negara, semangat untuk mengibarkan jalur gemilang sebagai salah satu wahana untuk kita pastikan supaya generasi muda di negara kita ini turut sama dalam meraikan Sambutan Hari Kebangsaan,” jelasnya.

Peserta-peserta Larian Negaraku bersemangat untuk menghabiskan larian.

Peserta-peserta Larian Negaraku bersemangat untuk menghabiskan larian.

Program anjuran Jabatan Penerangan Malaysia dengan kerjasama Jabatan Belia dan Sukan Negeri Johor dan Jabatan Pendidikan Negeri Johor ini turut disertai oleh 15 sekolah sekitar Johor serta 48 Badan-Badan Bukan Kerajaan.

Pada program yang sama, turut diadakan Pameran Caring Bridge yang melibatkan 55 agensi kerajaan kerajaan dan swasta, jualan dan perkhidmatan ‘food truck’ serta cabutan bertuah.

Tinggalkan komen anda