Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomeSelangor

Empat IPTA Tandatangan MoU Tubuh Konsortium Institut Halal Malaysia

By 8 Ogos 2017Tiada komen2 minit bacaan

 

Laporan dan foto oleh: Noriah Athan (Gombak)

GOMBAK, 8 Ogos (Malaysiaaktif) – Institut Penyelidikan dan Latihan Halal Antarabangsa (INHART) dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) hari ini menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Malaya (UM) dan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) bagi menubuhkan Konsortium Institut Halal Malaysia.

Menurut Rektor UIAM, Datuk Seri Dr Zaleha Kamaruddin, kerjasama antara empat universiti itu akan menumpukan kajian dan memperluaskan rangkaian halal di peringkat domestik dan antarabangsa.

“UPM, UM, USIM dan UIAM akan memberi tumpuan kepada kerjasama dalam penyelidikan, perkongsian maklumat untuk penggunaan industri halal, pembangunan bakat dan kemahiran serta kerjasama dalam menghasilkan produk dan perkhidmatan halal.

“Semua pihak juga akan bekerjasama dalam mewujudkan pengetahuan baru dan harta intelektual termasuklah penerbitan Jurnal Halal,” katanya.

Dari kiri: Naib Canselor USIM, Prof. Datuk Dr. Musa Ahmad; Pemangku Naib Canselor UM, Profesor Dr. Awang Bulgiba Awang Mahmud; Pengerusi Lembaga Pengarah UiTM, Tan Sri Ir. Dr Ahmad Zaidee Laidin, Ketua Pengarah Jabatan Standard Malaysia, Datuk Fadilah Baharin; Rektor UIAM, Datuk Seri Dr Zaleha Kamaruddin; dan Naib Canselor UPM, Prof. Datin Paduka Dr Aini Deris.

Dari kiri: Naib Canselor USIM, Prof. Datuk Dr. Musa Ahmad; Pemangku Naib Canselor UM, Profesor Dr. Awang Bulgiba Awang Mahmud; Pengerusi Lembaga Pengarah UiTM, Tan Sri Ir. Dr Ahmad Zaidee Laidin, Ketua Pengarah Jabatan Standard Malaysia, Datuk Fadilah Baharin; Rektor UIAM, Datuk Seri Dr Zaleha Kamaruddin; dan Naib Canselor UPM, Prof. Datin Paduka Dr Aini Deris.

Tambah Zaleha, Industri Halal yang telah mencapai nilai pasaran lebih daripada USD3 trilion setahun memerlukan kepakaran dan modal insan untuk menyediakan perkhidmatan yang cekap dan berkesan untuk memenuhi produk Halal.

“Malaysia telah diiktiraf sebagai peneraju dalam pembangunan sistem Halal yang telah dijalankan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), dan Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia (KPT) menyokong sepenuhnya usaha ini dengan menyediakan bantuan yang sesuai melalui perkongsian strategik dengan agensi dan industri kerajaan yang lain,” jelasnya lagi.

Zaleha mewakili UIAM pada majlis menandatangani MoU yang turut disertai Naib Canselor UPM, Prof. Datin Paduka Dr Aini Deris, Pemangku Naib Canselor UM, Profesor Dr. Awang Bulgiba Awang Mahmud dan Naib Canselor USIM, Prof. Datuk Dr. Musa Ahmad di Dewan Utama, Pusat Aktiviti Kebudayaan UIAM.

-DZ

Tinggalkan komen anda