Skip to main content
Berita SelatanHomeJohor

Konvoi Kembara Merdeka Negaraku Gelorakan Semangat Kemerdekaan

By 9 Ogos 2017Tiada komen2 minit bacaan

 

Laporan /  Foto oleh : Muhammad Rizal Redzuan

BATU PAHAT, 9 Ogos (Malaysiaaktif) – Sejumlah 79 buah kenderaan yang menyertai Konvoi Kembara Merdeka Negaraku dilepaskan semalam dari Stadium Batu Pahat di sini oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Datuk Seri Dr. Salleh Said Keruak semalam.

Konvoi yang membawa mesej kenegaraan bagi menggalakkan masyarakat mengibarkan Jalur Gemilang itu dilepaskan sempena Pelancaran Negaraku Sehati Sejiwa pada pukul 9.00 malam dalam rangka penjelajahan ke seluruh semenanjung.

Peserta konvoi yang terdiri daripada anggota-anggota Kelab Motosikal Berkuasa Tinggi ST1300 turut disertai oleh kakitangan Jabatan Penerangan Malaysia, Perbadanan Perwira Niaga Malaysia (PERNAMA), Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Utusan Malaysia, MalaysiaAktif, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APAM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

20170808_2134400-1024x576

Antara ribuan yang hadir di pelancaran Majlis Negaraku Sehati Sejiwa Peringkat Kebangsaan 2017 di Batu Pahat semalam.

Mengulas ringkas tentang Presiden Kelab Motosikal Berkuasa Tinggi ST1300, Othman Abdul Ghafar, berkata dia dan rakan-rakannya akan mengedarkan Jalur Gemilang di beberapa tempat persinggahan mereka dan seterusnya mengajak orang ramai meraikan ulang tahun kemerdekaan negara seiring semangat patriotisme.

IMG-20170806-WA0045

Bagi menyemarakkan lagi misi mereka ini, para anggota kumpulan mereka turut mengecat imej Jalur Gemilang pada kenderaan masing-masing.

Dalam ucapan perasmian, Salleh mengingatkan betapa semangat patriotisme yang membentuk kesatuan antara kita merupakan senjata bagi menentukan kelangsungan kemerdekaan negara ini walaupun terdapat perbezaan.

Oleh yang demikian, berteraskan semangat inilah Salleh berkata setiap tahun diadakan majlis pelancaran mengibarkan Jalur Gemilang.

Kali ini acara tersebut dinamakan Pelancaran Negaraku Sehati Sejiwa, selaras dengan tema sambutan Bulan Kebangsaan pada setiap tahun.

Sesungguhnya, manifestasi ‘Sehati Sejiwa’ mencerminkan roh kesepaduan, kesefahaman, kekitaan dan kemanusiaan seluruh rakyat di negara ini, selain melambangkan semangat kesepaduan yang dimiliki oleh semua rakyat tidak kira di mana mereka berada.

Sementara itu, seorang pengunjung yang juga guru muzik di SMK(P) Temenggong Ibrahim, Batu Pahat, Nur Hashila Mohd Shukeree, 32, berkata, remaja sekarang wajar hadir di majlis-majlis seperti ini untuk memupuk semangat patriotisme dalam diri mereka.

Menurutnya, lagu-lagu patriotisme hari ini boleh menarik minat remaja dan belia dan sekali gus membantu menggelorakan semangat cinta negara.

Seorang lagi yang hadir pada majlis semalam, Eunice Aw Miao Xiang, turut menggemakan mesej yang sama sambil mengajak seluruh rakyat Malaysia menggelorakan Negaraku Sehati Sejiwa dengan mengibarkan Jalur Gemilang.

Program Negaraku Sehati Sejiwa Peringkat Kebangsaan 2017 daripada 6 hingga 28 Ogos 2017 ini dianjurkan oleh Jabatan Penerangan Malaysia dengan kerjasama Kerajaan Negeri Johor.

 

– MRR/AAS

Tinggalkan komen anda