40 Sukarelawan MyCorps Dalam Misi Kemanusiaan Asia Selatan

mecorps

 

Laporan / Foto oleh: Ahmad Suhaimi Mokhtar & Inthran Krishnan (Kuala Lumpur) / Doctors Without Borders

KUALA LUMPUR, 9 Ogos (Malaysiaaktif) – Seramai 40 orang sukarelawan MyCorps dipilih menyertai misi kemanusiaan ke Bangladesh dan Sri Lanka bermula 15 Ogos 2017.

Mereka yang terdiri daripada 15 orang sukarelawan lelaki dan 25 orang wanita pelbagai keturunan merupakan sebahagian daripada inisiatif kemanusiaan untuk dalam usaha membantu masyarakat di wilayah-wilayah yang terjejas berikutan bencana alam dan peperangan.

Menurut Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin pada majlis ‘Meet & Greet’ MyCorps Asia Selatan Misi 1/2017 yang memperkenalkan kumpulan tersebut di Pusat Belia Antarabangsa Cheras hari ini, para anggota misi berkenaan terdiri daripada pelajar Institut Pengajian Tinggi Awam dan swasta, kakitangan kerajaan dan swasta serta penggerak badan-badan belia bukan kerajaan.

Beliau berkata mereka terpilih daripada sejumlah 483 permohonan yang diterima oleh pihak Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bagi menyertai misi kali ini.

“Pemohon perlu melalui proses tapisan dan temu duga sebelum dipilih menjalani latihan insentif di Pusat Belia Antarabangsa Cheras Kuala Lumpur dan Kompleks Rakan Muda Kuala Pilah, Negeri Sembilan selama 21 hari bermula 15 Julai hingga 13 Ogos 2017, sebelum berlepas ke negara Asia Selatan (Sri Langka dan Bangladesh) pada 15 Ogos 2017,” katanya.

Mereka menjalani latihan termasuk memupuk kerja berpasukan, mengutip dana, motivasi, bantuan kecemasan serta asas sejarah dan budaya masyarakat Asia Selatan bagi melengkapi diri masing-masing dengan pelbagai kemahiran, pengetahuan dan memupuk semangat yang tinggi.

MyCorps merupakan program Kepimpinan Kesukarelawan Belia Antarabangsa yang bertujuan membentuk kendiri dan jati diri belia Malaysia melalui khidmat, sumbangan serta pengalaman dalam kerja-kerja kesukarelawan, khasnya. Ia menyasarkan matlamat untuk  melahirkan sukarelawan berpengetahuan, berkemahiran dan berdaya saing di peringkat global.

Bagi pihak kerajaan, KBS melalui Bahagian Pembangunan Rakan Muda, Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN) berperanan merealisasikan usaha membangunkan nilai positif dalam kalangan belia ke arah membentuk semangat kesukarelawan yang tinggi.

Sehubungan itu, KBS mengharapkan program MyCorps mencapai hasrat selari dengan matlamat negara menuju agenda Transformasi Nasional 2050 (TN50) .

Turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) KBS, Nik Abd. Kadir Nik Mohamad dan Presiden Malaysian Humanitarian Aid & Relief (MAHAR), Jismi Azahari Juhari.

 

-AH/AAS
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...