Jelajah Milenia Sasar 150,000 Peserta

WhatsApp Image 2017-08-10 at 2.43.40 PM

 

 Laporan dan Foto oleh: Ruhamin Ramli & Siti Suhaila Batun (Kuala Lumpur)

KUALA LUMPUR, 10 Ogos (Malaysiaaktif) – Program Jelajah Milenia yang bakal bermula pada Ogos ini menyasarkan penyertaan daripada 150,000 peserta yang mewakili golongan pelajar, mahasiswa, pemimpin negara dan ibubapa.

Menurut Pengerusi Jelajah Milenia, Shahar Abdullah, program berkonsepkan intervensi alaf baharu ini akan menyediakan platform komunikasi dua hala antara kerajaan dengan generasi milenia untuk membentuk sebuah negara yang lebih inklusif dan maju.

“Jelajah Milenia merupakan sebuah program inisiatif khas yang digerakkan di peringkat nasional untuk generasi pewaris negara yang berumur 10 hingga 30 tahun, yang mana ia bertemakan “Malaysia Alaf Baru” yang lebih progresif dan berdaya saing,” katanya.

Jelas Shahar, antara aktiviti yang akan dijalankan dalam jelajah ini adalah pertandingan Video Kreatif, pertandingan Orator (debat dan pithcing), Big Walk Milenia, Dialog Milenia, Forum Milenia dan Pameran Milenia.

Katanya, program jelajah ini merangkumi 29 siri penjelajahan ke seluruh negara yang melibatkan enam zon iaitu Utara, Selatan, Timur, Tengah, Sabah dan Sarawak.

“Dalam fasa permulaan jelajah Milenia kali ini, empat lokasi terlibat iaitu pada 26 Ogos 2017 di Institut Perguruan (IPG) Perlis diikuti pada September 2017 di Universiti Malaysia Pahang, Kampus Gambang dan bulan Oktober di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTEM) dan Kuala Lumpur”

“Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak juga akan turut serta dalam ‘Kuala Lumpur Grand Big Walk Milenia’ yang akan diadakan di Dataran Merdeka pada Oktober nanti,” katanya pada sidang media Jelajah Milenia, di sini hari ini.

WhatsApp Image 2017-08-10 at 2.47.18 PM

Tambahnya, antara objektif utama program ini adalah bagi meningkatkan kefahaman generasi Milenia dan melengkapkan mereka dengan perkembangan terkini berkaitan dasar dan Pelan Rancangan Perkembangan Negara serta menyediakan platform untuk golongan muda menyalurkan aspirasi mereka dalam merealisasikan hari esok Malaysia lebih baik.

Program anjuran Persatuan Alumni Pemimpin Mahasiswa Aspirasi Malaysia (Aspirasi ) ini turut mendapat kerjasama daripada Kementerian Pendidikan Tinggi, Kementerian Pendidikan Malaysia, Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Unit Perancangan Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri, Universiti Kuala Lumpur (UniKl), Yayasan Minda dan Yayasan Perdana Ummah.

– AH

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...