Karya Zirafah Siti Jadi Pilihan

IMG_6893

Laporan : Fauzrina Bulka / Foto: Azman Jumat (Sabah)

KOTA KINABALU, 11 Ogos (Malaysiaaktif) – Wajah comel milik Siti Noraidawati Paulus, pelajar tahun enam Sekolah Kebangsaan Seri Gaya kelihatan ceria sejurus mengetahui karyanya terpilih untuk dijadikan cenderahati kepada Konsul Jepun.

“Saya baru tahu pagi ini lukisan saya terpilih untuk dijadikan hadiah dan saya sangat berasa sangat gembira dan tidak sabar untuk memberitahu keluarga,” ujar anak bongsu itu.

Siti Noraidawati ditemui ketika Pameran Lukisan Kanak-kanak Malaysia-Jepun yang berlangsung di Ibu Pejabat Perpustakaan Negeri Sabah, di sini pada Khamis.

Fumiko(dua dari kiri) menyampaikan karya zirafah kepada Hiroko (dua dari kanan) sambil diperhati oleh Jainab (tiga dari kiri).

Fumiko(dua dari kiri) menyampaikan karya zirafah kepada Hiroko (dua dari kanan) sambil diperhati oleh Jainab (tiga dari kiri).

Pameran tersebut yang telah bermula pada 2001 di Sabah juga diadakan bersempena ulang tahun ke-60 hubungan diplomatik Malaysia-Jepun.

Mengulas lanjut katanya, ketika diarahkan untuk menghasilkan lukisan karya bebas, dia segera memikirkan untuk membuat tema berasaskan flora dan fauna kegemarannya.

“Semasa saya mencari idea berkaitan flora dan fauna, saya segera memikirkan tentang safari dan kemudian terfikirkan zirafah.

“Pada saya, zirafah sejenis haiwan yang jarang diperkatakan dan digemari seperti haiwan-haiwan yang lain, maka saya harap lukisan saya dapat tonjolkan haiwan tersebut,” ujarnya yang memang menggemari subjek Pendidikan Seni.

Noraidawati yang sering memperoleh markah tinggi dalam subjek tersebut bercita-cita untuk menjadi seorang cef pastri kerana minatnya dalam masakan.

“Saya memang meminati seni dan apabila kita gabungkan lukisan dan masakan, maka akan terhasil karya seni yang boleh dimakan,” ujarnya petah.

Siti juga berimpian besar untuk membuka galeri lukisan satu hari nanti dan akan digabungkan dengan pelbagai pilihan pastri dalam satu premis agar pelanggan dapat menikmati kedua-dua karya seni hasil tangannya.

Pameran lukisan tersebut telah dirasmikan oleh Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna Sabah, Datuk Jainab Ahmad Ayid.

Hasil lukisan peserta-peserta pameran.

Hasil lukisan peserta-peserta pameran.

Jainab mengharapkan akan lebih ramai warga Jepun untuk datang ke Sabah dan teruja dengan seni budaya, bahasa, agama, kebudayaan dan alam sekitar yang terhasil daripada lukisan kanak-kanak tersebut.

“Sejumlah 114 lukisan hasil karya pelajar daripada tujuh buah sekolah rendah di sekitar Kota Kinabalu dan 130 buah lukisan hasil karya pelajar peringkat sekolah rendah di Jepun dipamer dalam galeri pada tahun ini,”ujarnya.

Lukisan-lukisan yang ada dalam galeri pameran ini akan bertukar hak milik selepas sahaja dipamer dalam tempoh seminggu, lukisan-lukisan pelajar Sabah akan dibawa ke Jepun untuk dipamer di sana manakala lukisan pelajar Jepun akan dipamerkan di perpustakaan dan di sekolah-sekolah tertentu di Sabah.

Turut hadir, Konsul Jepun Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan, Hiroko Matsuo dan Pengerusi Authorized NPO Corporation MAY Asaka Centre Jepun, Fumiko Oike.

SF

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...