Rumah Mampu Milik Untuk Golongan Pertengahan

IMG_3823

 

Laporan dan foto oleh: Mohamad Zairin Mohamad Zin (Shah Alam)

SHAH ALAM, 12 Ogos (Malaysiaaktif) – “Kerajaan sedang mempertimbangkan projek perumahan seperti Projek Perumahan Rakyat (PPR) untuk golongan M40 bagi membantu golongan berpendapatan pertengahan memiliki rumah.”

Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar berkata demikian selepas merasmikan Karnival Perumahan Mampu Milik (KPMM) – Ekspo Hartanah dan Perumahan Malaysia (MAPEX) 2017 di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC), semalam.

“Ini tidak sama seperti golongan B40 dapat atau ditawarkan cuma kita akan mempertimbangkan subsidi harga rumah kepada golongan ini tetapi tidak sebanyak yang ditawarkan seperti PPR. Contohnya, jika harga rumah RM500,000, subsidi yang akan ditawarkan antara 10 peratus hingga 20 peratus kepada mereka,” ujarnya.

IMG_3824

M40 atau ‘Medium 40’ adalah kumpulan berpendapatan 40 peratus sederhana dalam lingkungan antara RM3,860 sehingga RM8,319.

Tambah Noh lagi, kertas cadangan sedang disiapkan oleh pihak kementerian sebelum dibentangkan kepada kerajaan dan perlu mendapatkan kebenaran daripada kementerian lain dan agensi yang berkaitan.

“Saya meminta anak syarikat (GLC) yang ditubuhkan kerajaan negeri memainkan peranan untuk membangunkan lebih banyak rumah mampu milik untuk rakyat negeri masing-masing. GLC-GLC ini dapat tanah ini secara percuma atau melalui bayaran nominal dan ia sepatutnya jadi lebih mudah untuk bina rumah mampu milik dengan lebih banyak sebagai manfaat kepada rakyat,” kata Noh lagi.

Dalam pada itu, Noh turut memberi pandangan tentang peranan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) sekarang yang menurutnya perlu memainkan peranan mereka dalam menyediakan rumah mampu milik kepada rakyat di Selangor.

IMG_3825

“Seperti peranan mereka (PKNS) dahulu yang merupakan agensi utama dalam pembangunan rumah di Selangor terutama di bandar-bandar baru seperti di Shah Alam dan Bandar Baru Bangi suatu ketika dahulu.

“Saya berharap Menteri Besar Selangor sekarang dapat memperbetulkan kembali matlamat PKNS dan hidupkan balik peranan PKNS seperti dahulu,” tambahnya.

Majlis perasmian hari ini turut dihadiri Timbalan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan Dan Kerajaan Tempatan, Datuk Halimah Mohamed Sadique serta Presiden Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA), Datuk Seri FD Iskandar.

KPMM-MAPEX 2017 yang berlangsung selama tiga hari bermula semalam hingga 13 Ogos ini disertai 30 pemaju berlesen dan 13 agensi kerajaan.

 

-DZ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...