Lebih 700 Orang Dari Seluruh Negara Sertai Pertandingan Pidato Negaraku 2017

20170812_115746

 

Laporan dan Foto Oleh : Muhammad Rizal Redzuan (Putrajaya)

PORT DICKSON, 12 OGOS (Malaysiaaktif) – Lima belas peserta dari seluruh negara mewakili negeri masing-masing hari ini berentap dalam Pertandingan Separuh Akhir Pidato Negaraku di Auditorium Pejabat Tanah dan Daerah Port Dickson, Negeri Sembilan untuk melayakkan diri ke Pertandingan Akhir Pidato Negaraku Peringkat Kebangsaan 2017 pada esok hari di Dewan Wawasan Politeknik Politeknik Port Dickson, Negeri Sembilan.

 
Menurut Pengarah Bahagian Perkhidmatan Komunikasi dan Pembanguan Masyarakat, Haji Hashim Bedu, istimewanya pertandingan Pidato Negaraku Peringkat Kebangsaan 2017 ini adalah, lebih 700 peserta dengan 44 orang darinya bukan Melayu dari seluruh negara telah mengambil bahagian dalam pertandingan ini. Pada tahun-tahun sebelumnya, biasanya kebanyakkan peserta adalah dari kaum Melayu.

 

Lebih menarik lagi selain jumlah penyertaan paling ramai pada tahun ini, ia juga diadakan dalam gaya penyampaian berunsur “Chalk” dan “Technology, Entertainment, Design (TED) Talk”, katanya lagi.

Menurut Hashim lagi, pertandingan ini ialah platform untuk menyemarakkan semangat patriotisme dan menggelorakan sambutan bulan kemerdekaan kepada masyarakat berbilang kaum yang ada di negara ini.

Bagi peserta dari Kuala Lumpur Nazeeha Ziarat Khan, Pidato Negaraku ini agak lain dari pidato yang pernah disertainya kerana ia lebih kepada TED Talk yang memerlukan peserta selain berkongsi ilmu dan pengetahuan dengan pendengar, mereka juga perlu menghiburkan dan menarik perhatian penonton dengan penggunaan teknologi seperti video pendek dan sebagainya.

Peserta Melaka Tay Yih Yih, berkata, pertandingan ini secara tidak langsung telah “memaksa” beliau untuk memperkasakan bahasa kebangsaan dan mendalami pertuturan bahasa Melayu dengan lancar kerana sebelum ini dia lebih berkomunikasi dalam bahasa ibundanya iaitu bahasa Mandarin.

Selain itu berkampung di Port Dickson ini sejak bengkel Pidato ini bermula, hinggalah ke pertandingan separuh akhir, telah membolehkan beliau mendapat rakan-rakan baru pelbagai kaum dari seluruh negara, ujarnya lagi.

Menurut Mohammad Omar Suharuddin, yang mewakili Kelantan, pertandingan ini sebenarnya adalah medium terbaik untuk memperkenalkan dasar-dasar dan usaha-usaha kerajaan kepada anak-anak muda.

Omar memcadangkan agar nama Pidato Negaraku diubah terus kepada TED Talk Negaraku memandangkan ia diadakan dalam format tersebut.

Ini mengelakkan kekeliruan penonton tentang nama pertandingan dan gaya penyampaian peserta.

Seorang penonton Ridzuan Abdul Aziz bin Muhd Yusof, 35, berkata, pertandingan yang dapat memertabatkan bahasa Melayu dan menyebarluas dasar-dasar negara seperti ini wajar diadakan di tempat yang lebih terbuka dan mempunyai khalayak yang lebih ramai.

Pertandingan Separuh Akhir Pidato Negaraku Peringkat Kebangsaan 2017 anjuran Jabatan Penerangan Malaysia yang bertemakan “Negaraku Sehati Sejiwa” ini dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Sumber Manusia, Perladangan dan Kampung Baru, Datuk Manickam Letchuman. Turut hadir ialah Timbalan Ketua Pengarah (Penerangan Strategik), Jabatan Penerangan Malaysia Datuk Mohd Sukari Abd Hamid.

MRR

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...