Pelbagai Program Patriotisme Sepanjang Tahun, Belia Kini Bertuah

Golongan belia mendapatkan bahan terbitan dari gerai pameran Jabatan Penerangan Labuan

 

 Oleh: Mohd Faizal Mansor / Foto: Roziman Mahmuddin

LABUAN, 12 Ogos (Malaysiaaktif) – Golongan belia terutamanya Generasi Y masa kini amat bertuah kerana pelbagai agensi kerajaan mahupun badan bukan kerajaan (NGO) pada masa kini amat banyak menganjurkan pelbagai program kenegaraan khususnya bagi menyemarakkan lagi semangat patriotisme dalam kalangan masyarakat.

“Berbeza dengan zaman belia saya dahulu, program-program kenegaraan amat kurang dianjurkan sehinggalah menanti hari kemerdekaan 31 Ogos yang disambut setiap tahun yang mana ketika itulah generasi terdahulu menyambut dan menunjukkan semangat patriotisme kepada Negara,” ujar Ketua Kampung Sungai Bedaun, Morsidi Mokhtar, 57, ketika ditemui pada Program Gegar Negaraku anjuran Pejabat Parlimen Labuan, di sini, pagi tadi.

Jelasnya, zaman kini sudah berubah, pelbagai jabatan dan agensi kerajaan seperti Jabatan Penerangan Malaysia, Jabatan Hal Ehwal Khas, Jabatan Perpaduan dan Integrasi Malaysia serta Pejabat Parlimen kini menggelorakan lagi semangat cintakan negara khususnya dalam kalangan Generasi Y di Pulau Labuan ini.

Morsidi Mokhtar

Morsidi Mokhtar

“Program seperti Konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang sememangnya sering dinantikan setiap tahun oleh generasi sekarang bagi menambahkan kemeriahan sambutan bulan Kebangsaan dan pada masa yang sama menyemarakkan lagi semangat cintakan negara dalam kalangan mereka.

“Justeru, golongan Gen-Y masa kini amat bertuah berbanding golongan terdahulu kerana melihat zaman masa kini yang dihidangi dengan kemajuan telekomunikasi yang membolehkan mereka mendapat maklumat serta memperlihatkan nilai patriotisme mereka melalui gajet-gajet yang ada pada masa sekarang.

“Banyak pertandingan seperti swafoto kemerdekaan, video pendek sempena hari kebangsaan yang sering dianjurkan oleh pelbagai agensi kerajaan dan swasta merupakan satu lagi transformasi bagi golongan belia masa kini menzahirkan semangat kecintaan mereka kepada negara berbanding zaman saya dahulu yang sekadar memegang Jalur Gemilang dan menyertai perbarisan sebagai tanda patriotisme kepada negara,” tambah Morsidi lagi.

Sebettely Simon

Sebettely Simon

Menurut seorang pelajar, Sebettely Simon, 16, sebagai generasi Y, dia berasa bertuah dan teruja setiap kali datangnya sambutan bulan Kebangsaan dengan pelbagai program kenegaraan dianjurkan bukan sahaja di sekolahnya bahkan jabatan kerajaan dan agensi luar turut merencana pelbagai program contohnya seperti Program Gegar Negaraku yang diadakan pada hari ini.

“Golongan muda masa kini haruslah menyahut dan melibatkan diri bagi setiap program sebegini kerana selain menyemarakkan nilai patriotisme, ia juga turut menanam nilai perpaduan antara pelbagai kaum khususnya di Pulau Labuan ini,” katanya.

Nazrahazierah Ghani

Nazrahazierah Ghani

Bagi salah seorang pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Mutiara pula, Nazrahazierah Ghani, 16, dia bersyukur generasinya hidup dalam keadaan yang aman dan tenteram.

“Saya amat menghargai jasa para pemimpin terdahulu serta para pejuang negara yang telah berkorban demi mencapai impian kemerdekaan dan kemakmuran Negara. Diharap generasi anak muda sekarang turut sama bersyukur dan menghargai kemerdekaan serta keamanan yang diwariskan,” jelas Nazrahazierah yang menganggap golongan muda yang tidak tahu bersyukur merupakan golongan yang cetek nilai patriotismenya.

Rozman (dua dari kanan) melawat salah satu gerai pameran di Program Gegar Negaraku.

Rozman (dua dari kanan) melawat salah satu gerai pameran di Program Gegar Negaraku.

Program Gegar Negaraku yang meriah dengan pameran agensi kerajaan, pertandingan mewarna, cceramah kenegaraan dan lain-lain lagi dirasmikan oleh Ahli Parlimen Labuan, Datuk Rozman Isli.

 

-DZ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...