Skip to main content
Berita TempatanNegeri Sembilan

Zaaba Pejuang Kemerdekaan

By 15 Ogos 2017Tiada komen2 minit bacaan

Laporan: Ramasany Amas / Foto: Irwan Shah

JEMPOL, 15 Ogos (Malaysiaaktif) – “Anak Batu Kikir (Jambatan Besi), Zaaba yang dilahirkan di Kampung Kerdas Batu Kikir bukan sahaja merupakan tokoh kesusasteraan Melayu yang tersohor malah beliau juga ialah salah seorang pejuang kemerdekaan pada 1940-an.”

Demikian kata, Ahli Dewan Undangam Negeri (ADUN) Palong, Datuk Dr. Lilah Yassin ketika merasmikan pelepasan Konvoi Merdeka Negaraku (KMN) 2017 di Hotel Garden View Bahau pagi tadi.

Penyampaian Jalur Gemilang. Foto: Irwan Shah

Penyampaian Jalur Gemilang. Foto: Irwan Shah

Tambahnya, Zaaba merupakan seorang cendekiawan Melayu yang terbilang pada tahun 1930-an kerana dapat menguasai pelbagai bahasa.

“Selain bahasa Melayu, beliau juga dapat menguasai bahasa Inggeris dan bahasa Arab pada waktu yang serba kekurangan dalam sistem pendidikan. Beliau yang memulakan pendidikan awal di pondok kampung kediaman dalam bidang al-quran kemudiannya memilih untuk menyambung pelajarannya di Institut St Paul Seremban.

“Beliau juga seorang anak Melayu pertama menduduki peperiksaan Senior Cambridge dan lulus peperiksaan.

“Zaaba ialah salah seorang pengasas UMNO bersama Dato Onn Jaafar pada 1946 dan pemimpin lain yang menentang penubuhan Malayan Union yang diasaskan oleh kerajaan British selepas menawan pendudukan kerajaan Jepun di Tanah Melayu,” ujarnya.

Lilah turut memuji usaha Jabatan Penerangan Malaysia yang mengadakan kembara KMN 2017 sempena sambutan Bulan Kemerdekaan bagi mengingati tokoh-tokoh pejuang kemerdekaan dan mengembalikan kegemilangan pencapaian kemerdekaan tanah Melayu pada 1957 selain menyemarakkan kempen Kibar Jalur Gemilang.

Konvoi KMN 2017. Foto: Irwan Shah

Konvoi KMN 2017. Foto: Irwan Shah

Dalam pada itu, Ketua Konvoi KMN 2017, Masnoor Ashari berkata, konvoi kali ini melibatkan 107 peserta konvoi yang terdiri daripada sebanyak 30 buah motosikal berkuasa tinggi dan 14 buah kenderaan agensi kerajaan yang lain.

“Konvoi ini secara rasminya dilancarkan oleh Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Jailani Johari di Port Dickson pada 13 Ogos 2017 dan berlangsung selama 16 hari yang berakhir di Taman Maluri.

“Program ini bagi meningkatkan semangat patriotisme dalam kalangan rakyat Malaysia yang kian pudar dan meningkatkan penghayatan sejarah pejuangan negara serta memperkasakan semangat mengibarkan jalur gemilang,” ujarnya.

Dalam pada itu, guru Penyelaras Kelab 1Malaysia, Izzati Yusof berkata program sebegini perlu diteruskan bagi memupuk semangat kemerdekaan. Kalau boleh pada masa akan datang diberi peluang kepada ahli Kelab 1Malaysia untuk bersama-sama menyertai dalam konvoi ini dan merasai semangat kemerdekaan,” katanya.

Bagi Pengerusi Komuniti 1Malaysia Kampung Taman Jaya, Rajgenesh pula mencadangkan supaya diberi peluang kepada pihak agensi swasta atau syarikat GLC untuk turut serta dalam program ini dan memberi peluang kepada kaum lain untuk menyertai konvoi ini bagi mencerminkan semangat 1Malaysia.

SF

Tinggalkan komen anda