Skip to main content
Berita TempatanSabah

Suri Rumah Daki Lima Bukit Sehari

By 16 Ogos 2017Tiada komen6 minit bacaan

Laporan dan foto: Fauzrina Bulka (Sabah)

KOTA KINABALU, 15 Ogos (Malaysiaaktif) – Agak mustahil jika difikirkan, namun itulah rekod peribadi seorang suri rumah, Juliah Karim, 40 apabila mampu mencabar diri sendiri dengan mendaki lima bukit dalam sehari.

Menurut Juliah, dia hanya berniat untuk menemani rakan-rakannya mendaki bukit kerana ingin berlatih bagi persediaan menyertai pertandingan maraton yang akan diadakan ketika itu.

“Saya tidak terfikir untuk menyertai mereka sehingga selesai, kerana dalam perkiraan saya hanya mampu untuk mendaki dua bukit sahaja.

“Ditambah lagi ketika itu baru selesai musim perayaan dan saya tidak membuat sebarang latihan sepanjang sebulan berpuasa, jadi agak mustahil saya dapat selesaikan kesemua bukit,” katanya.

Tetapi dengan semangat diberikan oleh rakan-rakannya, dia lantas mencabar diri dan akhirnya mampu menyelesaikan misi bersama-sama hingga bukit kelima pada 4.30 petang.

IMG_7306

Juliah bergambar kenangan berlatarbelakangkan Air Terjun Langganan, Poring Ranau

Lima buah bukit yang berjaya didaki oleh Juliah dalam sehari ialah UMS Peak dan Bukit Botak di Sepanggar, Bukit Binaung di Bandar Sierra serta Bukit Nuluh Lapai dan Bukit Nuluh Kabayau di Telipok.

“Sejak zaman remaja saya memang menyimpan hasrat untuk mendaki Gunung Kinabalu, tetapi tahun berganti tahun sehingga saya memasuki alam pekerjaan, hasrat saya itu belum juga tercapai kerana ada sahaja halangan yang datang,” katanya.

Sehingga suatu ketika dia mengambil keputusan berhenti kerja dan menjadi suri rumah, masalah timbul apabila beliau mengalami pertambahan berat badan.

“Berat saya mendadak naik hingga membuatkan saya risau. Bermula dari situ hasrat untuk mendaki timbul semula hingga saya terdesak mencari rakan-rakan baharu menerusi facebook,” jelasnya.

Pendakian pertamanya ke puncak Kinabalu pada Oktober 2015 terhenti kerana keadaan cuaca yang tidak mengizinkan, namun dia tidak putus asa dan berjaya sampai ke puncak tiga bulan selepas itu.

“Masalah bila kita sudah mula mendaki, akan mula timbul perasaan ketagih. Dalam tempoh dua tahun aktif dalam sukan ini saya sudah lebih 50 kali melakukan pendakian ke 29 bukit termasuk gunung dan air terjun,”kata Juliah.

Menurutnya, bukan satu halangan pada sesiapa juga untuk bersukan khasnya surirumah namun perlu ada tolak ansur dan saling memahami antara suami isteri.

“Suami menggalakkan saya bersukan kerana dia juga gemar mengembara ke luar negeri dan dengan cara ini minda kita boleh terbuka dan kita akan belajar untuk lebih menghargai alam dan pencipta,”katanya.

Julia juga akan pastikan setiap aktiviti yang ingin dilakukan tidak bercanggah dengan jadual tugas suaminya dan akan pastikan mendapat keizinan suami jika sesuatu aktiviti memerlukannya untuk bermalam di luar.

“Sebagai seorang isteri dan ibu, kita perlu bijak membahagikan masa dengan aktiviti peribadi, dan saya pasti gelaran surirumah bukan penghalang untuk sesiapa sahaja aktif bersukan,”katanya.

Juliah juga sedang berusaha untuk meningkatkan lagi stamina dirinya kerana beliau berharap mencipta rekod peribadi baharu dengan mendaki 11 bukit sehari pula selepas ini.

Impiannya itu bukanlah sesuatu yang mustahil apabila pendakian ke 11 buah bukit berjaya diselesaikan oleh ahli-ahli Kelab BukitKeBukit (BKB) Hiking Squad dalam tempoh 17 jam baru-baru ini.

Wakilnya, Primero Peter, 27 berkata sebelum ini dia bersama empat rakannya sudah berjaya menawan tujuh bukit dalam sehari sekitar Sepanggar, Telipok, Tuaran dan Tamparuli.

“Saya mendapat idea untuk program mendaki 11 bukit ini dan disokong penuh oleh ahli-ahli kumpulan yang sama-sama mencabar diri untuk menjayakan misi tertutup kami itu,”jelasnya.

Program tersebut dirancang selama sebulan sebelum hari sebenar kerana perlu banyak membuat latihan sambil menemani rakan yang akan bertanding dalam acara maraton nanti.

“Kami jalankan program itu secara tertutup kerana untuk menjayakannya perlu latihan dan fizikal yang cukup selain mental yang kuat untuk menghadapi segala jenis cuaca dan laluan di bukit itu nanti.

“Jadi untuk menjamin kejayaan kami menyelesaikan misi ini, kami tidak menguar-uarkannya kepada umum selain merasakan apa-apa yang kami ingin buat sebagai satu kerja gila,” katanya.

Menurut Primero, sudah lebih daripada 50 bukit yang sudah ditawan sejak dia aktif mendaki, dan ada juga beberapa bukit yang dibuka sendiri oleh kumpulan mereka.

“Ini bertujuan untuk membantu orang kampung memperkenalkan kawasan mereka yang mempunyai khazanah indah tersimpan di dalamnya.

“Secara automatik membantu meningkatkan juga ekonomi kampung kerana bila ramai pendaki datang, mereka dapat berjualan hasil-hasil tanaman, barangan cenderamata, makanan dan bekerja sebagai penunjuk arah,” katanya.

Primero juga berharap agar ada agensi atau pihak-pihak yang berkaitan tampil memberi bantuan menpromosi dan menaiktaraf fasiliti kampung-kampung ini.

“Contohnya Kampung Mantapok di Ranau, mempunyai permandangan yang indah, hutan yang cantik dan air terjun yang menarik tetapi mempunyai masalah jalan raya, hanya kenderaan empat roda yang dapat masuk ke dalam,” jelasnya.

Pernah juga kelab mereka membuat pungutan derma dalam kalangan ahli BKB dan mengumpul pakaian terpakai yang masih elok, alat-alat tulis, keperluan dapur untuk didermakan di kampung tersebut.

Apa yang menarik, ahli-ahli BKB terdiri daripada pelbagai latar belakang antaranya guru, suri rumah, jurufoto, jururawat dan jurulatih sukan yang berusia antara 15 hingga 48 tahun.

“Sesiapa sahaja boleh melakukan aktiviti ini jika ada kemahuan, bukan sahaja untuk kesihatan atau sekadar mengikuti tren, tetapi juga dapat melakukan kebajikan dan membantu orang lain,”katanya.

 

Suwadi (dua dari kiri) bersama Hikers Japen ketika sedang menaiki bukit Trig di Keningau.?

Suwadi (dua dari kiri) bersama Hikers Japen ketika sedang menaiki bukit Trig di Keningau.?

Kenyataan tersebut dipersetujui oleh Pengarah Jabatan Penerangan (JaPen) Sabah, Suwadi Guliling yang sentiasa mencari peluang untuk mendaki walaupun sibuk dengan pelbagai aktiviti jabatan dan juga mesyuarat yang perlu dihadiri.

“Sebelum saya berpindah tugas ke Sabah, saya sering bersenam di gimnasium kerana sedar yang saya perlu menjaga kesihatan dalam usia begini,” ujar Suwadi yang berusia 53 tahun.

Namun ketika kali pertama dia cuba untuk mendaki, satu kepuasan yang optimum dirasai apabila banyak peluh yang berjaya dikeluarkan dan yang pasti tidur malamnya lebih lena.

“Selama dua bulan aktif, telah lebih 10 kali saya mendaki sekitar KK, termasuk Bukit Tinjau di Kota Belud dan Bukit Trig di Keningau yang saya lakukan selepas sahaja selesai urusan kerja dan buat aktiviti jabatan,” katanya.

Ini membuktikan bahawa sesibuk mana sekalipun, dia tetap berusaha untuk menyelitkan aktiviti peribadi dengan mendaki walaupun tujuan ke sesuatu tempat itu atas urusan kerja.

“Selain tujuan kesihatan, saya ingin aktif dalam sukan ini juga kerana penambahan berat badan yang mendadak, walaupun setakat ini belum lagi menunjukkan kekurangan yang ketara, tapi saya dapat rasa peningkatan tenaga yang lebih baik,”katanya.

Kata Suwadi, kelelahan yang dilepaskan setiap kali tiba di puncak bukit mendatangkan ketagihan kepada dirinya untuk terus mencari lagi lokasi lain untuk didaki dan dia juga menetapkan akan mendaki sekurang-kurangnya dua kali dalam seminggu.

“Untuk mereka yang sibuk seperti saya, ada cara untuk kekal aktif bersukan, apa yang saya lakukan ialah sentiasa menyediakan segala kelengkapan seperti pakaian dan kasut di dalam kereta supaya boleh terus ke lokasi sebaik sahaja habis waktu bekerja,” katanya.

Menurutnya, atas kesedaran perlunya menjaga kesihatan, beliau juga merancang untuk menubuhkan Kelab JaPen Hikers yang melibatkan pekerja-pekerjanya di dalam jabatan.

“Kelab ini terbuka untuk sesiapa yang berminat, dan pada masa akan datang Jabatan akan merancang aktiviti mendaki yang melibatkan Komuniti 1 Malaysia (K1M) ataupun Kelab 1 Malaysia seliaan JaPen,” jelasnya.

Bukan setakat penglibatan pegawai JaPen sahaja, tetapi dia turut bercadang untuk mempelawa pegawai-pegawai daripada bahagian lain yang datang bermesyuarat untuk sama-sama beriadah dengan mendaki bukit.

“Saya suka mencari kelainan, biasanya setiap kali selepas bermesyuarat, aktiviti yang sering dilakukan ialah bermain boling, jadi apa kata kita tukar kepada mendaki pula selepas ini,”ujarnya.

SF

Tinggalkan komen anda