Skip to main content
Berita TempatanTerengganu

Veteran ATM Kongsi Kisah Terkena Bom

By 17 Ogos 2017Ogos 23rd, 2017Tiada komen3 minit bacaan

Oleh: Syed Fauzi Syd Mostapa / Foto: Farhan Abdullah

HULU TERENGGANU, 17 Ogos (Malaysiaaktif) – “Ketika berbalas-balas tembakan dengan pihak musuh, sebutir bom yang dipercayai bom 40mm dilepaskan oleh pihak musuh dan jatuh di depan saya. Ketika itu, saya tidak sedar serpihan bom tersebut telah menembusi dada dan peha.”

Demikian luah Veteran ATM (Angkatan Tentera Malaysia), Mohd Junoh Mohd Nor, 61, ketika ditemui semasa Pelancaran Kembara Negaraku 2017 di Dataran Pasar Besar Kuala Berang tengah hari tadi.

1. Veteran ATM (Angkatan Tentera Malaysia), Mohd Junoh Mohd Nor dan Kelab Veteran Komando, Azanan Hasan

Veteran ATM Mohd Junoh Mohd Nor (kanan) dan Kelab Veteran Komando, Azanan Hasan (kiri)

Junoh yang terlibat dalam Operasi Membanteras Parti Komunis Malaya pada Februari hingga Mac 1982 di Sempadan Malaysia-Thailand telah ditugaskan untuk mencari dan memusnahkan musuh di hutan Gubir.

“Ketika kira-kira 4.00 petang itu, kumpulan rondaan kami telah diserang hendap oleh pengganas komunis di sebuah permatang bukit tidak jauh dari pangkalan.

“Ketika itulah bom dilepaskan lalu saya berasa kebas dan tidak bermaya. Rakan-rakan sepasukan lantas melancarkan serangan balas lalu pihak musuh melarikan diri,” jelasnya.

Tambah Junoh, oleh sebab kecederaan itu, dia menerima rawatan di Hospital Besar Pulau Pinang selama tiga minggu.

“Doktor pakar berpendapat serpihan bom yang melekat di tengah dada saya amat berbahaya untuk dikeluarkan kerana dikhuatiri akan menyebabkan lumpuh. Sebab itu, serpihan bom tersebut masih melekat di tulang dada saya,” jelasnya yang berkhidmat selama 10 tahun dengan ATM.

Junih turut berharap agar generasi muda perlu menceburkan diri dalam bidang keselamatan negara supaya mereka tahu makna merdeka sebenar.

“Keselamatan bukan sahaja bidang ketenteraan, bahkan banyak lagi. Kita kena sentiasa berjaga-jaga agar kejadian seperti dahulu tidak berulang. Peritnya hanya mereka yang melaluinya tahu.

2. Fida'ie berpendapat kisah Junoh banyak memberikan inspirasi

Fida’ie berpendapat kisah Junoh banyak memberikan inspirasi

Sementara itu, pelajar SM Sains Hulu Terangganu, Mohd Fida’ie Hadi Fauzi, 14
berasa kagum dengan kisah perjuangan Jusoh dan warga ATM yang tidak putus asa walaupun telah terkena serpihan bom.

“Ketika bergerak dari satu bukit ke satu bukit mereka tak sangka ada Komunis. Komunis melepaskan tembakan dan bom namun seperti slogan ATM, satu peluru satu musuh. Mereka terus berjuang dan tidak berputus asa.

“Saya lihat perjuangan mereka memberi inspirasi kepada kami pelajar. Saya harap semua pelajar mampu untuk menjaga keamanan Malaysia sekali gus dapat menyumbang kepada ekonomi Malaysia.

3. Persembahan Ritma Gen-T Merdeka yang melibatkan hampir 100 pelajar sempena Pelancaran Negaraku Sehati Sejiwa Sempena Sambutan Bulan Kebangsaan 2017 peringkat Terengganu di Stadium Negeri pagi tadi.

Persembahan Ritma Gen-T Merdeka sempena Sambutan Bulan Kebangsaan 2017 peringkat Terengganu di Stadium Negeri pagi tadi.

Fida’ie turut berpendapat perpaduan kaum yang wujud dalam kalangan masyarakat di Malaysia menjadikan Malaysia sebuah negata yang cukup istimewa

“Saya pernah lihat satu kemalangan yang menglibatkan orang Melayu di lebuh raya, kemudian orang Cina datang membantu dengan menelefon ambulans untuk bantuan segera. Di situ saya lihat setiap kaum perlu membantu antara satu sama lain,” jelasnya.

Dalam pada itu, konvoi KMN 2017 tiba di destinasi ke-10 iaitu Hulu Terengganu setelah selesai berkonvoi di Majlis Pelancaran Negaraku Sehati Sejiwa sempena Sambutan Bulan Kebangsaan 2017 peringkat Terengganu di Stadium Negeri pagi tadi.

AAS

Tinggalkan komen anda