Skip to main content
Berita TempatanTerengganu

Juruterbang, Guru Besar Sertai Konvoi Merdeka 2800km

By 17 Ogos 2017Ogos 23rd, 2017Tiada komen4 minit bacaan

Oleh Syed Fauzi Syd Mostapa / Foto Irwan Shah

HULU TERENGGANU, 17 Ogos (Malaysiaaktif) – “Bila terbang kita yang menjadi ketua, semua kita yang kawal. Tetapi dalam konvoi ini kita kena tinggalkan semua sertai sebagai salah seorang ahli, dan patuh kepada ketua.”

Demikian luah juruterbang, Kapten Jasmi Arbain, 55, yang merupakan antara 30 penunggang motosikal berkuasa tinggi ST1300 Honda yang turut sama mengikuti konvoi Kembara Merdeka (KMN) 2017 di Dataran Pasar Besar Kuala Berang tengah hari tadi.

Jasmi ketika tiba di Pasar Besar Kuala Berang

Jasmi ketika tiba di Pasar Besar Kuala Berang

Konvoi KMN 2017 yang melibatkan 107 ahli kali ini istimewa kerana turut melibatkan 30 buah motosikal berkuasa tinggi dan 17 buah kenderaan agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan.

Tambah Jasmi yang berasal dari Tanjung Malim itu, selepas lebih tujuh hari berkonvoi, baginya jumlah penglibatan rakyat Malaysia semakin bertambah di setiap untuk sentiasa mengikut konvoi.

“Masyarakat juga dilihat semakin bersemangat untuk menyambut Hari Merdeka. Kita mula dari Baru Pahat ke Port Dickson, Kuantan dan hari ini di Terengganu, semakin banyak orang yang datang mengibarkan Jalur Gemilang,” katanya.

Jasmi juga berharap agar rakyat Malaysia lebih faham tentang erti kemerdekaan.

“Kita perlu buat satu kejutan dari segi kefahaman rakyat Malaysia tentang kemerdekaan ini dengan berkongsi cerita sejarah kita yang telah 446 tahun dijajah namun baru 60 tahun merdeka kita dah mudah lupa atau tidak diingatkan.

“Kita perlu bangga seperti orang luar misalnya pada 4 Julai (Hari Kebangsaan Amerika Syarikat) mereka semua keluar menyambut dan meraikan secara besar-besaran. Nilai tu yang kita belum ada,” ujarnya.

Sementara itu, seorang lagi penunggang motosikal yang menyertai KMN 2017, Guru Besar SK Malim Nawar, Hamdzan Osman, 52, menyifatkan selama 16 hari berkonvoi yang penting baginya perlu ada daya tahan, jaga kesihatan, jaga makan dan perlu kekuatan mental.

Lumrah penunggang motosikal jiwa kena kental-Hamdzan

Lumrah penunggang motosikal jiwa kena kental-Hamdzan

“Jika konvoi biasa yang menaiki kereta mereka ada pendingin hawa. Kami pula kena pakai jaket berpanas dan berhujan. Lumrah penunggang motosikal jiwa kena kental.

“Namun perjalanan sepanjang Negeri Sembilan, Pahang dan Terengganu sehingga hari ini pada saya amat menyeronokkan. Kami penunggang ST ini ibarat sebuah keluarga besar.

Hamdzan yang telah memulakan hobi permotorannya sejak 1999 menjelasnya konvoi ini istimewa kerana berlangsung pada bulan kemerdekaan.

“Konvoi ini bertujuan untuk menyemarakkan sambutan bulan kebangsaan kali yang ke-60. Jadi kami rasa cukup bertuah kerana terpilih buat julung kalinya untuk berkonvoi sejauh lebih 2000km di Semenanjung Malaysia. Inilah tanda terima kasih kami kepada Malaysia,” katanya yang membawa motor berkuasa tinggi keenamnya untuk konvoi kali ini.

Sementara itu, Presiden ST13 MMC (Malaysian Motorcycle Club), Othman Abdul Ghafar, 52 berkata tugas kali ini adalah untuk membawa 30 penunggang motosikal ST berkonvoi bersama 10 lagi unit kenderaan Jabatan Penerangan bagi memeriahkan konvoi KMN 2017.

“Motosikal kami yang pelbagai warna dilekatkan dengan bendera Malaysia untuk sesuaikan dengan tema Negaraku Sehati Sejiwa.

Othman menyatakan motosikal ST13 milik mereka dilekat dengan bendera Malaysia bersesuaian dengan tema kemerdekaan

Othman menyatakan motosikal ST13 milik mereka dilekat dengan bendera Malaysia bersesuaian dengan tema kemerdekaan

“Pada kali ini kami bawakan kenderaan yang seragam iaitu motosikal ST13 MMC, penunggang juga perlu berjiwa kental dan boleh mendapat cuti.

“Oleh sebab konvoi kali ini berlangsung selama 16 hari ada yang tak dapat nak sertai kerana komitmen kerja,” jelasnya yang mula menunggang motor sejak berusia belasan tahun.

Othman yang ditemui di Masjid Muadzam Shah pada Selasa memberitahu perjalanan lebih 200km ketika itu merupakan perjalanan yang cukup berbeza.

“Kami memang biasa berkonvoi ke merata-rata tempat. Tetapi konvoi KMN ini semangat dia lain macam, misi kami cukup berbeza. Ini kerana selain mengibarkan bendera di sepanjang perjalanan, helmet, baju, motor kami semuanya berkonsepkan kemerdekaan,” jelasnya.

Othman turut menyatakan perjalanan kali ini agak mencabar kerana jumlah penunggang yang ramai dan perjalanan pula sejauh lebih 2000km.

“Memang motor berkuasa tinggi kita perlukan kelajuan sesuai namun dalam konvoi seperti ini memang mencabar kerana kita perlu mengikut peraturan yang disediakan.

“Motif kita pun nak tunjukkan kepada semua untuk bersemangat mengibarkan jalur gemilang. Lagipun kita jalan sekali dengan 10 unit logistik Pajero.

Konvoi KMN 2017

Konvoi KMN 2017

“Jadi konvoi kita perlu lalu perlahan agar orang dapat lihat kibaran jalur gemilang kalau laju benda tu tak nampak.

“Satu lagi cabaran sebenarnya apabila terpaksa berjauhan dengan anak dan isteri. Sebenarnya anak, isteri merupakan penyokong utama. Tidak mudah untuk meninggalkan mereka sepanjang konvoi 16 hari ni jadi memang hari-hari kami akan berhubung dengan mereka,” jelasnya.

Othman turut menyatakan konvoi kali ini juga ruang untuk ahli kelab ST13 yang baru ditubuhkan pada tahun ini untuk mengenali antara sama lain.

“Apabila berkonvoi semua perlu beringat jalan jauh ni konsep perlu bermusafir. Masa ini jugalah hubungan jadi lebih rapat, kita dapat nilai tahap kesabaran kerana perjalanan pun lama.

“Kami bangga kerana terpilih dalam kalangan kelab motosikal yang ada di Malaysia untuk terlibat dalam KMN 2017.

Konvoi KMN 2017 anjuran Jabatan Penerangan Malaysia dijangkan akan menamatkan kembaranya pada 28 Ogos ini di Taman Maluri, Kuala Lumpur.

AAS

Tinggalkan komen anda