Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraHomePulau PinangViral

Lebih Banyak Perumahan Mampu Milik Bakal Dibina – PM

By 18 Ogos 2017Tiada komen2 minit bacaan

 

 Laporan dan Foto oleh: Abdul Waasiek Ahmad Fikri & Azimee Abdullah (Bayan Baru)

BAYAN BARU, 17 Ogos (Malaysiaaktif) – Golongan berpendapatan sederhana dan rendah boleh menarik nafas lega kerana lebih banyak perumahan mampu milik akan dibina oleh kerajaan.

Menurut Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak, konsep pembangunan yang holistik dan menyeluruh amat penting dalam menjayakan misi bagi membantu keupayaan golongan berpendapatan rendah dan sederhana dalam pemilikan ekuiti.

“Sebab itulah baru-baru ini saya ubah kriteria asal kepada konsep transformasi kesejahteraan. Bila kita tegaskan aspek kesejahteraan ia melibatkan antaranya soal pemilikan hartanah kerana pemilikan hartanah, pada saya lebih bermakna daripada pemilikan saham kepada individu sebab hartanah adalah tinggi nilainya kepada keluarga,” katanya.

Tambah Najib, agenda pemilikan rumah mampu milik merupakan antara perancangan utamanya selepas beliau mengambil alih tampuk kepimpinan negara.

Dalam pada itu, Najib berkata pihaknya akan mempertimbangkan permohonan JKP Sdn Bhd untuk membina 10,000 unit rumah mampu milik di atas dua bidang tanah milik Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani di Gelugor dan Batu Maung.

Beliau berkata demikian pada Lawatan Projek Perumahan Kos Sederhana Casa Anggun di Sungai Nibong, di sini hari ini.

Projek fasa kedua yang melibatkan pembinaan 340 unit rumah kos sederhana dan dijual pada harga permulaan RM324,000 ini habis dijual hanya dalam masa dua hari.

WhatsApp Image 2017-08-17 at 10.51.22 PM

Menurut pekerja swasta, Azila Asri, 34, dia gembira kerana dapat memiliki rumah setelah sekian lama memasang cita-cita untuk berbuat demikian.

“Saya gembira dan bersyukur kerana impian saya untuk memiliki rumah telah pun tercapai. Saya mengucapkan terima kasih kepada Datuk Seri Najib kerana prihatin terhadap permasalahan yang dihadapi oleh rakyat dalam memiliki rumah pada ketika ini,” ujarnya.

Sementara itu, bagi penduduk tempatan, Hasni Zainol, 37, dia tidak melepaskan peluang untuk memiliki rumah dalam projek Casa Anggun setelah mengetahui berkenaan projek itu.

“Saya mendapat tahu berkenaan projek ini setelah melayari laman sesawang JKP Sdn Bhd. Saya tidak mengambil masa yang lama untuk memohon membeli sebuah unit kerana ia adalah tawaran yang istimewa iaitu 20 peratus di bawah harga pasaran,

“Saya berasa bertuah dan beruntung kerana menjadi sebahagian rakyat yang sudah pun memiliki rumah di Pulau Pinang ini,” kata Hasni.

Turut hadir, Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan, Datuk Seri Zainal Abidin Osman, Timbalan Menteri Kesihatan Malaysia, Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya, Timbalan Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican dan Ketua Pegawai Eksekutif JKP Sdn Bhd, Ir. Samrulzaman Mohideen.

– AH

Tinggalkan komen anda