Skip to main content
Berita TempatanHomeKelantanPutrajayaWilayah Persekutuan

Tradisi Kertuk Kelapa Terus Dipertahan

By 18 Ogos 2017Tiada komen2 minit bacaan

 

 Laporan dan Foto oleh: Aimi Huwaina & Farhan Abdullah (Putrajaya)

PASIR MAS, 18 Ogos (Malaysiaaktif) – Permainan kesenian tradisi Melayu yang popular di Kelantan, Kertuk Kelapa masih lagi diguna pakai sehingga hari ini untuk majlis-majlis keramaian dan perkahwinan.

Menurut ahli persatuan Kertuk Kelapa Pasir Mas, Che Hamdan Ali, 44, minatnya terhadap Kertuk Kelapa bermula dari kanak-kanak lagi secara turun-menurun daripada keluarganya.

“Sekarang Kertuk Kelapa ini pergi ke luar negara pun ada, Singapura, Thailand… 31 Ogos ini kita akan pergi ke Kuala Lumpur untuk sambut Hari Merdeka,” katanya.

Che Hamdan yang merupakan ahli kumpulan Sri Resak berkata setiap kumpulan Kertuk Kelapa terdiri daripada 12 orang dan 15 orang untuk pertandingan kertuk antara rebana ubi iaitu tiga  simpanan dan 12 pemalu.

Jelas Che Hamdan, dia masih mengekalkan reka bentuk Kertuk Kelapa seperti yang asal.

Inilah rupa Kertuk Kelapa.

Inilah rupa pemainan tradisi Kelantan, Kertuk Kelapa.

“Bahagian atas ada sekeping papan cengal dan gubahan bunga, bahagian bawah menggunakan kelapa dan tayar.

“Palunya dibalut dengan getah urat dan tiub lori atau motor, balut dengan kertas, lepas itu celup dalam getah toreh. Kayunya pula ada macam-macam, sawa, nila, ciku.

“Masih bentuk asal lagi seperti turun temurun, tetapi yang tukarnya hanya kayu papan dan bunga,” katanya  yang ditemui pada Kembara Merdeka Negaraku (KMN), di Pejabat Penggawa DUN Tendong, di sini, hari ini.

Tambah Che Hamdan, kebanyakan generasi muda masa kini tidak mengetahui tentang Kertuk Kelapa.

Che Hamdan Ali

Che Hamdan Ali

“Sambutan orang sekarang ini biasalah kalau tengok tanya itu apa, jenis apa, kita beritahulah,” jelas Che Hamdan.

Katanya lagi, Kertuk Kelapa sering menghasilkan lagu-lagu rakyat seperti Timbo, Puak Dogo, Hulu Balang dan Red Warrior.

Kertuk Kelapa yang pada awalnya digunakan untuk menghalau burung di kawasan bendang, turut dipalu untuk menandakan masuknya waktu solat di madrasah.

Dalam pada itu, KMN anjuran Jabatan Penerangan Malaysia (JaPen) yang disertai oleh lebih 100 peserta ini melibatkan 18 kenderaan JaPen, agensi-agensi kerajaan dan swasta, badan-badan bukan kerajaan dan 30 motosikal berkuasa tinggi.

Kembara selama 16 hari yang bertujuan untuk menggelorakan semangat patriotik dan kibarkan Jalur Gemilang ini akan kembali ke Putrajaya pada 30 Ogos ini.

Tinggalkan komen anda