Skip to main content
Berita TempatanSabah

Belajar Dialek Terengganu Untuk Hidupkan Watak Lakonan

By 20 Ogos 2017Tiada komen2 minit bacaan

Laporan: Fauzrina Bulka / Foto: Azman Jumat & Jeffren Malaning (Sabah)

TAWAU, 20 Ogos (Malaysiaaktif) – “Kami bercadang untuk mempelajari dialek Terengganu supaya dapat menghidupkan lagi watak yang akan kami lakonkan dalam pertandingan akhir peringkat kebangsaan.

Demikian kata Siti Rahmas Beddu, 25 mewakili kumpulan dari Tawau yang memenangi Pertandingan Pengisahan Peringkat Negeri Sabah yang berlangsung di Dewan Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (SRJK) Yuk Chin, di sini semalam.

Lakonan Pengisahan Gugur dari kumpulan bahagian Tawau.

Lakonan Pengisahan Gugur dari kumpulan bahagian Tawau.

Siti membawakan watak sebagai Nor Aziah Nor iaitu balu kepada Allahyarham ASP Zulkifli Mamat, wira negara yang terkorban dalam insiden serangan pengganas di Lahad Datu, Sabah, yang berlaku kira-kira empat tahun lalu.

Dua daripada rakan sekumpulannya ialah Mukmin Nantang yang membawa watak sebagai Allahyarham Zulkifli manakala
Sabir Syarifuddin pula pendeklamasi sajak dan puisi.

Mengulas lanjut katanya, jika diberikan kebenaran oleh pihak penganjur, mereka bercadang untuk mempelajari dialek tersebut daripada rakan-rakan yang juga pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang berasal dari negeri tersebut.

Tambahnya, mereka mengambil masa selama seminggu untuk membuat skrip dan membuat latihan selama empat hari sebelum berpuas hati dan bersedia menyertai pertandingan.

“Skrip dibuat oleh Beyond Lens Production yang terdiri daripada 10 orang yang juga pelajar UMS, mereka membuat kajian dan menggunakan dialog asal yang diucapkan oleh balu semasa pementasan.

Barisan pemenang

Barisan pemenang

“Segala pesanan terakhir arwah juga dilakonkan semula seperti yang diceritakan semula oleh balu manakala mesej pesanan ringkas yang kami masukkan dalam lakonan juga ialah mesej asal tanpa tokok tambah,” ujarnya yang merupakan seorang pelajar seni kreatif di UMS.

Dia mewakili rakan-rakan sekumpulan berharap agar jalan cerita, watak dan mesej yang dibawa oleh mereka dapat diterima oleh penonton.

Terdapat enam pasukan bertanding pada pertandingan kali ini. Peserta-peserta ini telah disaring di peringkat bahagian yang mewakili daerah masing-masing.

Pasukan yang memenangi tempat kedua adalah dari Bahagian Pedalaman Atas manakala tempat ketiga dimenangi oleh kumpulan daripada Bahagian Pantai Barat Utara.

Pemenang akan mewakili Sabah dalam Pertandingan Pengisahan Negaraku Peringkat Kebangsaan di Selangor pada 30 September hingga 2 Oktober 2017.

Mary Yap.

Mary Yap.

Dalam pada itu, Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Malaysia, Datuk Mary Yap Kain Ching berkata penganjuran kali ke-14 sejak diadakan pertama kali pada 2003 dilihat terus mendapat sambutan yang menggalakkan daripada masyarakat.
“Diharap cerita yang dipersembahkan melalui tajuk-tajuk pengisahan pada kali ini akan membuka minda para peseeta dan kalangan masyarakat, agar menjadikan pengisahan yang disampaikan sebagai contoh terbaik dalam kehidupan,” jelasnya.

Tambah Mary Yap, konsep pertandingan yang diadakan dengan gabungan elemen muzik dan penggunaan ICT sudah tentu lebih menarik kerana bertepatan dengan penyampaian maklumat berasaskan senario hari ini.

“Saya mengharapkan agar program seumpama ini dapat membantu mendidik seterusnya menyemai semangat patriotik agar semangat cinta negara dan jati diri terus subur dalam kalangan masyarakat tanpa mengambil kira lapisan pelbagai kaum,” ujarnya.

SF

Tinggalkan komen anda